Saturday, September 27, 2014

Jijik betul aku tengok dia tersengih.

Jadi beberapa hari lepas aku diajak ke majlis makan-makan. Lepas makan aku pun melepak borak dengan mereka yang ada disitu.

Macam-macam benda borak. Dari hal Melayu pemalas, cina dah beli semua tanah Melayu sampailah ke cerita di jalan Gua Musang ada kereta kura berhantu. Waktu siang tersadai tepi jalan dekat dengan terowong tapi sampai malam kereta tu boleh berjalan tanpa pemandu.

Dalam banyak-banyak cerita, satu hal tarik perhatian aku. Ada seorang mamat ni cerita pasal dia ada kawan polis. Lepas tu ada orang repot pasal dia kat polis. Dia pun suruh member dia ambik fail laporan itu dan diletakkan ke bahagian paling bawah sekali.

Dengan bangga dia cakap, kalau yang buat laporan tu tak tanya polis pasal kes, sampai ke sudah fail tu akan ada kat bawah.

Seriau aku. Jijik betul aku tengok dia tersengih waktu tu. 

Pui. 

Friday, September 26, 2014

Malaysia dan Pelacuran Statistik

Rasionalisasi subsidi dan ironi negara berpendapatan tinggi

Pada 27 Mei 2010, Idris Jala dipetik dalam The Star berkata “Malaysia perlu mengurangkan subsidi dan hutang menjelang 2019 atau berhadapan dengan risiko bankrupsi.” Beliau turut menambah secara dramatik, “Kita tak mahu menjadi Greece nombor dua.”

Selaku seorang rakyat yang biasa-biasa, saya membaca kenyataan beliau sebagai petanda untuk melaksanakan beberapa rasionalisasi subsidi. Beliau sendiri menyebut tentang peningkatan tarif elektrik, harga tol, bil pesakit luar dan beberapa perkara lain yang turut berkait pendidikan.

Malaysia juga dilaporkan sebagai salah satu negara dengan subsidi kerajaan terbanyak dalam dunia sejumlah RM74 bilion pada tahun 2009 iaitu sebanyak RM12,900 bagi setiap isi rumah.

Idris Jala kemudian terus memetik kenaikan inflasi, beban hutang kerajaan dan penyalahgunaan subsidi sebelum menegaskan pada akhirnya, “Waktu untuk rasionalisasi subsidi adalah sekarang!”

Itu cerita beliau ketika mahu meneruskan rasionalisasi subsidi pada tahun 2010 yang lalu.

Kemudian baru-baru ini pada 23 Ogos 2014, Idris Jala dilaporkan berkata Malaysia sedang dalam perjalanan yang betul untuk mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, malah mungkin lebih cepat daripada itu.

Dalam penerangan yang menjulang tinggi pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan, beliau turut memetik peningkatan pendapatan kasar negara per kapita yang dilabel sebagai ‘steady’ dari RM22,313 (2009) ke RM31,799 (2013) dengan pertumbuhan 42.5%.

Bermacam statistik lain dipetik dan diambil daripada gergasi besar ekonomi seperti Bank Dunia dan Pusat Daya Saing Dunia IMD yang menekankan istilah seperti healthy surplus, reduce deficit, maintained growth trajectory, tremendous economic progress dan eradicating poverty.

Tanpa latar belakang pendidikan ekonomi pun apabila dibaca semua istilah ini, kita merasakan seolah-olah capaian ekonomi Malaysia antara yang paling baik dan maju berkembang di dunia.

Namun begitu, satu perkara yang sering saya tertanya-tanya, apakah perkaitan laporan negara berpendapatan tinggi dengan realiti kehidupan masyarakat? Seolah-olah kedengaran bahawa negara seperti ini, rakyatnya turut berpendapatan tinggi.

Ini kelihatan selari dengan apa yang dilaporkan Abdul Wahid Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, purata pendapatan kini mencapai RM5,900 bagi setiap isi rumah. Wah, satu berita baik! Walaupun saya masih tercari-cari, purata isi rumah manakah yang diambil sebagai ukuran?

Jika dilihat kepada isi rumah di sekitar kawasan kampung tempat saya bekerja ini, mustahil mereka mencapai angka RM5,000 sebulan apabila sekadar bermotosikal  atau berkancil dan hanya mampu menghantar anak menghadiri kelas tusyen ‘percuma’ di sekolah.

Apabila dilihat kepada keadaan kehidupan rakan-rakan di kawasan bandar pula, masing-masing terkial-kial mencari wang pusingan untuk membiayai ongkos hidup yang semakin meninggi. Rakan-rakan saya ini pula ramai adalah pemegang ijazah lulusan universiti!

