Friday, January 14, 2011

Perkongsian Bro Jo: Masyarakat Islam Moden (Cabaran dan Penyelesaian)

Entri ini dikisarkan daripada usrah oleh Saudara Johari Mohamad ataupun nama glamer beliau dalam dunia usrah, Bro Jo. Usrah ini anjuran komuniti ILuvWarwick yang walaupun tidak berdaftar tetapi mempunyai pergerakan yang tersusun. Semoga mendapat rahmat Allah atas segala usaha yang dijalankan dan semoga usaha akan diteruskan selagi pejuang Islam masih bernafas dibumi Warwick. Diharap semoga beroleh manfaat daripada ilmu yang disampaikan.


Topik: Masyarakat Islam moden - Cabaran dan Penyelesaian

1.Perbezaan manusia dahulu dan sekarang.

Kita sedari bahawa ada manusia diturunkan dalam keadaan Islam belum sampai kepada Muhammad SAW. Ada yang diturunkan dalam waktu Muhammad SAW membawa ajaran Islam keseluruh pelusuk dunia. Ada yang diturunkan diwaktu kegemilangan Islam sebagai pemerintah dunia. Persoalannya kenapa kita diturunkan diwaktu Islam kembali menjadi asing?Mengapa tidak dijadikan kita bersama Rasulullah supaya iman kita lebih kukuh berjihad disamping Rasulullah? Mengapa tidak dijadikan kita diwaktu pemerintahan Khalifah Umar Abd Aziz, bukankah lebih mudah menjaga iman pada ketika hukum Allah diterapkan didunia?

Sesungguhnya, kerana kita sebenarnya terpilih untuk turut serta dalam perjuangan menegakkan semula Islam. Sesungguhnya semua ini tertakluk didalam perancangan Allah bahawa Islam itu tidak memerintah sekarang dan kembali kedalam keadaan ghuraba’ (asing). Tanpa kita sedari, Allah memberi peluang jihad bagi kita untuk mengejar rahmatNya dan turut serta dalam perjuangan menegakkan daulah Islam, tetapi adalah inisiatif kita sendiri untuk merebut peluang ini dalam membantu perjuangan menegakkan semula daulah Islam. Sekiranya kita tidak, maka ternyata kita tergolong dalam golongan mereka yang rugi.


2.Faktor-faktor kelemahan umat Islam.

a) Bidaah.

Penambahan dalam ibadah ini perlu dijaga. Apa yang tidak disuruh oleh Allah dan tidak dilakukan oleh Rasulullah ataupun para sahabat tidaklah boleh kita laksanakan kerana bidaah ini sesuatu yang memecahbelahkan umat Islam dan tidak memberikan kekuatan kepada kita. Menyebabkan kekeliruan dan masyarakat memandang enteng terhadap ajaran Islam kerana tiada kesefahaman.

b) Penjajahan oleh orang kafir.

Negara-negara Islam yang pada mulanya disatukan bawah pentadbiran Khalifah Islam telah dimusuhi, diperangi dan dijajah oleh kuasa-kuasa penjajah seperti British, Perancis, Amerika, Sepanyol dan sebagainya. Lihat contoh Negara Arab yang pada awalnya bersatu atas panji Islam kini kembali kezaman assabiyah dan bersifat tempatan. Begitu juga contoh Malaysia dan Indonesia sendiri, bagaimana pada mulanya kita mengikuti pemerintahan Islam tetapi telah dijajah dan dikelirukan oleh penjajah dengan ideology nasionalisme. Berapa ramai daripada kita yang mencemuh saudara seislam kita dari Indonesia hanya kerana mereka berasal dari sana? Berapa tegang hubungan antara Indonesia dan Malaysia kerana factor percanggahan tempatan walhal sepatutnya kita bersatu dibawah panji Islam sepertimana sebelum kedatangan penjajah lagi.

c) Strategi musuh Islam.

Dasar sekularisme yang diterapkan mengasingkan Islam daripada cara hidup menyebabkan kefahaman terhadap Islam hanya terhad kepada dalam surau sahaja. Umat Islam terus lemah dan sama dengan masyarakat yang lain kerana tiadanya kelebihan kefahaman Islam dalam tamaduan dan pemikiran kita.


