Tuesday, January 11, 2011

Revolusi Remaja Islam - Terdetiknya Hati

Catitan pengalaman seorang remaja muslim didikan liberal tentang jauhnya diri daripada didikan Islam yang sebenar dan perjuangan kearah merevolusi dirinya. Semoga mendapat kekuatan istiqamah dan terus berubah kearah kebaikan.

Tiada lain yang diharap selain mendapat keredhaan Allah swt dan menyentuh hati-hati yang lain dengan penulisan ini. Perancangan menjauhkan Islam daripada kehidupan oleh musuh-musuh Islam perlu ditentang, agar lebih ramai anak muda Islam dapat keluar daripada fitnah ini. InsyaAllah.

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani.

Sesampai sahaja aku diUnited Kingdom, terdapat pelbagai pengalaman yang dialami. Pelbagai perkara ditemui. Jika diMalaysia pabila orang nak ke club, kena jaga-jaga takut kena 'rush', tapi diUK tak ada semua tu. 'Selamat' sepanjang masa. Tak ada narkotik, tak ada JAIM atau polis yang nak rush buat spot check. Di UK juga parti-parti bertema untuk pelajar universiti, cukup banyak. Setiap minggu lebih daripada 1 disekitar tempat aku belajar. Hiburan yang disajikan begitu banyak dan berlambak-lambak. Tinggal nak tak nak saja. Mudah kerana diUK tiada 'polis moral' yang akan memerhati. Kalau diMalaysia orang lebih risaukan 'polis moral' daripada janji azab Allah.

Kemudian disini, tiada laungan azan. Tiada team-team pak haji 'tabligh' ketuk mai singgah rumah untuk memberi tarbiyah percuma. Yang ada paderi-paderi dan mubaligh kristian yang ketuk adalah. Jika dulu waktu petang-petang, ada orang ketuk rumah. Bila selak tingkap nampak beberapa orang pak aji berserban menunggu diluar rumah, mulalah hati kata "Dah mai dah diorang ni." Berat hati je bila buka pintu, kadang tak buka. Buat-buat macam tak ada dirumah.

Pendek kata, jika 'syurga' dunia yang mau dicari, hiburan yang diinginkan, diUK ini boleh didapati bermacam-macam jenis. Siap berpeluang berhibur dan mencari geng mat dan minah salleh baru. Semua ini boleh didapati di UK. Sebelum datang lagi ada yang dah pasang angan-angan nak bercampur gaul, berbudayakan hiburan bersama-sama. Kelab apa yang dimahukan? Namakan saja.

Tapi sampai saja diUK, kami semua ditempatkan bersama disatu student accommodation. "Aiseyman, apa ni. Di Ipoh belajar sama, duduk sama. Di UK, pun duduk sama. Tak berkembang la macam ni!"

Namun Alhamdulillah, mungkin berkat doa bonda yang tersayang, hati tak jauh terbiar oleh rahmat kasih sayang Allah, kaki tak selalu melangkah ketempat maksiat. Mungkin juga berkat tidak dipisah-pisahkan sesama kami, persahabatan yang ada kerap kali dikuatkan dengan membuat pertemuan dan makan-makan bersama-sama.

Adanya rakan disekeliling, amat memberikan pengaruh kepada bentuk peribadi diri kita. Alhamdulillah juga, rakan-rakan disekeliling aku balanced. Yang untuk berhibur ada, yang susah senang bersama ada, dan yang sering ingat-mengingatkan pun ada.

Kemudian datang musim sejuk, aku banyak habiskan masa berhibernasi waktu musim sejuk. Aku dengar ada rakan-rakan lain pergi PUISI, ada yang pergi FuIYO. Hati berkata dengan sendiri, "Apa barang diorang ni, pergi kem-kem usrah waktu cuti!" Aku banyak habiskan masa online. Tengok movie, dan sebagainya. Usrah disekitar Liberty Park pun jarang-jarang disertai.

