Wednesday, June 05, 2013

Tarikan Jaminan Penempatan Pelatih IPG

Saranan KPM untuk menarik balik jaminan penempatan bagi pelatih IPG adalah satu saranan yang baik dan wajar diraikan tetapi, bukan buat masa sekarang.

Sememangnya untuk menjamin kualiti pendidikan, kualiti guru yang disediakan juga haruslah antara yang terbaik. Justeru itu, saranan KPM ini mampu menambahbaik kualiti guru baru. Namun begitu, sebelum bercakap mengenai jaminan penempatan, ada baiknya sekiranya kita bercakap mengenai isu-isu lain yang lebih penting dan berkaitan kualiti guru.

Isu-isu seperti kemudahan untuk P&P yang mantap, kebebasan dan galakan berpersatuan dan beraktiviti dikalangan pelatih guru dan ruang serta peluang untuk mengadakan lebih banyak aktiviti melibatkan personaliti dan organisasi luar.

Pendapat saya, ketiga-tiga isu ini harus dipenuhi dahulu sebelum KPM menghukum pelatih-pelatih yang sudah sign borang perjanjian dengan mereka melalui penarikan jaminan penempatan.

Hari ini, kita bercakap mengenai kualiti guru dan persaingan dengan produk pendidik keluaran universiti. Tetapi kita lupa bercakap mengenai proses persediaan di dalam IPG itu sendiri.

Pengalaman saya sebagai seorang penuntut IPG penuh dengan pelbagai persoalan mengenai kemudahan dan suasana pembelajaran di IPG yang saling tak tumpah seperti di sekolah berasrama penuh.

Ketiadaan fasiliti yang mencukupi kerap membantutkan proses P&P. Ketandusan jaringan internet, kekurangan kemudahan seperti projektor serta keadaan perpustakaan yang sekadar setaraf dengan perpustakaan di sekolah-sekolah menengah.

Mampukah fasiliti di IPG bersaing dengan fasiliti di fakulti-fakulti pendidikan universiti? Bagaimana pula dengan suasana pembelajaran di IPG dan di universiti?

Di IPG, aktiviti persatuan masih terhad dan tidak menyeluruh. Pergerakan persatuan dan organisasi pelajar tidak dirai dan digalakkan secara menyeluruh menjadikan suasana kehidupan kampus begitu hambar tanpa dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti siswa dan siswi.

Saya tidak ada masalah dengan seruan untuk tambah baik kualiti pelatih IPG. Saya juga tidak ada masalah dengan saranan persaingan antara pelatih IPG dan siswa pendidikan universiti. Tetapi, sebelum kita bercakap tentang semua ini. Kita harus tanya satu soalan.

Apabila fasiliti yang disediakan IPG tidak mampu menyaingi fasiliti universiti, suasana pembelajaran universiti yang memberikan lebih banyak ruang untuk siswa berbanding di IPG, lalu, bagaimana pelatih IPG akan bersaing didalam keadaan yang tidak memberansangkan untuk mereka sendiri?

Maka, sebelum jaminan penempatan ditarik balik dan konsep pasaran terbuka digunapakai, KPM harus ambil tanggungjawab menambahbaik dan menyediakan pelatih IPG untuk persaingan.