Wednesday, April 06, 2011

Mempersoalkan dunia.

Manusia dilahirkan dengan akal, nafsu dan emosi. Setiap satu melengkapi antara satu sama lain. Tanpa nafsu dan emosi tiada kegembiraan dan motivasi dalam kehidupan sehari-hari. Tanpa akal, maka manusia akan tiada daya untuk menjadi progresif dan kreatif dalam hidup.

Semua ini ketentuan Allah, apa yang diberikan oleh Allah adalah berdasarkan apa yang terbaik untuk kita.

Banyak daripada kita sering mempersoalkan banyak perkara-perkara secara rambang. Ini tidak salah, memang akal dijadikan untuk menafsir kehidupan dan nafsu dijadikan untuk motivasi dan ghairah manusia dalam mencari kebenaran serta emosi untuk mendekatkan diri secara emosional dengan Allah.

Tapi kita perlu faham satu benda, apa yang kita sangkakan terbaik, tak semestinya terbaik untuk kita.

Pernah aku terdengar persoalan daripada seorang rakan yang agak rapat, mengapa tuhan menjadikan kita dengan emosi? Atau mengapa Islam membenarkan perang untuk menyebarkan ugama.

Jujur, aku gagal menemui jawapan yang memuaskan hati aku bagi persoalan-persoalan ini sejak beberapa lama berfikir. Bukan aku nak jawab kepada kawan aku, tidak. Sekadar untuk pemahaman dan kepuasan diri, betul juga apa yang ditanyanya.

Kemudian suatu hari aku menemui jawapan yang dicari-cari dan memuaskan hati aku. Seorang syeikh ketika program talk di Warwick University oleh Warwick ISOC berkata kepada aku setelah aku tanyakan kepadanya soalan mengenai perang dan islam itu.

Antara poin-poin penting dalam perbincangan aku dan dia adalah seperti berikut. Perang dijadikan oleh Allah sebagai satu naluri dalam ciri manusia. Sejak dahulu lagi manusia telah berperang dan sebagainya atas sebab penciptaan nafsu, emosi dan sebagainya. Antara perang terbanyak yang meragut nyawa manusia bukanlah peperangan disebabkan agama tetapi perang sekularisme iaitu Perang dunia pertama dan kedua, perang untuk kekuasaan, ekonomi dan dsbnya yang meragut beratus juta nyawa dalam siri peperangan yang hanya memakan masa beberapa tahun. Didalam Quran juga disebut oleh Allah untuk memerangi musuh-musuh yang menjatuhkan Islam, bukan memerangi orang bukan Islam tetapi memerangi 'musuh-musuh' Islam. Jadi hari ini, keputusan untuk membenarkan perang, adakah ianya milik manusia atau pun hak milik Pencipta manusia?

Apa yang aku dapat fahami ialah, terdapat perkara yang memang dijadikan oleh Allah untuk manusia sebagai ujian, sebagai peluang dan lain-lain. Tertakluk didalam tanggungjawab kita untuk menggunakannya berdasarkan keredhaan dan ketentuan Allah.

Sekiranya kita mahu mempersoalkan semua perkara didalam dunia, memang bermacam persoalan boleh diajukan. Tapi jawapan apakah yang kita harapkan untuk persoalan-persoalan kita? Lebih baik kita tanya, kenapa Adam diturunkan dari syurga sekaligus membawa seluruh bangsa manusia kemuka bumi ini? Kan lebih baik sekiranya manusia dicipta untuk hidup didalam syurga dan berzikir kepada Allah? Tetapi bagi aku, segala keputusan oleh Allah ada hikmahnya. Bukanlah untuk kita manusia mempersoalkan keputusan-keputusan sebegini sehingga ketahap ekstrim dan menggoyahkan akidah, kerana jika ia pun, tiada jawapan yang dapat kita harapkan selain dengan ilham daripada Allah.

Dan segala persoalan dan pemikiran ini sepatutnya akan lebih mendekatkan diri kita dengan Pencipta dan menyedarkan kita betapa kerdilnya pemahaman dan kekuatan yang ada dalam diri ini jika dibandingkan dengan kekuasaan Allah, insyAllah.

Wallah'ualam.

No comments:

Post a Comment

Ideas in words by