Rasionalisasi subsidi dan ironi negara
berpendapatan tinggi
Pada 27 Mei
2010, Idris Jala dipetik dalam The Star berkata “Malaysia perlu mengurangkan
subsidi dan hutang menjelang 2019 atau berhadapan dengan risiko bankrupsi.” Beliau
turut menambah secara dramatik, “Kita tak mahu menjadi Greece nombor dua.”
Selaku seorang
rakyat yang biasa-biasa, saya membaca kenyataan beliau sebagai petanda untuk
melaksanakan beberapa rasionalisasi subsidi. Beliau sendiri menyebut tentang peningkatan
tarif elektrik, harga tol, bil pesakit luar dan beberapa perkara lain yang
turut berkait pendidikan.
Malaysia
juga dilaporkan sebagai salah satu negara dengan subsidi kerajaan terbanyak
dalam dunia sejumlah RM74 bilion pada tahun 2009 iaitu sebanyak RM12,900 bagi
setiap isi rumah.
Idris Jala
kemudian terus memetik kenaikan inflasi, beban hutang kerajaan dan
penyalahgunaan subsidi sebelum menegaskan pada akhirnya, “Waktu untuk
rasionalisasi subsidi adalah sekarang!”
Itu cerita
beliau ketika mahu meneruskan rasionalisasi subsidi pada tahun 2010 yang lalu.
Kemudian
baru-baru ini pada 23 Ogos 2014, Idris Jala dilaporkan berkata Malaysia sedang
dalam perjalanan yang betul untuk mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi
menjelang 2020, malah mungkin lebih cepat daripada itu.
Dalam penerangan
yang menjulang tinggi pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan, beliau turut
memetik peningkatan pendapatan kasar negara per kapita yang dilabel sebagai
‘steady’ dari RM22,313 (2009) ke RM31,799 (2013) dengan pertumbuhan 42.5%.
Bermacam
statistik lain dipetik dan diambil daripada gergasi besar ekonomi seperti Bank
Dunia dan Pusat Daya Saing Dunia IMD yang menekankan istilah seperti healthy surplus, reduce deficit, maintained
growth trajectory, tremendous economic progress dan eradicating poverty.
Tanpa latar
belakang pendidikan ekonomi pun apabila dibaca semua istilah ini, kita
merasakan seolah-olah capaian ekonomi Malaysia antara yang paling baik dan maju
berkembang di dunia.
Namun
begitu, satu perkara yang sering saya tertanya-tanya, apakah perkaitan laporan
negara berpendapatan tinggi dengan realiti kehidupan masyarakat? Seolah-olah
kedengaran bahawa negara seperti ini, rakyatnya turut berpendapatan tinggi.
Ini
kelihatan selari dengan apa yang dilaporkan Abdul Wahid Omar, Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, purata pendapatan kini mencapai RM5,900 bagi setiap
isi rumah. Wah, satu berita baik! Walaupun saya masih tercari-cari, purata isi
rumah manakah yang diambil sebagai ukuran?
Jika dilihat
kepada isi rumah di sekitar kawasan kampung tempat saya bekerja ini, mustahil
mereka mencapai angka RM5,000 sebulan apabila sekadar bermotosikal atau berkancil dan hanya mampu menghantar anak
menghadiri kelas tusyen ‘percuma’ di sekolah.
Apabila
dilihat kepada keadaan kehidupan rakan-rakan di kawasan bandar pula,
masing-masing terkial-kial mencari wang pusingan untuk membiayai ongkos hidup
yang semakin meninggi. Rakan-rakan saya ini pula ramai adalah pemegang ijazah
lulusan universiti!
Saya kira,
mungkin orang-orang kampung ini dan graduan-graduan muda di bandar itu tidak
termasuk dalam purata pendapatan isi rumah yang dilaporkan Abdul Wahid Omar. Jadi,
dari manakah sumber ‘purata’ RM5,900 ini diambil?
Jangan digigit tangan yang memberi
Menambah
pening di kepala, saya terbaca pula peringatan Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad
Maslan yang berkata rakyat Malaysia hanya perlu bekerja mencari wang untuk 9
bulan manakala baki 3 bulan lain semuanya telah ditaja kerajaan.
Selain
mengingatkan tentang BR1M, bantuan persekolahan, baucer buku, baucer telefon,
subsidi minyak dan tepung, beliau turut berkata yang peningkatan RM300 dalam
pemberian BR1M cukup untuk menaja kos sara hidup sebuah keluarga selama 2
bulan.
RM300? RM500
pun belum mungkin cukup untuk membiayai duit minyak, tol dan servis bagi
seorang yang menaiki kereta ke tempat kerja selama sebulan di Kuala Lumpur.
