Thursday, February 06, 2014

Kasta Anak Muda

Telah termaktub didalam mana-mana lipatan sejarah, perjuangan politik sebenarnya adalah perjuangan antara kasta masyarakat, yang lemah tertindas berhadapan dengan yang kuat dalam mencari keadilan.

Sebagaimana pemberontakan hamba diwaktu Rom Kuno, pemberontakan petani-petani dizaman Eropah Medieval, perang-perang saudara dan revolusi abad ke-17 dan ke-18. Seperti juga pemberontakan golongan pekerja di Perancis 1871, di Russia 1917, di German dan Hungary 1919, di Itali 1920, di Chile 1972-73, di Portugal 1975, di Iran 1979 dan di Poland 1980. (Chris Harman, 1979)

Begitu juga jika dilihat dalam perkembangan Islam yang dibawa oleh Muhammad bin Abdullah SAW – Rahmatan lil Alamin. Islam pada mulanya ketika proses dakwah secara sembunyi-sembunyi yang memakan masa selama tiga tahun, lebih mudah diterima oleh golongan hamba dan fakir miskin. Tercatat dalam riwayat-riwayat berkenaan Bilal bin Abi Rabah, Ammar bin Yasir, Khabab bin Arrati, Shuhaib Rumy, Amir bin Fuhairah, Abu Fakihah termasuklah yang perempuan Lubainah, Zunayrah, Nahdyah, Ummu Unais dan ramai lagi yang didera dan diseksa oleh tuan-tuan mereka kerana menganut ajaran Islam.

Tatkala dakwah Islam, Rasulullah SAW teguh dan tegas mempertahankan prinsip-prinsip keadilan serta kesaksamaan dalam masyarakat yang pada ketika itu telah begitu parah dilanda kebobrokan akhlak. Masyarakat Arab Jahiliyah yang ditinggalkan tanpa petunjuk oleh seorang Nabi selama beratus tahun akhirnya menjadi sebuah masyarakat yang kerap menzalimi antara satu sama lain, berbunuh-bunuhan kerana perbezaan pendapat, rasuah berleluasa, menindas wanita sekadar sebagai objek seks dan pelbagai lagi perkara yang menjadikan golongan hamba dan fakir miskin yang lemah kian tertindas manakala mereka yang kaya dan berkuasa disanjung seperti raja dan Tuhan.

Inilah hakikatnya, perjuangan politik adalah perjuangan antara kasta masyarakat. Masyarakat yang tertindas pasti akan bangkit menuntut hak-hak yang samarata sebagai makhluk ciptaan Tuhan. Kita semua dicipta sama. Dengan akal, anggota, roh dan destinasi tujuan yang serupa. Perbezaan ‘superficial’ yang ada sesama kita adalah ujian yang diberikan untuk membezakan mereka yang memperjuangkan hak daripada mereka yang mempertahankan kebatilan.

Walaubagaimanapun, setiap kebangkitan politik hasil usaha keras golongan lemah dan tertindas pasti akan berakhir dengan kewujudan pemerintah elit yang baru. Sepertimana penggantian golongan elit kapitalis yang mengambil alih kuasa politik dan ekonomi daripada monarki selepas Revolusi Perancis. Golongan bawahan yang sebelumnya bergelar hamba, kini cuma bertukar status kepada hamba-gaji yang masih wajib menurut arahan tangan-tangan yang membayar mereka biarpun dalam melakukan perkara yang batil. Begitu juga sistem pemerintahan khalifah Islam yang berlandaskan musyawarah dan keadilan akhirnya berubah menjadi pemerintahan beraja anak-beranak warisan turun-temurun. Apabila prinsip keadilan dan kesaksamaan tidak lagi dipegang, apabila golongan tertindas tidak lagi dibela tanpa mengira asal mereka maka hancurlah kepercayaan lalu bodoh dan zalim berderu-deru masuk ke dalam sebuah masyarakat yang lebih selesa mengampu daripada berkata menentang perkara yang tidak benar, yang lebih selesa mengumpul kekayaan untuk ditunjuk-tunjuk daripada dikongsikan bersama.

Jadi, kemanakah halatuju politik Malaysia yang paling sesuai jika bukan untuk memberikan hak kepada golongan tertindas agar kemaslahatan umum dapat dicapai dan sebuah bangsa Malaysia yang aman, saling mencintai dan progresif dapat dibina.

Saya berpendapat bahawa golongan susah dan tertindas wajib dibela oleh semua pihak di semua peringkat kerana keadilan ekonomi dan sosial yang samarata dapat menjamin kemajuan sesebuah masyarakat secara lebih seimbang.

