Tuesday, October 14, 2014

MUET: Antara mahu atau tidak



MUET: Antara mahu dengan tidak.

Sebagai seorang guru dan pengamal bahasa Inggeris, saya bersetuju dengan keputusan kerajaan menaikkan had minimum kemasukan ke universiti dan syarat graduasi MUET yang diumumkan dalam Bajet 2015 baru-baru ini. Ini adalah salah satu langkah jangka masa panjang bagi memastikan kemahiran berbahasa Inggeris terus dikuasai terutamanya di kalangan pelajar bumiputera.

Pendidikan di Malaysia sebenarnya ada banyak isu yang perlu dibincangkan. Reaksi yang diterima ekoran daripada syarat MUET ini telah sedikit sebanyak menyelongkar isu-isu yang ada. Ada yang menuduh kerajaan tidak mahu bantu orang Melayu. Ada beranggapan kerajaan perlu menambahbaik pendidikan dahulu sebelum mengetatkan syarat dan pelbagai lagi reaksi termasuklah gimik seorang peguam yang kononnya mahu menyaman kerajaan. Okay, itu lawak.

Peranan Kerajaan dan Peranan Warga

Saya suka melihat isu ini daripada dua segi. Pertama, peranan yang perlu dimainkan oleh kerajaan. Oleh kerana bahasa Inggeris adalah antara subjek utama dalam kurikulum pendidikan, maka pembelajaran bahasa Inggeris sejak di bangku sekolah lagi perlu diambilkira. 

Justeru, dari sudut ini, sejajar dengan syarat ketat MUET termasuklah syarat wajib lulus SPM 2016 untuk subjek bahasa Inggeris, kerajaan wajib menyelesaikan 3 masalah pokok di sekolah iaitu:
  1. Latih lebih ramai guru pakar terutamanya dalam subjek-subjek utama dan kritikal.
  2. Tempatkan guru supaya mengajar mengikut kepakaran mereka dan bukan dilelong mengajar subjek-subjek lain.
  3. Kurangkan beban kerja bukan akademik guru supaya pembelajaran dan pengajaran menjadi prioriti nombor satu di dalam kelas.
Hal ini penting. Hal ini juga sudah disuarakan sejak berpuluh tahun lalu dalam pelbagai laporan pendidikan yang dikeluarkan oleh banyak persatuan guru dan jawatankuasa pendidikan. Ini kerana ianya mempengaruhi keadaan pengajaran di dalam kelas dan kualiti penyampaian guru, sekaligus memberikan kesan langsung terhadap penerimaan pembelajaran pelajar.

Itu dari segi peranan kerajaan. Perkara kedua pula adalah dari segi peranan warga. Warga bermaksud pelajar, ibu bapa dan masyarakat. Pengalaman sedikit sebanyak dalam dunia pendidikan membuatkan saya sedar bahawa hanya mereka yang mahu belajar sahaja yang boleh dan akan belajar dengan baik.
Jika guru diumpamakan seperti menyuap ilmu ke dalam mulut anak murid. Hanya anak murid yang mahu membuka mulut dan mengunyah sahaja akan kenyang dan mendapat khasiat secukupnya. 

Walaubagaimanapun, para pelajar kita dewasa ini ramai yang dilanda penyakit complacency. Mereka tidak ambil pusing. Mereka tiada motivasi. Secara mudahnya, ramai pelajar kita yang tidak bersungguh belajar sebaliknya lebih selesa menjadi pelajar pasif. 

Persoalannya, bagaimana kita mahu merawat penyakit complacency ini? Lihat semula kepada peranan warga. Para pelajar perlu sedar hanya mereka yang mampu menjadikan diri mereka berilmu, bukan orang lain. Ibu bapa pula wajib memainkan peranan secara aktif agar anak-anak sejak dari kecil lagi sudah dipupuk dengan kecintaan terhadap ilmu. Manakala masyarakat seharusnya menyokong perkara-perkara yang mendatangkan manfaat dan saling menggalakkan antara satu sama lain dalam usaha mengejar ilmu pengetahuan. 

Yang pasti bukannya bergimik nak saman kerajaan apabila mula menekankan kepentingan bahasa Inggeris! Paling tidak pun kita harus sedar, dengan cara menaikkan syarat MUET, kita sedang sedikit demi sedikit memaksa warga agar terus mencabar kebolehan diri untuk maju.

English itu Mudah! Bagaimana?

Mempelajari bahasa Inggeris bukannya susah. Bahasa Inggeris tidak seperti kursus undang-undang atau perubatan dengan buku-buku tebal untuk dihafal. Ataupun kejuruteraan fizik dan kimia yang perlukan kepada pemahaman pelbagai jenis teori baru, sebahagiannya tidak pernah dipelajari langsung di bangku sekolah. 

Bahasa Inggeris dalam MUET, dalam SPM, dalam PT3 termasuklah di peringkat sekolah rendah hanyalah asas kemahiran berbahasa yang dibina secara berperingkat-peringkat. Dari peringkat perkataan ke peringkat klausa, ke peringkat ayat mudah, ayat majmuk, ayat kompleks dan seterusnya. Bahasa Inggeris juga hanya merangkumi empat kemahiran komunikasi iaitu membaca, mendengar, menulis dan bercakap.