Saya kira, mungkin orang-orang kampung ini dan graduan-graduan muda di bandar itu tidak termasuk dalam purata pendapatan isi rumah yang dilaporkan Abdul Wahid Omar. Jadi, dari manakah sumber ‘purata’ RM5,900 ini diambil?

Jangan digigit tangan yang memberi

Menambah pening di kepala, saya terbaca pula peringatan Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan yang berkata rakyat Malaysia hanya perlu bekerja mencari wang untuk 9 bulan manakala baki 3 bulan lain semuanya telah ditaja kerajaan.

Selain mengingatkan tentang BR1M, bantuan persekolahan, baucer buku, baucer telefon, subsidi minyak dan tepung, beliau turut berkata yang peningkatan RM300 dalam pemberian BR1M cukup untuk menaja kos sara hidup sebuah keluarga selama 2 bulan.

RM300? RM500 pun belum mungkin cukup untuk membiayai duit minyak, tol dan servis bagi seorang yang menaiki kereta ke tempat kerja selama sebulan di Kuala Lumpur. Duit makan? Penginapan? Bil telefon? Hmm…

Kos sara hidup keluarga mana yang menteri ini ambil? Dari mana datang perkiraan pendapatan rakyat Malaysia hanya cukup untuk 9 bulan dan baki 3 bulan lain memerlukan kepada subsidi kerajaan?

Kata-kata ini perlu diambil berat. Ianya ungkapan oleh seorang Timbalan Menteri Kewangan yang terlibat dalam kerja-kerja menilai dan menambah baik suasana ekonomi rakyat. Jika Timbalan Menteri Kewangan sendiri masih tidak jelas dengan realiti semasa sosio-ekonomi rakyat, bagaimana kita boleh dengan gah bercakap soal maintained growth trajectory dan tremendous economic progress?

Dan persoalan paling penting, menteri ini tak bacakah kenyataan Idris Jala 4 tahun lepas, “Kita perlu kurangkan subsidi” dan “Kita tak mahu menjadi Greece nombor dua!”?

Manipulasi data dan statistik secara berselindung

Data dan statistik hanya bertindak sebagai indikator secara berasingan untuk membaca nombor-nombor keluar masuk ekonomi. Sudah banyak perdebatan tentang statistik ekonomi yang digunakan secara tidak beretika untuk memberikan gambaran yang kurang tepat akan keadaan semasa.

Dr. Jack Rasmus penulis buku ‘Obama’s Economy: Recovery for the Few’ telah menunjukkan bagaimana sesetengah ahli politik Amerika bermain dengan statistik ekonomi.  Pada 1980, Presiden Ronald Reagan telah memanipulasi data pengangguran dan inflasi untuk menunjukkan kadar yang rendah dari sebenar.

Presiden Bill Clinton juga bertindak mengeluarkan statistik pada penghujung 90an yang dimanipulasi bagi menunjukkan bilangan perlindungan kesihatan dikalangan rakyat semakin bertambah sekaligus memperlihatkan kejayaannya ‘membela’ nasib warga.

Kesemua kenyataan ini perlu dilihat dalam ruang lingkup bahawa Idris Jala ketika bercakap tentang Malaysia bakal bankrup, sedang melihat kepada pelaksanaan rasionalisasi subsidi. Manakala, Ahmad Maslan pada waktu berkata ‘RM300 cukup untuk menaja sebuah keluarga selama dua bulan’ sedang berada dihadapan pengundi bagi menghadapi pilihan raya kecil Pengkalan Kubor.

Nah, ini satu manipulasi yang efektif untuk membina sebuah gambaran yang pseudo. Tidakkah subsidi sudah mula dirasionalisasi? Dan bukankah Ustaz Mat Razi Mat Ail telah menang dengan majoriti yang lebih besar?

Pelacuran statistik ekonomi di medan realiti

Saya kira, inilah tanggungjawab yang perlu digalas oleh anak muda terutamanya mahasiswa jurusan ekonomi untuk membantah statistik-statistik yang terus-menerus dilacurkan atas kepentingan tertentu.

Bagaimana? Dengan cara kita melihat dan merasai realiti semasa dan keadaan kehidupan masyarakat.
Saya kira juga, inilah kekurangan paling besar bagi pak-pak Menteri, pegawai-pegawai berkot sutera dalam bilik berpenghawa dingin dan ketua-ketua unit yang mengkaji dan menentukan dasar ekonomi negara. Mereka out-of-touch dengan kehidupan sebenar masyarakat.

