Salam.
Tersentuh aku untuk menulis permasalahan tentang pemikiran atau mentaliti pemikiran maktab terutamanya bagi mahasiswa-mahasiswi berkelulusan maktab. Dalam skop ini biar aku kupas budaya maktab berdasarkan pengalaman selama 2 tahun di Maktab atau namanya sekarang Institut Perguruan. Maktab yang mana sebelum ini selalunya dipandang lebih lekeh berbanding universiti kerana tidak berkelayakan untuk mengeluarkan kelulusan bertahap ijazah. Perkara ini sudah semakin berubah dengan rata-rata maktab-maktab mengalami transformasi dimana nama maktab diubah kepada Institut Perguruan dengan beberapa penambah-baikan yang positif antaranya seperti Institut Perguruan(IP) sudah berkelayakan untuk mengeluarkan kelulusan bertaraf ijazah.
Namun apa yang kita alami sekarang ni adalah masalah pemikiran dimana mentaliti pemikiran kebanyakan mahasiswa itu masih lagi ditahap maktab. Bergelar mahasiswa bermakna kita adalah contoh cemerlang didalam akademik, sosial, kepimpinan dan kerohanian kerana untuk bergelar seorang mahasiswa, pelajar perlu melepasi had-had minimum yang ditetapkan dalam penilaian ujian. Namun begitu antara masalah utama bagi pelajar maktab adalah dari segi pendidikan. Sebagai bakal pendidik yang akan melahirkan lebih ramai golongan berpendidikan dan bersosial tinggi, mahasiswa IP perlulah lebih berdaya saing dan sentiasa mencari peluang memperbaiki diri terutamanya dalam pembelajaran. Namun situasi yang kita alami sekarang adalah amat berbeza. Syllabus pembelajaran yang tidak terlalu menekan, sistem peperiksaan dan sistem penilaian kerja kursus yang longgar telah sedikit sebanyak mencacatkan kebolehan pelajar IP untuk menjadi seorang guru yang bukan saja lebih berilmu malah lebih berdisiplin. Apa nak kata sekiranya sebelum peperiksaan, ada bocor skema jawapan kepada pelajar-pelajar IP? Juga kerja kursus yang longgar dan selalu berlaku dimana pelajar setakat copy & paste kerja pelajar lama. Apakah imej guru yang kita cuba sampaikan disini? Bagaimana kita nak melahirkan guru yang matang dan berdisiplin sekiranya di peringkat pengajaran sebegini sudah tiada sistem untuk mendisiplinkan diri.
Seterusnya permasalahan dari segi sosial. Bagi aku IP adalah satu institusi yang besar kerana terdapat banyak IP di seluruh negara. Sama seperti UiTM. Namun kelebihan ini tidak berjaya dimanipulasi oleh rata-rata pemimpin IP yang cuma berfikir setakat untuk 'One term' atau berfikiran lokal dan tidak nasional. Tugas pemimpin IP Ipoh tidak tertakluk kepada hubungan dengan HEP atau masalah lokal seperti siapa bermain mercun dan melanggar peraturan didalam IP sahaja. Tetapi tugas ini perlu diperkembangkan kepada perhubungan yang proaktif bersama IP-IP lain, malahan agensi-agensi pendidikan dan kerajaan yang lain. Banyak yang kita mampu capai sekiranya pemimpin berjiwa besar dan berfikiran jauh. Hubungan antara semua IP berkebolehan untuk mewujudkan satu jawatankuasa penghubung antara semua IP dimana semua IP didalam Malaysia boleh melaksanakan lebih aktiviti bersama diperingkat nasional yang mampu memanfaatkan seluruh warga bakal pendidik. Lihat contoh Malaysian Student Leader Summit (MSLS) yang dianjurkan oleh United Kingdom Eire Council (UKEC) di Malaysia sewaktu cuti summer tempohari. Bagaimana berbezanya pelaksanaan aktiviti bagi organisasi pelajar UK dan organisasi pelajar IP walhal yang menghasilkan tetap pelajar dan diperingkat yang sama iaitu peringkat pembelajaran ijazah. Malah organisasi IP satu Malaysia jika dapat dihasilkan juga mampu menghasilkan satu newsletter dimana para mahasiswa IP boleh bersama turut terlibat untuk berbincang dan bertukar pendapat soal isu semasa terutamanya pendidikan didalam negara. Ini akan lebih melahirkan mahasiswa IP yang lebih kritikal dan mengikut perkembangan semasa pendidikan negara seterusnya mewujudkan platform penyatuan bagi semua mahasiswa IP dan disinilah baru kita dapat lihat semua bakat-bakat yang terpendam dalam mahasiswa-mahasiswi IP menonjol. Ini semua cadangan rasional dan plausible cuma memerlukan mereka yang lebih berwibawa untuk memrealisasikannya.