3.'Push factor' Bro Jo

Sesungguhnya dalam mencari nur kefahaman Islam, setiap daripada kita memerlukan satu permulaan. Permulaan ini aku panggil sebagai 'push factor'. Bagi Bro Jo, beliau telah berkongsi pengalaman beliau ketika menuntut diuniversiti, disaat beliau berbelah bagi nak turut serta dalam Nadwah program (ajakan kakak beliau) atau pergi ke trip percutian di Pulau Tioman. Tetapi dihidayahkan oleh Allah untuk turut serta dalam Nadwah program dan disitu beliau menemui kefahaman Islam dan kefahaman betapa terpisahnya kehidupan kita daripada Islam selama ini. Disitulah berlakunya permulaan pengislahan diri dan proses mencari kefahaman Islam.

4.Cara Istiqamah Bro Jo

Bagi menjaga iman, istiqamah adalah faktor yang penting. Bro Jo bermurah hati berkongsi cara beliau mencari istiqamah dan 'refresh' iman beliau. Beliau selalu mengingatkan hati dan memikirkan kasih sayang Allah kepada kita. Betapa sayangnya Allah kerana tidak membiarkan kita jahil dan lebih sesat. Beliau juga selalu berasa bimbang akan ketandusan hujah dihadapan Allah akan sebab kenapa kita patut dimasukkan kedalam syurga. Justeru perlu lebih berusaha mencari keredhaan Allah dalam apa jua untuk dijadikan hujah kita dihadapan Allah nanti.


5.Kisah dakwah Islam versus penagihan dadah diMalaysia

Antara analogi menarik yang dikongsi Bro Jo adalah perbandingan Dakwah dan Penagihan dadah diMalaysia. DiMalaysia ada kira-kira lebih sejuta penagih dan setiap hari penagih-penagih baru tidak pernah gagal direkrut. Tetapi usaha dakwah Islamiyah pada hari ini adakah dapat menarik lebih ramai orang kearah kefahaman Islam setiap hari jika dibandingkan dengan statistik penagihan dadah? Sudah cukupkah usaha dakwah Islam dijalankan? Refleksi ini boleh dijadikan motivasi untuk kita terus menambah usaha dakwah Islam terutamanya bagi saudara kita diMalaysia.


6.Sirah banyak mengisahkan kehebatan dan keperluan pemuda dalam revolusi Islam!

Bro Jo juga berkongsi kisah-kisah menarik tentang pemuda-pemuda Islam yang menegakkan Islam walaupun mereka muda. Ini menekankan keperluan anak muda dalam proses menegakkan Islam dan mengingatkan kita bahawa muda itu bukanlah kekangan daripada menjadi seorang pejuang Islam!

a) Nabi Ibrahim a.s. adalah merupakan seorang pemuda disaat baginda mengambil keputusan untuk memecahkan patung berhala sembelahan kaumnya. Disaat baginda berhujah dengan Namrud, baginda adalah seorang lelaki yang masih muda.

b) Kisah kesabaran pemuda Kahfi dalam usaha menjaga iman mereka daripada disesatkan. Mereka pada ketika mengambil keputusan untuk mengasingkan diri adalah merupakan golongan pemuda.

c) Salehudin Al-Ayubi disaat menjadi panglima perang untuk Nur al-Din di Damsyik hanya berusia lewat belasan tahun. Begitu juga Sultan Muhammad Al-Fath yang memegang tampuk pemerintahan kekhalifahan disaat berusia 19 tahun.

d) Nabi Muhammad saw juga merupakan pemuda yang tekad tidak diselimuti budaya jahilliyah disaat baginda masih belum mendapat wahyu daripada Allah SWT.

Kita perlu sedar bahawa pemuda merupakan masa depan negara. Cara untuk merosakkan sesuatu negara adalah dengan merosakkan pemuda mereka. Lihat disekeliling kita pada hari ini, negara-negara berteknologi tinggi tetapi ketiadaan sahsiah dan didikan baik untuk pemuda maka masyarakat yang dilahirkan dan generasi yang berganti-ganti hidup dalam cara hidup yang jahil. Masalah sosial meningkat dan sebagainya.