Lihat saja Menteri yang mengharamkan operasi soup kitchens dalam lingkungan radius 2 kilometer dari Lot 10. Begitu juga Menteri yang berpesan, “elak makan ayam kalau harga naik.”

Apakah mereka ini turut turun memasak untuk gelandangan atau pergi ke pasar dan membeli ayam dengan mata pencarian sendiri? Atau sebaliknya hari-hari dilalui dengan pelbagai acara makan-makan oleh chef terkenal di rumah kediaman rasmi, hotel-hotel dan pusat-pusat konferens?

Jika orang besar dan professional ekonomi seperti mereka lebih selesa bercakap soal ekonomi dengan jargon tinggi. Maka, kini terletak di pundak anak mudalah untuk terus bertanya.

Mengapakah negara yang berpendapatan tinggi, rakyatnya semakin memerlukan tambahan subsidi?

Ini pelik. Ini bahasa ekonomi teori yang berlegar hanya disekitar lingkungan angka keluaran kapitalis. Yang pasti, ini bukannya bahasa ekonomi yang merakyat.

Tuesday, September 23, 2014

Sejarah menghafal dan sejarah taklid

Yusuf: 111 
“Dan didalam kisah mereka terdapat ibrah (pelajaran) bagi orang-orang yang celik mata hatinya – (berfikir)" 

Belajar Sejarah, sebagai pencerahan masa hadapan - Confucious

Sebagai seorang anak guru Sejarah, saya meminati bidang pengajian ini sejak kecil lagi. Di rumah, buku-buku kajian Tamadun Dunia, Tamadun Asia, Sejarah Tanah Melayu dan Kesultanan Melayu dahulu pernah juga dibelek-belek sebagai bahan bacaan. Namun di peringkat sekolah, saya melihat sejarah tidak lebih daripada proses pengajian penghafalan fakta, apa yang berlaku, bila, dimana dan oleh siapa.

Satu persoalan yang kurang disentuh secara mendalam adalah ‘mengapa’. Sedangkan, persoalan ‘mengapa’ sebenarnya adalah antara yang terpenting bagi kajian sejarah. Melalui kajian ‘mengapa’ atas sejarah ketamadunan dunia, Malik Bennabi dapat menyimpulkan bahawa sesebuah tamadun akan mula menghadapi kemerosotan apabila masyarakatnya mula meninggalkan nilai-nilai kemanusiaan. Ciri-ciri sebuah tamadun dan formula yang diperkenalkan beliau masih kekal relevan sehingga kini.

Bak kata-kata ini oleh Aldous Huxley, “That men do not learn very much from the lessons of history is the most important of all the lessons that history has to teach.”

Tidakkah persoalan ‘mengapa’ dapat mencerahkan kita terhadap sebab-musabab berlakunya sesuatu kejadian, seterusnya membolehkan kita mencari penyelesaian sejagat?

Separuh daripada penulisan sejarah adalah tentang penyembunyian fakta.

Saya belajar daripada seorang pensyarah sejarah ketika menuntut di pusat pengajian tinggi tempatan dahulu tentang sejarah Tanah Melayu. Iya, iya, kaum tua, kaum muda, Melayu di kampung bertani, Cina di bandar dengan monopoli ekonomi, India di estet, Jepun, Komunis, British dan fakta-fakta yang sekian lama disumbat kepada saya untuk dihafal bagi menghadapi SPM pada tahun 2005 yang lepas.

Namun.

Satu perkara baru yang didedahkan oleh pensyarah tersebut adalah sudut pandang berbeza ke arah memahami pembinaan konteks sosio-politik masyarakat berbilang kaum kita daripada sejarah kemasukan Jepun dan kebangkitan Komunis di Tanah Melayu. Beliau berkata bahawa ia perlu dilihat dari kerangka yang lebih besar dengan sejarah yang lebih panjang iaitu peperangan turun-temurun antara orang Jepun dan China.

Apabila orang Cina berhijrah ke Tanah Melayu, sejarah dan kebudayaan tempat tinggal mereka terus mengekori dan menghantui. Sebaik sahaja Jepun mendarat di kawasan pantai timur Tanah Melayu pada 8 Disember 1941, mereka bawa bersama bukan sahaja visi dan misi Maharaja Jepun. Malah mereka turut membawa dendam kesumat terhadap bangsa Cina!

