Friday, February 07, 2014

Darah ayam, Video satira politik, Islamofobia dan Bahang rasisme

1. Semalam saya berkesempatan menonton sebuah rancangan di Astro Oasis iaitu ‘Islamofobia Realiti Britain’. Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada penerbit dan krew atas usaha menjayakan program tersebut sehingga dapat ditayangkan untuk manfaat semua. Saya percaya, inilah sebenar-benarnya peranan pihak media yang paling utama iaitu mendidik masyarakat umum berkenaan isu-isu penting seperti ini disamping memberikan gambaran berkenaan realiti. Peranan yang lebih utama daripada sekadar mengejar show-rating tanpa mengambil kira isi kandungan rancangan sama ada bersifat mendidik ataupun tidak.

2. Kebetulan, sebelum rancangan tersebut dimainkan saya baru selesai membaca sebuah artikel di The Malaysian Insider ‘NGO Melayu sembelih ayam, lumur darah pada gambar pemimpin Cina DAP, PKR’. Membaca tajuknya sahaja sudah cukup mencetus perasaan horror di dalam hati. Malah lebih horror daripada ketika menonton filem Insidious mahupun Sinister. Lebih menghorrorkan apabila menurut laporan berita, mereka yang terbabit menggelar diri mereka sebagai ‘Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia’.

3. Pada saya, perkara malang yang berlaku ini telah memalit kebusukan yang amat kepada kemurnian ajaran Islam serta mengeruhkan suasana sosial negara yang kian parah. Sekaligus dalam masa yang sama membuatkan saya terfikir berkenaan isu Islamofobia yang pada masa kini sedang menjadi ancaman untuk masyarakat Muslim terutamanya di barat. Secara general, Islamofobia adalah sikap prejudis dan kebencian terhadap golongan atau etnik yang dianggap Muslim. Jika kita baca, Islamofobia menjadi suatu isu yang besar pasca-9/11.

4. Dari satu segi, banyak pihak menuding jari kepada media-media barat yang telah menyebabkan kecelaruan melalui penyebaran maklumat yang berat sebelah dan prejudis. Maklumat yang menyebabkan perasaan benci itu semakin menebal. Dalam sebuah syarahan bertajuk ‘Are Muslim being demonized in the West?’ yang disampaikan oleh Mehdi Hassan, seorang pengamal media di UK, beliau berkata bahawa terdapat banyak kes ketidakadilan dalam penyampaian maklumat terutamanya berkaitan umat Islam. Ramai daripada mangsa kes sebegini telah pun berjaya menyaman pihak media yang menyebarkan fitnah dan pembohongan.

5. Antara kes yang menarik adalah apabila sebuah akhbar di UK menulis berita bertajuk ‘Pemandu Bas Muslim mengarahkan penumpang turun kerana ingin bersolat.’ Jika dibaca artikel dengan tajuk sebegini sudah pasti kita akan merasa seperti ‘eh! apahaaal pulak drebar ni’? Namun begitu, apa yang terjadi adalah berlainan. Bas tersebut sebenarnya rosak dan penumpang diarah untuk menukar bas. Sewaktu menunggu bas ditukar pemandu bas berkenaan mengambil kesempatan untuk bersolat kerana telah masuk waktu. Lihatlah, kesan laporan media sekiranya dilaporkan dalam keadaan yang berat sebelah!

6. Dari satu segi yang lain pula, kita tak boleh menafikan bahawa angin panas Islamofobia turut dikipas-kipas ekoran daripada perlakuan ekstrem serta tak berfikir panjang sesetengah pihak sepertimana yang dicontohkan oleh Majlis Jemaah NGO yang telah bermain dengan darah ayam dan ugutan. Saya pasti, ramai bukan Islam mencemuh tindakan mereka yang akhirnya mendatangkan keburukan kepada nama Islam.