7.Persediaan Pemuda-Pemudi Islam

a) Persediaan Pemikiran:

a. Mengambil tahu pengetahuan Islam. Perlu fahami hakikat fahaman sekular sekarang ini yang memisahkan Islam daripada cara hidup. Anak muda Islam perlu sedar dan yakin bahawa Allahlah yang meciptakan kita, kerana itu segala masalah perlulah dirujuk kepada hukum Allah SWT dahulu sebelum digunakan logik akal dan rasional. Ini adalah kerana selaku pencipta, Allahlah yang mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk untuk kita. Logiknya pencipta sebuah mesin akan tahu apa yang perlu bagi mesin itu untuk beroperasi dengan baik dan apa yang patut dielakkan bagi membolehkan mesin itu beroperasi dengan baik. Begitu juga kita manusia, hamba ciptaan Allah.

b. Setelah mengetahui pengetahuan Islam, anak muda perlulah menjadi ahli-ahli bidang ilmu yang mereka pelajari. Ilmu dunia perlu dipelajari untuk membawa kegemilangan Islam dalam bidang-bidang yang dipelajari. Jika kita lihat pada hari ini bidang sains dan teknologi amat kurang dan mundur dinegara-negara Islam jika dibandingkan dengan negara-negara barat secular, kerana pemuda dan pemudi Islam memandang enteng dan tidak menjadi pakar dalam ilmu-ilmu sebegini. Islam bukan hanya untuk ajaran agama disurau-surau tetapi juga berkaitan ilmu dunia. Ambil contoh tokoh-tokoh Islam sewaktu zaman keemasan Islam dahulu.

b) Persediaan Jiwa:

a. Anak muda perlu mendekatkan jiwa dengan Allah. Perlu mempertingkatkan kebergantungan kepada Allah dan lebih menjaga hubungan hati dengan Allah. Ini adalah untuk ‘check and balance’ dalam kehidupan kita agar tidak jauh tersasar daripada apa yang diperintahkan Allah. Selalunya manusia lebih mengikut logik akal daripada suruhan Allah kerana kita tidak menjaga hati dan hubungan dengan Allah. Maka kita gagal melihat perintah Allah sebagai ‘the ultimate call’ kerana kita telah dibutakan mata hati dengan logik akal kita sendiri.

b. Perlu kerap berjihad melawan nafsu sendiri. Cara praktikal yang disarankan adalah dengan memikirkan dan membuat list sebab kecenderungan kita melakukan nafsu. Contoh kita sering melakukan nafsu apabila bersendiri, maka sekiranya kita sedari perkara ini. Bagi menjaga dan memelihara diri, maka ambillah keputusan untuk selalu bersama dengan rakan-rakan lain agar diri lebih terpelihara. Contoh jika kita sering melakukan maksiat tatkala melewati laman facebook dengan memerhati profil-profil awek-awek, maka apa yang boleh kita lakukan sebagai langkah mencegah daripada terus melakukan maksiat ini? Kenalpasti masalah dan cari jalan penyelesaiannya secara praktikal.

c) Persediaan Organisasi

a. Anak muda perlu sedar kepentingan berorganisasi terutamanya organisasi-organisasi Islam yang berjuang untuk menegakkan daulah Islamiyah. Setelah anak muda melengkapkan diri dengan ilmu kefahaman Islam dan kefahaman ilmu dunia, maka carilah jalan menyumbang dalam organisasi dan pergerakan yang mendaulahkan Islam dan nilai-nilai ajarannya.

*Begitulah sedikit sebanyak ilmu yang dikongsikan melalui pengisian oleh Bro Jo. Perlu diingatkan bahawa penyampaian oleh Bro Jo telah diadaptasikan oleh penulis dalam bentuk penulisan maka mungkin terdapat perbezaan dari segi susunan ayat. Sebarang kesilapan minta diberitahu supaya dapat diubah dengan segera.

Selamat dan Semoga bertemu motivasi untuk menjadi Pejuang Islam! ;)

1 comment:

Ideas in words by