Saturday, October 01, 2011

Tujuan Menuntut Ilmu

Salam.

Memandangkan sesi pembelajaran bagi tahun 2011/ 2012 dah hampir tiba untuk aku dan rakan-rakan yang turut serta menyambung pelajaran di United Kingdom. Maka aku rasa artikel kali ini amat bersesuaian untuk ingatan bersama, semoga niat di hati dapat dibetulkan sepanjang setahun pembelajaran ini dan seterusnya.

1. Hadith riwayat Abu Daud:

Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa mempelajari suatu ilmu yang seharusnya dilakukan kerana Allah SWT, tetapi ia mempelajarinya hanya untuk memperoleh harta benda dunia, maka ia tak akan mendapatkan bau harum syurga pada hari kiamat."

2. Nasihat Khusus

Dalam hadith ni terdapat perkara yang umum dan juga yang khusus. Yang khusus adalah ucapan Nabi SAW yang sangat jelas bahawa barang siapa mempelajari suatu ilmu tertentu, yang tujuan sebenarnya adalah untuk memperoleh pahala dari Allah SWT dengan menolong orang lain, namun dia mempelajarinya dengan tujuan untuk memperoleh harta keduniaan, maka Allah SWT mengharamkan atasnya harum bau syurga pada hari kiamat.

3. Nasihat Umum

Perkara yang umum pula adalah tuntutan menuntut ilmu yang dikatakan penting untuk diri. Rasulullah SAW memberi petunjuk agar menjadikan ilmu yang dituntut sebagai untuk mencari kebajikan dengan pelbagai cara yang pastinya dengan niat kerana Allah SWT. Dengan ilmu ekonomi, kita dapat membantu memperbaiki ekonomi sekaligus menaikkan taraf hidup masyarakat semasa. Dengan ilmu juga kita dapat menghiasi budi pekerti, melapangkan jalan untuk menuju kehidupan mulia serta tidak akan menjadi jahil dan tidak pula menjadi penyakit bagi orang lain. Dengan ilmu, kita dapat membantu proses pembangunan bangsa dalam pelbagai bidang, pendidikan, politik, bahasa dan lain-lain lagi.

4. Waspada dengan ilmu

Namun demikian jangan sampai jadikan ilmu sebagai alat memperdaya atau menguasai orang lain. Serta jangan pula sampai menjadi alat atau jalan untuk membanggakan diri sendiri seperti kisah berikut yang terjadi pada seorang yang berilmu:

Ketika berdiri di hadapan Allah SWT pada hari perhitungan dan ditanya, "Apa yang kamu amalkan dari ilmumu?"

Dia menjawab, "Aku gunakan untuk ini dan ini."

Lalu dijawab, "Tidak, kamu belajar agar dikatakan bahawa kamu adalah orang yang berilmu."

Kemudian kamu diperintahkan untuk masuk ke dalam Neraka Jahanam dan diharamkan ke atasnya bau harum syurga.

*Artikel ni diolah daripada buku 50 Wasiat Rasulullah SAW untuk generasi Islam karya Muhammad Ali Qutub