Saya juga berpendapat bahawa mereka yang paling wajib membela golongan susah dan tertindas adalah generasi muda. Seperti yang ditekankan oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi, “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.” 

Justeru, apabila bangkitnya generasi muda sesebuah masyarakat membela keadilan tanpa kompromi nescaya kezaliman akan luntur dan membangunlah kehidupan sosial masyarakat tersebut seperti yang diimpi-impikan. 

Tuesday, February 04, 2014

Tugas cikgu bukan lagi mengajar.

Tugas cikgu bukan lagi mengajar? Biar betul?!

1. Sekarang ni tugas utama nombor wahid seorang guru bukan lagi mengajar. Tapi tugas nombor satu cikgu adalah kemaskini dan susun fail cantik-cantik untuk tatapan pegawai atasan.

2. Jadi ini bermakna klien nombor satu seorang cikgu juga bukan lagi pelajar, tetapi klien utama sekarang ni adalah pegawai-pegawai atasan. Pegawai-pegawai inilah yang perlu dipuashatikan agar kemaslahatan cikgu-cikgu kekal terjaga (Rekomen naik pangkat dsbnya, orang atas kena jaga beb. Hehehe.)

3. Sebab kalau seorang cikgu nak lorat-lorat beri tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran (P&P) banyak masa dia akan terbuang. Kita ambil contoh seorang cikgu Bahasa Inggeris yang rata-rata mengajar 25 - 30 waktu seminggu dalam 3,4 atau 5 kelas.

4. 3,4 atau 5 kelas ini jika semuanya kelas sama tingkatan kira okay la lagi. Sebab jika semua tingkatan 2, maka spesifikasi kurrikulum yang digunakan adalah sama untuk tingkatan 2. Sasaran P&P juga hampir sama, cuma level pelajar berbeza-beza. Tapi bayangkan cikgu yang mengajar 3,4 atau 5 kelas berbeza contohnya campur-campur antara tingkatan 1, 2 dan peralihan? Spesifikasi kurrikulum mereka pun berbeza-beza, sasaran P&P juga berbeza. Pelajar peralihan pasti berbeza cara mengajar mereka berbanding pelajar tingkatan 2. Bukan kah lebih banyak masa untuk merancang P&P diperlukan?

Jadi guru kini tidak seindah dulu.

5. Saya baca ungkapan ini di Newsletter KPPK kata-kata daripada Presidennya Saudara Hashim Adnan. Memang benar. Ibu bapa saya juga kedua-dua mereka guru. Mereka kata biarpun dulu gaji cikgu sebulan dua ratus ringgit, pergi sekolah sekadar naik motor tapi kita 'enjoy' mengajar. Jumpa ibubapa berbincang tentang prestasi anak-anak (Siap ibubapa buatkan minum petang, mana tak best kan? Hehehe.) Ibubapa dulu pun banyak percayakan guru sampai kata "Cikgu pukullah anak saya macam anak cikgu sendiri. Asalkan tak mati tak cacat sudahlah." Kerana mereka tahu, cikgu ni kerjanya bukanlah nak marah atau pukul budak tanpa sebarang sebab. Ibubapa dulu juga ramai yang berminat nak tengok anak-anak mereka rajin belajar. Tetapi kini? Sikit-sikit mau hantam cikgu adalaaa.

6. Perlu diingatkan bahawa memang ada cikgu yang sambil lewa dalam mengajar tetapi sebenarnya ramai yang betul-betul ambil peduli dan mahu membantu. Begitu juga ibu bapa, memang ramai yang mahu membantu guru-guru mendidik anak mereka cuma baru-baru ini nampaknya semakin hambar. Macamana nak tau hambar ke tidak? Kiralah berapa ramai ibu bapa yang datang untuk perjumpaan PIBG bersama pihak sekolah berbincang berkenaan anak mereka sendiri, bukannya anak orang lain. Lepas tu bandingkan dengan jumlah berapa ramai ibubapa yang datang ke sekolah untuk ambil bantuan RM100 yang kerajaan bagi. Siap beratur pun tak apa I cakap you. Hehehe.

7. Kini, tugas cikgu, selain daripada mengajar, perlu siapkan fail serta dokumen, buat kertaskerja untuk program, urus aktiviti sukan, urus persatuan, kuiz, minggu bahasa inggeris, minggu bahasa melayu, jadi emcee perhimpunan, hias dewan untuk majlis terutama lagi bila ada 'orang besar dari luar' yang nak datang, jadi cikgu bertugas, cikgu disiplin, cikgu bilik fail, cikgu spbt dan bermacam-macam  lagi. Tak masuk lagi dengan kelas tambahan samada sukarela atau yang 'dipaksa' oleh pentadbiran. Ini semua tugas guru. Juga memberikan kerja rumah yang bersesuaian, semak kerja rumah suruh pelajar buat pembetulan dan semak semula pembetulan. Apa lagi kerja guru? Anda hitunglah sendiri.