Bangsa Cina yang ada di Tanah Melayu pada ketika itu dilanda ketakutan apabila tentera Jepun turut mencari mereka untuk diseksa dan dibunuh. Daripada bandar-bandar, orang Cina ini melarikan diri. Ke mana? Mereka berlari mencari satu-satunya kuasa yang dilihat dapat menjamin keselamatan mereka iaitu Komunis di dalam hutan. Dengan itu, gerakan Komunis bertambah kuat dengan kemasukan semakin ramai orang Cina. Dalam Komunis, Cina lebih dominan kerana kehidupan untuk mereka tidak aman ketika pemerintahan Jepun.

Selain daripada melihat Komunis sebagai sebuah ideologi atau anasir luar yang ingin menjatuhkan pemerintahan tempatan (Lebih jauh lagi yang melihat Komunis sebagai mereka yang tidak beragama!), kita juga boleh mengambil pendekatan memahami mengapa ramai orang Cina pada waktu itu mengambil langkah menyertai Komunis. Mudahnya, kerana ancaman kejam Jepun!

Melalui penceritaan sejarahnya juga, pensyarah saya ini berkata orang Melayu pada waktu itu ada yang terpedaya dengan propaganda ‘Asia untuk Orang Asia’ lalu bekerjasama dengan Jepun. Mereka ini diberikan jawatan membantu kelancaran pentadbiran Jepun. Apakah antara tugas mereka? Sudah pasti sebahagiannya termasuk mencari dan menyelongkar rahsia penentang Jepun, terutamanya Komunis. Dan secara kebetulan, Komunis pula dianggotai oleh ramai bangsa Cina.

Cuba bayangkan, keadaan emosi seorang Komunis berbangsa Cina yang terpaksa lari dari Jepun. Kemudian seorang tali barut berbangsa Melayu telah memecahkan rahsia kepada Jepun menyebabkan keluarganya ditangkap, diseksa dan dibunuh. Kita belajar, selepas Jepun menyerah kalah, Komunis dilaporkan bermaharajalela di sekitar Tanah Melayu selama 14 hari. Dalam tempoh masa ini, sudah pasti Komunis berbangsa Cina tadi, akibat dendam, telah mencari tali barut Melayu yang menyebabkan keluarganya mati untuk dibalas dengan hukuman bunuh!

Nah, jadinya ada Melayu yang atas kerjasama dengan Jepun telah mengkhianati Komunis Cina dan sebagai balasan, Komunis Cina itu telah mencarinya untuk balas dendam. Perkaitan ini jika dilihat secara simplistik (atau opportunistik!), tak mustahil melahirkan idea perbalahan dan ketegangan antara bangsa! Sayangnya, itulah sentimen yang sering bermain difikiran kita apabila mengenangkan peristiwa penjajahan ini.

Cara terhalus untuk menghancurkan sesebuah bangsa adalah dengan mencemarkan kefahaman mereka tentang sejarah asal-usul sendiri – George Orwell

Sejarah menghafal adalah sejarah taklid. Sejarah menghafal tidak akan mengundang diskusi, apatah lagi mencerna kefahaman dengan tujuan paling akhir sekali iaitu ibrah dan tolak-ansur.

Saya percaya daripada pembacaan saya, Tanah Melayu adalah melting pot antara yang terunggul dengan pelbagai kaum dapat hidup bersama menjalankan aktiviti kehidupan masing-masing sejak beratus-ratus tahun dahulu. Namun melalui peristiwa sejarah, ada yang lebih senang meletakkan label secara pukul rata sehingga menyebabkan ketegangan emosi dan taklid buta berbanding cuba mencari pendekatan memahami, menerima dan bertolak ansur.

Saya berpendapat, pendekatan tolak ansur ini pasti dapat dibina secara berkesan melalui pengajian sejarah yang menyeluruh dan berkonsepkan mencari ibrah.

Saya tidak mengatakan agar sejarah kita ditulis semula. Siapalah saya untuk itu? Sudah ramai cerdik pandai dan profesor Sejarah yang lebih mahir untuk dijadikan rujukan. Namun tujuan utama artikel ini adalah sebagai usaha kecil mencorak semula pendekatan kita terhadap pengajian Sejarah.

Tiada benar atau salah dalam pengajian Sejarah. Yang ada hanyalah pengajaran. Dan pengajaran terbesar dalam pengajian sejarah adalah hakikat bahawa manusia sering lupa untuk mengambil pengajaran daripada sejarah mereka sendiri.

Kenyataan sejarah bahawa tindakan mengundang kebencian, ketegangan emosi, ugut-mengugut, perang dan pembunuhan hanya akan mendatangkan satu perkara lain sahaja untuk manusia, iaitu kesengsaraan.