Telah termaktub didalam mana-mana lipatan sejarah,
perjuangan politik sebenarnya adalah perjuangan antara kasta masyarakat, yang
lemah tertindas berhadapan dengan yang kuat dalam mencari keadilan.
Sebagaimana pemberontakan hamba diwaktu Rom Kuno,
pemberontakan petani-petani dizaman Eropah Medieval, perang-perang saudara dan
revolusi abad ke-17 dan ke-18. Seperti juga pemberontakan golongan pekerja di
Perancis 1871, di Russia 1917, di German dan Hungary 1919, di Itali 1920, di
Chile 1972-73, di Portugal 1975, di Iran 1979 dan di Poland 1980. (Chris
Harman, 1979)
Begitu juga jika dilihat dalam perkembangan Islam yang dibawa
oleh Muhammad bin Abdullah SAW – Rahmatan lil Alamin. Islam pada mulanya ketika
proses dakwah secara sembunyi-sembunyi yang memakan masa selama tiga tahun,
lebih mudah diterima oleh golongan hamba dan fakir miskin. Tercatat dalam
riwayat-riwayat berkenaan Bilal bin Abi Rabah, Ammar bin Yasir, Khabab bin
Arrati, Shuhaib Rumy, Amir bin Fuhairah, Abu Fakihah termasuklah yang perempuan
Lubainah, Zunayrah, Nahdyah, Ummu Unais dan ramai lagi yang didera dan diseksa
oleh tuan-tuan mereka kerana menganut ajaran Islam.
Tatkala dakwah Islam, Rasulullah SAW teguh dan tegas
mempertahankan prinsip-prinsip keadilan serta kesaksamaan dalam masyarakat yang
pada ketika itu telah begitu parah dilanda kebobrokan akhlak. Masyarakat Arab Jahiliyah
yang ditinggalkan tanpa petunjuk oleh seorang Nabi selama beratus tahun
akhirnya menjadi sebuah masyarakat yang kerap menzalimi antara satu sama lain,
berbunuh-bunuhan kerana perbezaan pendapat, rasuah berleluasa, menindas wanita
sekadar sebagai objek seks dan pelbagai lagi perkara yang menjadikan golongan
hamba dan fakir miskin yang lemah kian tertindas manakala mereka yang kaya dan
berkuasa disanjung seperti raja dan Tuhan.
Inilah hakikatnya, perjuangan politik adalah perjuangan
antara kasta masyarakat. Masyarakat yang tertindas pasti akan bangkit menuntut
hak-hak yang samarata sebagai makhluk ciptaan Tuhan. Kita semua dicipta sama.
Dengan akal, anggota, roh dan destinasi tujuan yang serupa. Perbezaan
‘superficial’ yang ada sesama kita adalah ujian yang diberikan untuk membezakan
mereka yang memperjuangkan hak daripada mereka yang mempertahankan kebatilan.
Walaubagaimanapun, setiap kebangkitan politik hasil usaha
keras golongan lemah dan tertindas pasti akan berakhir dengan kewujudan
pemerintah elit yang baru. Sepertimana penggantian golongan elit kapitalis yang
mengambil alih kuasa politik dan ekonomi daripada monarki selepas Revolusi
Perancis. Golongan bawahan yang sebelumnya bergelar hamba, kini cuma bertukar
status kepada hamba-gaji yang masih wajib menurut arahan tangan-tangan yang
membayar mereka biarpun dalam melakukan perkara yang batil. Begitu juga sistem
pemerintahan khalifah Islam yang berlandaskan musyawarah dan keadilan akhirnya berubah menjadi pemerintahan beraja
anak-beranak warisan turun-temurun. Apabila prinsip keadilan dan kesaksamaan
tidak lagi dipegang, apabila golongan tertindas tidak lagi dibela tanpa mengira asal mereka maka hancurlah kepercayaan lalu bodoh dan zalim
berderu-deru masuk ke dalam sebuah masyarakat yang lebih selesa mengampu
daripada berkata menentang perkara yang tidak benar, yang lebih selesa mengumpul kekayaan untuk ditunjuk-tunjuk daripada dikongsikan bersama.
Jadi, kemanakah halatuju politik Malaysia yang paling
sesuai jika bukan untuk memberikan hak kepada golongan tertindas agar
kemaslahatan umum dapat dicapai dan sebuah bangsa Malaysia yang aman, saling
mencintai dan progresif dapat dibina.
Saya berpendapat bahawa golongan susah dan tertindas wajib
dibela oleh semua pihak di semua peringkat kerana keadilan ekonomi dan sosial
yang samarata dapat menjamin kemajuan sesebuah masyarakat secara lebih
seimbang.
Saya juga berpendapat bahawa mereka yang paling wajib
membela golongan susah dan tertindas adalah generasi muda. Seperti yang
ditekankan oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi, “Apabila kita hendak melihat wajah
negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Sekiranya
golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan
berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara
yang aman makmur tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk
berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.”
Justeru, apabila
bangkitnya generasi muda sesebuah masyarakat membela keadilan tanpa kompromi nescaya
kezaliman akan luntur dan membangunlah kehidupan sosial masyarakat tersebut seperti yang diimpi-impikan.
No comments:
Post a Comment
Ideas in words by