8. Selain pengajaran, kita tak masuk lagi tentang pengurusan kelas. Bagaimana nak ajar jika ada pelajar degil? Menguruskan disiplin pelajar. Lebih-lebih lagi pelajar yang naik kepala sebab ada 'back-up' ibu bapa yang mana anak mereka tak pernah salah. Ditambah pula dengan peraturan-peratuan disiplin seperti dalam gambar dibawah. Suruh murid berdiri lama pun tak boleh. Apaaacriitttaaa?


9. Kemudian cikgu-cikgu ditekan pula menyiapkan fail-fail untuk ditatap oleh pegawai-pegawai atasan. Bermacam-macam jenis fail. Nak tahu tanyalah seorang cikgu terutama jika dia ditugas untuk menguruskan bilik fail. Haa, jangan terkejut jika sekolah ada bilik fail yang raknya bukan main besar dah macam perpustakaan siap kena naik ladder lagi. Ini mesti sekolah kluster. :p

Gambar hiasan tetapi real dan true: bilik fail yang penuh dengan fail PBS.

10. Akhirnya, apa kesan yang kita terima? Cikgu tak lagi mampu untuk meletakkan sepenuh fokus kepada P&P. Masa rehat dibilik guru yang jika dulu boleh diguna untuk berbincang sesama warga pendidik tentang kaedah P&P masing-masing terpaksa digunakan untuk menyiapkan kertaskerja program Minggu Bahasa Inggeris.

11. Masa petang untuk cikgu-cikgu pula digunakan untuk merancang kegiatan kokurikulum termasuklah persatuan, kelab sukan dan badan beruniform. Masa malam cikgu pula selain daripada P&P, juga terpaksa digunakan untuk 'key-in' data ke dalam sistem seperti yang dimahukan oleh pegawai atasan.

12. Bukankah lebih baik jika beban-beban kerja golongan guru ini dikurangkan terutamanya yang melibatkan tugas pengkeranian. Bukankah lebih baik jika para guru boleh menggunakan masa mereka sepenuhnya untuk klien utama mereka iaitu anak murid. Bukankah lebih baik jika ada pegawai khas bidang kokurikulum untuk merencana aktiviti sukan, persatuan dan badan beruniform dengan lebih tersusun? Macamana seorang cikgu dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada P&P anak murid mereka jika perlu mengajar 2 atau 3 subjek untuk 2 atau 3 kelas berbeza disamping menguruskan sebuah kelab sukan dan persatuan disamping tugas-tugas pengkeranian lain dan perlu juga fikirkan tentang macamana nak hias dewan atau nak buat persembahan yang boleh buat ' tetamu orang besar' tersenyum gembira sewaktu hari anugerah. Belum masuk hari kantin lagi? Hari sukan lagi? Hari ambil buku prestasi lagi? Hari bagi bantuan persekolahan RM100 lagi?

Pentingnya para guru dalam sesebuah masyarakat.

13. Ramai orang kata pekerjaan paling mulia adalah guru. Bagi saya, dalam sesebuah negara, pekerjaan paling 'penting' adalah guru. Mulia tu kita tolak belakang dulu, kita cakap soal pentingnya para guru ini. Justeru, suara golongan guru perlu didengari dan dinilai pendapat mereka kerana merekalah 'frontliner' dalam sistem pendidikan kita. Bukan ibubapa, bukan pegawai ppd, bukan pegawai kpm, bukan juga pak-pak Menteri sebaliknya para gurulah barisan paling hadapan yang melaksanakan sistem pendidikan kita. Maka wajarlah suara dan pendapat mereka yang paling utama diambilkira untuk menambah baik pendidikan kita sendiri.

14. Seperti jika pergi berperang, yang paling sesuai bagi cadangan adalah askar-askar yang pergi membuat reconnaissance atau askar yang berdepan dengan musuh di medan perang kerana merekalah yang paling faham akan situasi di lapangan. Jika pendapat mereka ini tidak diambil kira oleh pegawai atasan mereka, maka tak mustahil mereka akan terkorban diserang bertalu-talu.