7. Samalah juga kipasan angin panas rasisme akibat daripada perlakuan ahli-ahli politik parti pembangkang yang mencucuk api sensitiviti melalui video terbitan mereka. Secara peribadi saya tidak bersetuju dengan cara pemimpin DAP dan PKR tersebut diatas menerbitkan video yang dikatakan sebagai satira politik mereka. Untuk mereka ini saya ingin menyampaikan pesanan Dr. Tariq Ramadhan iaitu “This is a moment to go beyond rights and reach for the common good.” Walaupun bagi anda menerbitkan video seperti itu adalah hak peribadi anda, namun apalah gunanya menyiram minyak tanah kepada api yang kian terbakar kalau bukan untuk membakar diri sendiri? Bukankah masih banyak isu-isu penting yang perlu diperjuangkan untuk rakyat yang tertindas daripada mengundang kebencian dengan video?

8. Sejak di bangku sekolah lagi saya sering diajar bahawa pemimpin ni tugas dia memberikan contoh teladan dan berfikir untuk kebaikan semua pihak. Tapi sekarang ni kita boleh bilang dengan jari akan pemimpin-pemimpin yang betul-betul mengikut spesifikasi tersebut. Dalam masa yang sama, tindakbalas oleh NGO darah ayam berkenaan juga sewajarnya dicemuh dan dikutuk sekeras-kerasnya. Itu bukanlah satu tindakan yang mempunyai ciri-ciri Islamik. Bahkan saya rasa selaku Ketua Agama Islam, Yang Dipertuan Agong patut merasa terpanggil untuk menegur tindakan keterlaluan seperti itu.  Saya sendiri merasa sangat sayu apalah salahnya ayam yang menjadi mangsa propaganda sembelihan tersebut. Setiap kali Maulidur Rasul kita suka berkongsi status ‘Nabi Muhammad SAW tokoh idola saya’ di facebook tetapi adakah perlakuan seperti bermain dengan ugutan darah ayam menggambarkan kemuliaan idola kita ini?

9. Perlu kita ingat bahawa tindakan NGO darah ayam yang kononnya memperjuangkan agama itu boleh mengundang Islamofobia yang parah disamping kecelaruan mengenai tingkah laku dan akhlak orang Islam terutamanya dikalangan mereka yang bukan Islam. Dalam masa yang sama, tingkah laku penerbit-penerbit video satira politik itu juga sengaja mengundang kemarahan dan kebencian yang lebih mendalam. Apa penyelesaian kepada permasalahan ini? Gaduh? Bunuh-membunuh? Jangan panggil bangsa kita bangsa bertamadun dan maju sekiranya itu sahaja jalan yang kita mampu fikirkan!

Badut yang memenatkan jiwa

10. Sebagai seorang anak muda, saban hari saya semakin penat dan lelah dengan perlakuan badut-badut tua yang kita gelar sebagai pemimpin. Tak kiralah apa pun latar belakang mereka. Masing-masing seolah-olah penuh dengan ketidakmatangan dalam aksi dan reaksi mereka. Emosi anak muda dipermain-mainkan dengan perkara-perkara yang menimbulkan kebencian demi kebencian.

11. Sewajarnya mereka belajar daripada kesan rasisme yang sangat buruk kepada negara tak kisahlah untuk pihak manapun. Sewajarnya mereka selaku orang tua yang patut kita contohi belajar daripada pesan Dr. Tariq Ramadhan kepada mantan Presiden Perancis Nicolas Sarkozy, “Instead of talking about halal meat, the burka, national identity and dividing France, you should unite it.” Begitu juga kita di Malaysia. Daripada kita bercakap berulang-ulang tentang kangkung, hak perkauman, cina, melayu dan seumpamanya, bukankah lebih baik kita bercakap soal titik penyatuan rakyat?  

12. Tetapi apakan daya, begitulah sentimen permainan politik orang tua kita di Malaysia. Dan ianya akan kekal begitu selagi mana kita orang muda menari mengikut rentak sumbang nyanyian mereka untuk dijadikan contoh tarian buat generasi akan datang.

13. Akhir kalam, saya tertarik dengan pengakuan Faruq McDermott, seorang aktivis Islam London yang ditemuramah dalam rancangan Islamofobia Realiti Britain. Beliau yang merupakan seorang berbangsa Inggeris berkata, “Oleh kerana saya membawa mesej keamanan dan nilai-nilai baik dalam Islam, saya sering dianggap sebagai pengkhianat oleh rakan-rakan sebangsa sendiri.”

No comments:

Post a Comment

Ideas in words by