Nama Maktab atau Institut tidak memberikan apa-apa kelebihan sebenarnya. IP hanyalah satu perubahan kosmetik dan artificial tetapi perubahan sebenar datangnya dari dalam diri mahasiswa sekalian. Jika apa yang kita ingin capai adalah sesuatu yang besar dan memanfaatkan komuniti, kita pasti menjumpai laluan untuk merealisasikannya. Tetapi jika apa yang kita mahu adalah makan elaun setiap bulan selama 5 tahun dengan kaedah pembelajaran longgar yang penuh dengan plagiarism, peniruan dan fleksibiliti negatif yang membunuh reputasi, maka itu yang akan kita perolehi. Dan sudah pasti hasil akhir, produk guru yang terhasil juga berbeza, berdasarkan dengan apa yang kita lalui sepanjang tempoh pembelajaran.
Maka, apa yang aku nak seru adalah satu semangat dalam diri kita. Sudah lama maktab dipandang lekeh berbanding universiti dan ini semua terjadi adalah kerana ketidak efisiensi kita dalam bidang pembelajaran dan sosial. Sampai bila kita mahu bepegang kepada mentaliti senior dan junior? Sampai bila kita setakat mahu menyalak kepada sesuatu yang lain daripada norma walhal perkara itu merupakan sesuatu yang positif. Sampai bila kita mahu bermentaliti cikgu harus bersyukur dengan apa yang ada. We should demand what we need, and dismiss what is wrong! Semua ini untuk mencapai kemajuan diri. Sampai bila mahasiswa cuma bersuara didalam perkarangan maktab? Sudah sampai masa sekarang warga maktab bangkit, dan tunjukkan yang kita benar-benar layak digelar Institut Perguruan, layak berdiri sebaris dengan MPP Universiti-universiti diserata Malaysia. Tunjukkan dengan apa yang kita lakukan dan hasilkan daripada pemikiran yang lebih matang dan jauh. Tidak mustahil satu hari nanti organisasi IP seluruh Malaysia mampu mengadakan konferens dengan bakal-bakal pendidik dari negara-negara jiran untuk berbincang dan bertukar pendapat.
Dan yang pasti, akan ada golongan yang memandang artikel ini sebagai bersifat angkuh, memperlekehkannya, tapi apa yang aku nak sampaikan cuma penghayatan dan poin-poin yang aku rasakan relevan, tak lebih daripada itu. Yang baik kita belajar, yang buruk kita tolak tepi. Bagi yang menolak dan memperlekehkan, abaikan, dalam satu perjalanan pasti ada liku-liku dan batu-batu yang menghalang tetapi semuanya akan dilupakan sebaik saja kita sampai ke destinasi kita. Bak kata seorang pensyarah Institut Perguruan yang tak akan aku lupa, "Aim for the sky. If we fall, we'll fall among the stars." Jika tidak, tak usah melantun sekiranya orang melabel mahasiswa IP sebagai tidak berkualiti kerana itulah yang kita hasilkan selama ini didalam sistem yang tidak kompetitif. To earn something, we have to sacrifice. To reach our destination, we need to take our first step. If the step is not taken now, then when will we start?
Selamat.
Nota ringkas:
* UKEC merupakan kesatuan yang terdiri daripada semua Malaysian Society di seluruh UK yang mana semua presiden Malaysian Society yang selalunya terdiri daripada pelajar-pelajar undergraduate berkumpul dibawah payung UKEC.
** Antara aktiviti besar untuk UKEC adalah MSLS, Graduan Career Fair dan Projek Kalsom.