Duit makan? Penginapan? Bil telefon? Hmm…
Kos sara
hidup keluarga mana yang menteri ini ambil? Dari mana datang perkiraan
pendapatan rakyat Malaysia hanya cukup untuk 9 bulan dan baki 3 bulan lain memerlukan
kepada subsidi kerajaan?
Kata-kata
ini perlu diambil berat. Ianya ungkapan oleh seorang Timbalan Menteri Kewangan
yang terlibat dalam kerja-kerja menilai dan menambah baik suasana ekonomi
rakyat. Jika Timbalan Menteri Kewangan sendiri masih tidak jelas dengan realiti
semasa sosio-ekonomi rakyat, bagaimana kita boleh dengan gah bercakap soal maintained growth trajectory dan tremendous economic progress?
Dan
persoalan paling penting, menteri ini tak bacakah kenyataan Idris Jala 4 tahun
lepas, “Kita perlu kurangkan subsidi” dan “Kita tak mahu menjadi Greece nombor
dua!”?
Manipulasi data dan statistik secara
berselindung
Data dan
statistik hanya bertindak sebagai indikator secara berasingan untuk membaca nombor-nombor
keluar masuk ekonomi. Sudah banyak perdebatan tentang statistik ekonomi yang
digunakan secara tidak beretika untuk memberikan gambaran yang kurang tepat
akan keadaan semasa.
Dr. Jack
Rasmus penulis buku ‘Obama’s Economy: Recovery for the Few’ telah menunjukkan
bagaimana sesetengah ahli politik Amerika bermain dengan statistik
ekonomi. Pada 1980, Presiden Ronald
Reagan telah memanipulasi data pengangguran dan inflasi untuk menunjukkan kadar
yang rendah dari sebenar.
Presiden
Bill Clinton juga bertindak mengeluarkan statistik pada penghujung 90an yang
dimanipulasi bagi menunjukkan bilangan perlindungan kesihatan dikalangan rakyat
semakin bertambah sekaligus memperlihatkan kejayaannya ‘membela’ nasib warga.
Kesemua
kenyataan ini perlu dilihat dalam ruang lingkup bahawa Idris Jala ketika bercakap
tentang Malaysia bakal bankrup, sedang melihat kepada pelaksanaan rasionalisasi
subsidi. Manakala, Ahmad Maslan pada waktu berkata ‘RM300 cukup untuk menaja
sebuah keluarga selama dua bulan’ sedang berada dihadapan pengundi bagi
menghadapi pilihan raya kecil Pengkalan Kubor.
Nah, ini
satu manipulasi yang efektif untuk membina sebuah gambaran yang pseudo.
Tidakkah subsidi sudah mula dirasionalisasi? Dan bukankah Ustaz Mat Razi Mat
Ail telah menang dengan majoriti yang lebih besar?
Pelacuran statistik ekonomi di medan realiti
Saya kira,
inilah tanggungjawab yang perlu digalas oleh anak muda terutamanya mahasiswa
jurusan ekonomi untuk membantah statistik-statistik yang terus-menerus
dilacurkan atas kepentingan tertentu.
Bagaimana?
Dengan cara kita melihat dan merasai realiti semasa dan keadaan kehidupan
masyarakat.
Saya kira
juga, inilah kekurangan paling besar bagi pak-pak Menteri, pegawai-pegawai
berkot sutera dalam bilik berpenghawa dingin dan ketua-ketua unit yang mengkaji
dan menentukan dasar ekonomi negara. Mereka out-of-touch
dengan kehidupan sebenar masyarakat.
Lihat saja
Menteri yang mengharamkan operasi soup
kitchens dalam lingkungan radius 2 kilometer dari Lot 10. Begitu juga
Menteri yang berpesan, “elak makan ayam kalau harga naik.”
Apakah mereka
ini turut turun memasak untuk gelandangan atau pergi ke pasar dan membeli ayam dengan
mata pencarian sendiri? Atau sebaliknya hari-hari dilalui dengan pelbagai acara
makan-makan oleh chef terkenal di rumah kediaman rasmi, hotel-hotel dan
pusat-pusat konferens?
Jika orang
besar dan professional ekonomi seperti mereka lebih selesa bercakap soal
ekonomi dengan jargon tinggi. Maka, kini terletak di pundak anak mudalah untuk
terus bertanya.
Mengapakah
negara yang berpendapatan tinggi, rakyatnya semakin memerlukan tambahan
subsidi?
Ini pelik.
Ini bahasa ekonomi teori yang berlegar hanya disekitar lingkungan angka
keluaran kapitalis. Yang pasti, ini bukannya bahasa ekonomi yang merakyat.
No comments:
Post a Comment
Ideas in words by