Thursday, August 30, 2012

Erti Puteri Gunung Ledang dan kisah klasik Melayu

Salam Merdeka55. Salam 1Malaysia, jasa kepada rakyat.

Ramai daripada kita pernah mendengar hikayat Puteri Gunung Ledang (PGL). Hikayat melayu lama yang telah ada sejak dahulu lagi. Pernah juga kita dengar kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Persoalannya mengapa hikayat dan kisah ini ditulis? Adakah ianya berlandaskan kisah benar, sejarah yang berlaku. Ataupun kisah-kisah ini mempunyai makna dan pengajaran yang ingin disampaikan didalamnya? Ataupun hanya sekadar untuk menjadi kisah hiburan, bualan mulut dan bedtime story

Sebenarnya jika kita lihat, kisah-kisah begini pasti punya pengajaran dan sebab mengapa mereka ditulis. Kita ambil contoh kisah Little Red Riding Hood (LRRH). Kisah ini bukan sekadar ditulis untuk dibacakan kepada anak-anak tatkala mereka mahu tidur. LRRH ditulis sebagai peringatan untuk anak-anak gadis supaya jangan mudah terpedaya. Jika kita lihat dalam tulisan asal kisah LRRH ini oleh Charles Perrault, tiada pengakhiran yang baik untuk LRRH melainkan akhirnya dia dimakan oleh serigala yang begitu manis menggoda dengan kata-kata baiknya.

Gadis kecil didalam LRRH itu begitu naif dan mudah menerima bulat-bulat apa yang dikata oleh serigala sehingga diperdaya dan akhirnya dimakan. Sesetengah pendapat lain mengatakan bahawa kisah LRRH ini bertujuan untuk mengingatkan anak gadis supaya jangan keluar seorang diri dikawasan terpencil serta supaya tidak mudah mempercayai orang yang tidak dikenali terutamanya seorang lelaki. Ini adalah kerana pada waktu itu, kes rogol gadis muda amat berleluasa, justeru kisah ini ditulis. 

Sekarang mari kita kaji hikayat Puteri Gunung Ledang. Pertamanya, adakah ini hikayat ini merupakan cerita benar yang diadaptasi? Jawapannya tidak, PGL bukanlah berlandaskan kisah benar sepertimana tulisan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang yang ditulis mengikut kisah yang benar-benar berlaku. Simboliknya Sultan Mahmud Mangkat Dijulang merupakan kisah pemberontakan tertulis pertama rakyat terhadap kezaliman sultan pada masa dahulu dimana raja yang zalim telah dibunuh kerana kebodohannya sendiri yang murka kerana seulas nangka. 

Berikut merupakan beberapa interpretasi berkenaan hikayat PGL yang dikaitkan dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka.

1. Kita selalu difahamkan bahawa Sultan Mahmud merupakan seorang sultan yang zalim. Antara kezaliman yang kita nampak ialah apabila keluarga Bendahara Tun Mutahir dibunuh kesemuanya kecuali Tun Fatimah dan seorang budak kecil yang lain apabila mereka difitnah mengkhianati negeri Melaka.

2. Dalam masa yang sama, kita juga selalu difahamkan bahawa sultan Mahmud adalah seorang kaki perempuan. Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa keluarga Tun Mutahir sebenarnya dibunuh kerana Sultan Mahmud berkeinginankan Tun Fatimah. Tun Fatimah dijodohkan bersama Tun Ali dan ini mengakibatkan kekecewaan bagi Sultan Mahmud kerana dia berpendapat bahawa sebagai bendahara, Tun Mutahir patut menjodohkan anaknya dengan Sultan Mahmud. Akibat melepas dan timbulnya fitnah terhadap keluarga Tun Mutahir oleh Si Kitul, Raja Madeliar, maka kesempatan ini diambil dan keseluruhan keluarga Tun Mutahir dihukum bunuh. Namun Tun Fatimah dibiarkan hidup, mengapa?

3. Berkaitan dengan dua sifat Sultan Mahmud diatas, timbul ketidakpuasan hati dikalangan pembesar dan rakyat Melaka. Namun kita semua tahu bahawa usahlah mahu mencerca malah menegur sultan pun merupakan pengkhianatan besar dan boleh dijatuhkan hukuman mati. Raja-raja berpelembagaan sekarang pun pantang ditegur, apatah lagi raja dahulu yang punyai kuasa absolute?

4. Maka, terciptalah hikayat PGL sebagai satu bentuk sindiran terhadap sifat kaki perempuan dan zalimnya Sultan Mahmud yang akibat mahukan seorang perempuan sanggup dilakukan apa saja. Mengikut hikayat PGL, bukan setakat jambatan emas dan jambatan perak, permintaan hati kuman dan hati nyamuk sebanyak 7 dulang pun sanggup ditunaikan. Hati kuman dan hati nyamuk disini sebagai simbolik seorang sultan yang sanggup menggadaikan hati-hati rakyat semata demi mencapai matlamat yang diingininya. Manakala 7 tempayan anak mata dara pula sebagai simbolik air mata anak-anak gadis yang dipaksa berpisah dengan keluarga dan dipaksa menjadi gundik kepada sultan. 

Sindiran terhadap kezaliman sultan, kisah pemberontakan terhadap sultan yang zalim dan ikut kepala sendiri sudah sekian lama tertulis. Ini semua adalah peringatan bagi sultan-sultan yang ada supaya beringat. Kisah pergaduhan Hang Tuah dan Hang Jebat juga merupakan sindiran-sindiran bagi sultan apabila Jebat mengatakan "Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah." Dalam masa yang sama karya ini juga berniat menyindir rakyat yang ikut perintah sultan membuta-tuli dimana Hang Tuah yang pada awalnya dibuang negeri akhirnya dipanggil apabila khidmatnya diperlukan oleh kesultanan Melaka lalu pahlawan Melaka itu patuh! Semua kisah dan hikayat ini membawa maksud, terletak kepada interpretasi masing-masing. 

Akhir sekali, bak kata Hang Tuah kepada Puteri Gunung Ledang apabila puteri bertanya sama ada Hang Tuah sanggup mengikut syaratnya sekiranya Hang Tuah mahu menjodohkan puteri dengan sultan. Hang Tuah menjawab "Kalau nak ikut biar pintar, kalau nak menurut biar berakal." Sungguh ironi. 

1 comment:

Ideas in words by