15. Pernah saya sertai satu kem motivasi. Saya antara sedikit pelajar B. Ed. TESL yang ada dalam kem itu. Yang lain ramai daripada mereka menuntut dalam bidang kedoktoran, farmasi, undang-undang, ekonomi dan bermacam lagi. Sewaktu memberi taklimat berkenaan 'field of study' kepada adik-adik peserta kem motivasi, ramai yang bercerita tentang hebatnya dan pentingnya kursus yang diambil. Bahawa seusai pengajian mereka akan jadi lawyer, doktor, pharmacist, economist, strategist, dan gist-gist lain yang sememangnya bergaji besar dan berprestij tinggi. Kemudian sampai giliran saya, saya berkongsi kata-kata ini, "A doctor heals the patient, a lawyer protects the innocent, a pharmacist gives you the right medication BUT a teacher teaches to educate and create more professional individuals like these guys for the benefit of the people."

16. Begitulah tanggungjawab dan peranan seorang guru. Pendapat saya, seorang guru bukannya mahu dimuliakan dengan sanjungan dan pujian apatah lagi tatkala 16 Mei bilamana pujian oleh politikus-politikus negara untuk kaum guru terpampang didada-dada akhbar. Seorang guru juga bukannya mahu kerja mudah apabila merungut tentang beban kerja yang terlampau. Apa yang guru mahu adalah beri ruang dan kepercayaan untuk para guru mengajar kerana itulah kebolehan professional mereka serta jangan dibebankan dengan kerja-kerja lain yang akan menjejaskan keberkesanan pekerjaan mereka.

17. Cuba anda bayangkan, disamping membuat 'check-up' dan membuat keputusan ubat apa untuk diberikan kepada pesakit, seorang doktor juga disuruh menjaga sendiri kebersihan dan keceriaan biliknya. Atau diarah membuat kertaskerja dan menguruskan program kesihatan dua bulan sekali. Atau doktor itu perlu menguruskan bilik farmasi dan bilik peralatan hospital. Atau merancang aktiviti-aktiviti kokurikulum untuk kakitangan hospital seminggu sekali. Tak ke kelam-kabut jadinya? Tidakkah kita belajar dalam subjek TITAS diperingkat universiti dan kolej bahawa pengkhususan pekerjaan adalah salah satu ciri utama yang dipelajari oleh tamadun awal dunia seperti mesopotamia untuk menjadi besar dan berjaya.

18. Pendidikan Malaysia menjadi cacamarba apabila semakin banyak tangan-tangan yang campurtangan dalam memperkenalkan polisi itu, polisi ini tanpa mengambil kira pendapat para guru. Tak perlu saya bincangkan mengenai PPSMI yang sudah pun terkubur setelah menelan belanja berjuta-juta. Apatah lagi nak saya katakan tentang SPPBS yang sedang bermaharajalela sekarang ini? Dimana tempatnya suara para guru dalam isu-isu sebegini? 

19. Gurulah yang terpaksa dan dipaksa menjalankan pengurusan sistem sebegini yang lebih banyak mendatangkan beban akibat perancangan dan pengurusan tidak teratur. Kenapa perlu buang masa para guru dengan perkara sebegini sedangkan merekalah pejuang pendidikan kita dan 'the real battle is in the classroom!!'. Pejuang yang dipaksa membuat perkara lain akan kehilangan tenaga dan menjadi lemah untuk berdepan dengan peperangan sebenar. 

20. Akhir kata, majulah pendidikan untuk Malaysia dulu, kini dan selamanya. Kerana jika bukan pendidikan yang kita utamakan, apa lagi yang ada dalam masa depan generasi muda Malaysia?

Wednesday, January 15, 2014

Alter Terahsia Bangsa Melayu

Yang pastinya, UMNO itu berasal daripada Melayu tetapi asal-usul Melayu datangnya jauh lebih lama daripada apa yang ditaksirkan oleh kerajaan pimpinan UMNO sekarang.

Jemput baca 4 artikel berkenaan asal-usul orang Melayu.

Artikel 1: Berkenaan pengaruh bahasa dan budaya Melayu yang sangat luas.
http://www.scribd.com/doc/46504218/ATBM-3-5-04-Artikel-Pengiring-Pelajaran1

Artikel 2: Berkenaan penempatan orang Melayu yang banyak di pesisiran pantai.
http://www.scribd.com/doc/46504237/ATBM-3-5-05-Artikel-Pengiring-Pelajaran-2

Artikel 3: Berkenaan perkongsian budaya dan bahasa antara kaum-kaum Austronesia.
http://www.scribd.com/doc/46504255/ATBM-3-5-06-Artikel-Pengiring-Pelajaran-3

Artikel 4: Melayu proto dan Melayu deutro, bukti Melayu berasal daripada Nusantara.
http://www.scribd.com/doc/46504275/ATBM-3-5-07-Artikel-Pengiring-Pelajaran-4

Benar atau tidak, sekurang-kurangnya penjelasan ini lebih komprehensif dan mudah difahami perkaitannya jika dibandingkan dengan penjelasan dalam buku teks sejarah yang sedia ada di sekolah.