Atas kefahaman ini, buat adik-adik pelajar universiti yang merasakan susah untuk menghadapi MUET, saya ada beberapa cadangan mudah dan praktikal. Tak perlu hafal atau baca kamus dari depan sampai belakang seperti Nelson Mandela ketika dipenjarakan. Malah tak perlu menelaah thesaurus untuk pandai bahasa Inggeris. Sebaliknya amalkanlah cadangan tersebut:

  1. Membaca bahan bacaan bahasa Inggeris setiap hari dengan nada suara kuat agar kedengaran bunyi sebutan di telinga sendiri.
  2. Cari lagu-lagu Inggeris kegemaran, tulis lirik, fahamkan makna, pasang dalam mp3 dan nyanyilah mengikut lenggok sebutan penyanyi.
  3. Cari filem atau drama Inggeris kegemaran dan tontonlah tanpa subtitle bahasa Melayu. Jika tidak faham, ulang tonton filem tersebut sekali lagi.
Saya yakin dan pasti, jika langkah-langkah mudah ini diamalkan dengan istiqamah sepanjang tahun-tahun pertama pengajian, setakat band 2 dan 3 MUET sudah semestinya dalam tangan.

Untuk mengecapi nikmat band 4, tambah satu lagi iaitu menulis jurnal, diari atau entri di blog dalam bahasa Inggeris. Tulislah apa sahaja, langkah-langkah membuat durian crepe, pengalaman memanjat Broga Hill malah review drama Korea yang baru ditonton pun boleh.

Jika mahukan band 5 pula. Bahan bacaan dan penulisan yang lebih kritikal perlu dijadikan bahan makanan harian. Bacalah surat khabar dan ambil tahu isu-isu semasa agar dapat diulas dalam penulisan serta sesi soal jawab. Hafal sebanyak mungkin kata-kata hikmah seperti ‘Education is the only weapon which you can use to change the world’. Iya, jangan kita bermimpi mahu mengubah dunia kecuali dengan pendidikan. Dan pendidikan hanya datang kepada mereka yang cintakannya.

Kesemua langkah ini, jika diamalkan dengan tekun dan sabar, ditambah pula kelas-kelas teknik menjawab, semangat juang jitu dan doa sebagai senjata mukmin, setakat capai band MUET itu, apalah sangat? Banyak lagi isu lain yang sepatutnya dijadikan buah bicara warga siswa dan siswi kita, pemimpin masa hadapan negara daripada mengeluh perihal takut tak lulus subjek.

Selain itu, jika masih tidak cukup. Adik-adik pelajar boleh juga mengikuti kelas-kelas tusyen khas untuk MUET ataupun kelas bahasa Inggeris percuma di Youtube oleh EduNation. Nak yang antarabangsa? Sila google KhanAcademy. Atau buat carian permainan bahasa percuma secara online jika mahu belajar sambil bermain.

Jika tidak berkemampuan dari segi kewangan untuk bayar tusyen, saya jemput kunjungi laman facebook dan blog Endless-English.blogspot.com dan tanyalah sebanyak mana soalan berkaitan bahasa Inggeris. Nescaya saya akan berusaha membantu anda yang mahu belajar. Pepatah cina ada berpesan, ‘Apabila murid sudah bersedia, guru pasti akan muncul untuknya.’

Asas anda lemah? Anda lebih suka belajar bahasa Inggeris dengan menggunakan bahasa Melayu? Tak ada masalah. Saya mencadangkan buku English itu Mudah WOW! My English keluaran ahli akademik UPSI, boleh didapati secara online atau di kedai-kedai buku. Disamping itu, boleh juga lawati laman facebook ‘Home Tutor kongsi TIPS & TOOLS anak cemerlang’ yang menyediakan perkhidmatan tusyen bahasa Inggeris melalui Whatsapp dengan cas bulanan yang amat minima.

Nah, apa lagi kita mahukan? Saya percaya tak ada pelajar yang setelah berusaha dengan konsisten akan gagal. Hatta jika gagal sekalipun, bangkit dan cuba sekali lagi. Apa masalahnya? 

Sebagai pengakhiran saya ingin berkongsi kisah Zaid bin Thabit. Beliau berkata, Rasulullah SAW tidak selesa apabila berhadapan dengan kaum Yahudi maka baginda menyuruhnya belajar bahasa mereka. Beliau pun belajar. Tidak sampai setengah bulan Zaid telah menguasai bahasa Ibrani. Lantas beliau dilantik sebagai penulis dan penterjemah untuk Rasulullah SAW pada usia semuda belasan tahun.

48 comments:

  1. Do you need Personal Loan?
    Business Cash Loan?
    Unsecured Loan
    Fast and Simple Loan?
    Quick Application Process?
    Approvals within 4 Hours?
    No Hidden Fees Loan?
    Funding in less than 72hrs
    Get unsecured working capital?
    Email us: fastloanoffer34@gmail.com
    Whats-app us on +918929509036

    ReplyDelete
  2. Congratulations on your article, it was very helpful and successful. f139bb65e9f89b919c868004006eb60b
    website kurma
    website kurma
    sms onay

    ReplyDelete
  3. <a href="https://almthaly-dammam.com/%d8%b4%d8%b1%d9%83%d8%a9-%d9%85%d9%83%d8%a7%d9%81%d8%ad%d8%a9-%d8%ad%d8%b4%d8%b1%d8%a7%d8%aa-%d8%

    ReplyDelete

Ideas in words by