Dan satu hari, terdetik hati untuk menyelongkar 'youtube', lalu ditakdirkan oleh Allah bertemu dengan siri The Arrival. Satu dokumentari informal yang digerakkan oleh dua orang pemuda selaku penggerak utama. Tatkala kali pertama menonton episod The Arrival, bergetar jiwa pabila menyaksikan segala yang disusun dalam dokumentari itu. Ilmu-ilmu yang selama ini tidak pernah dikongsikan oleh ustaz-ustaz yang aku pernah ikuti kelas mereka. Lalu 51 episod The Arrival aku saksikan dalam masa selama beberapa hari.

Allah, betapa hati ini secara tiba-tiba rasa tersentuh dan tersedar daripada situasi seakan lamunan dan mimpi. Betapa hati kemudian terasa terlalu kerdil disebalik kekuasaan Allah dan rancangan-rancangan yang sedang berjalan dalam tamadun dunia masa ini.

Sungguh, Allahlah yang berkuasa membolak-balikkan hati hamba-hambanya. Memberikan petunjuk dan menyesatkan sesiapa yang dikehendaki. Dan aku bersyukur kerana dalam keadaan alpa dan leka, secara tiba-tiba hati terdetik untuk mencari dan bertemu dengan The Arrival.

Sungguh dalam apa jua usaha untuk berubah mejadi baik, mencari permulaan adalah proses yang amat sukar. Bagi aku, setiap orang akan perlukan satu 'push factor' untuk dijadikan motivasi utama pabila mahu mengubah paradigma diri sendiri dan Alhamdulillah, Allah bermurah hati untuk menyajikan aku dengan siri The Arrival.

Lalu diri yang naif, bermula dalam satu proses untuk berubah. Diri tanpa ilmu, tanpa bimbingan terus menerus dan tanpa pengertian tarbiyah Islamiyyah, cuba mencari nur kebenaran Islam. Aku terus mencari, berjumpa dan mengamati tulisan-tulisan, video-video ceramah dan kata-kata perangsang daripada tokoh-tokoh seperti Syeikh Imran Hosein, Ustaz Azhar Idrus. Kitab tentang solat, ma'thurat, Al-Quran yang dibekalkan oleh bonda sewaktu awal perjalanan mula dipegang semula secara perlahan-lahan. Dibekalkan dengan rakan rapat yang turut serta dalam proses mencari ilmu-ilmu dan nur Islam bagi makanan jiwa, kami bersama saling ingat-mengingatkan. Saling bertukar link video dan ceramah. Saling ajak-mengajak solat berjemaah.

Yang nyata aku alami dan akui, apabila diri disulami kemanisan iman, maka jasad akan berasa lebih ringan untuk melakukan ibadah. Segala yang dilaksanakan terasa manisnya ibadat untuk Allah swt. Terasa semacam ketenangan yang tak boleh digambarkan dengan kata-kata. Terasa seperti terjaga dengan keyakinan keatas kekuasaan Allah SWT.

Namun Allah maha Mengetahui, betapa lemahnya diri ini. Seperti sebuah sampan usang yang pabila dipukul ombak, boleh berkecai bila-bila masa. Sesungguhnya aku pelajari sekarang, untuk berubah itu memerlukan satu motivasi 'push factor' bagi kita, dan amatlah sukar sekiranya tiada bimbingan, tetapi yang lebih sukar adalah untuk mengekalkan perubahan.

Seperti sabdanya Rasulullah saw, "Tidak tetap iman seseorang hamba sehinggalah tetap pendiriannya." Iman itu adalah keyakinan kita, dan keyakinan kita berubah-ubah mengikut masa dan keadaan. Sungguh keyakinan hati aku ini amatlah rapuh sehinggakan pabila diuji dengan maksiat, terus luluh dan berkecai.

Sungguh baru aku sedar yang dunia ini adalah medan perang bagi kita, dan peperangan yang terbesar adalah perang melawan hawa nafsu yang mana pada ketika itu, aku telah gagal semula setelah didatangkan ujian. Baru ujian-ujian kecil yang datang, terus jatuh tersungkur diri ke waktu kenaifan dan kealpaan semula.

Mengapa kegagalan ini berlaku? InsyaAllah akan dikisahkan dalam entri yang akan datang.

Selamat.

3 comments:

  1. Hati kena kuat. Saya tahu awak boleh. :)

    ReplyDelete
  2. sgt baguss utk disebarkn pd remaja y ramai sdg hnyut skrg nii..

    ReplyDelete

Ideas in words by