Tuesday, September 23, 2014

Sejarah menghafal dan sejarah taklid

Yusuf: 111 
“Dan didalam kisah mereka terdapat ibrah (pelajaran) bagi orang-orang yang celik mata hatinya – (berfikir)" 

Belajar Sejarah, sebagai pencerahan masa hadapan - Confucious

Sebagai seorang anak guru Sejarah, saya meminati bidang pengajian ini sejak kecil lagi. Di rumah, buku-buku kajian Tamadun Dunia, Tamadun Asia, Sejarah Tanah Melayu dan Kesultanan Melayu dahulu pernah juga dibelek-belek sebagai bahan bacaan. Namun di peringkat sekolah, saya melihat sejarah tidak lebih daripada proses pengajian penghafalan fakta, apa yang berlaku, bila, dimana dan oleh siapa.

Satu persoalan yang kurang disentuh secara mendalam adalah ‘mengapa’. Sedangkan, persoalan ‘mengapa’ sebenarnya adalah antara yang terpenting bagi kajian sejarah. Melalui kajian ‘mengapa’ atas sejarah ketamadunan dunia, Malik Bennabi dapat menyimpulkan bahawa sesebuah tamadun akan mula menghadapi kemerosotan apabila masyarakatnya mula meninggalkan nilai-nilai kemanusiaan. Ciri-ciri sebuah tamadun dan formula yang diperkenalkan beliau masih kekal relevan sehingga kini.

Bak kata-kata ini oleh Aldous Huxley, “That men do not learn very much from the lessons of history is the most important of all the lessons that history has to teach.”

Tidakkah persoalan ‘mengapa’ dapat mencerahkan kita terhadap sebab-musabab berlakunya sesuatu kejadian, seterusnya membolehkan kita mencari penyelesaian sejagat?

Separuh daripada penulisan sejarah adalah tentang penyembunyian fakta.

Saya belajar daripada seorang pensyarah sejarah ketika menuntut di pusat pengajian tinggi tempatan dahulu tentang sejarah Tanah Melayu. Iya, iya, kaum tua, kaum muda, Melayu di kampung bertani, Cina di bandar dengan monopoli ekonomi, India di estet, Jepun, Komunis, British dan fakta-fakta yang sekian lama disumbat kepada saya untuk dihafal bagi menghadapi SPM pada tahun 2005 yang lepas.

Namun.

Satu perkara baru yang didedahkan oleh pensyarah tersebut adalah sudut pandang berbeza ke arah memahami pembinaan konteks sosio-politik masyarakat berbilang kaum kita daripada sejarah kemasukan Jepun dan kebangkitan Komunis di Tanah Melayu. Beliau berkata bahawa ia perlu dilihat dari kerangka yang lebih besar dengan sejarah yang lebih panjang iaitu peperangan turun-temurun antara orang Jepun dan China.

Apabila orang Cina berhijrah ke Tanah Melayu, sejarah dan kebudayaan tempat tinggal mereka terus mengekori dan menghantui. Sebaik sahaja Jepun mendarat di kawasan pantai timur Tanah Melayu pada 8 Disember 1941, mereka bawa bersama bukan sahaja visi dan misi Maharaja Jepun. Malah mereka turut membawa dendam kesumat terhadap bangsa Cina!

Bangsa Cina yang ada di Tanah Melayu pada ketika itu dilanda ketakutan apabila tentera Jepun turut mencari mereka untuk diseksa dan dibunuh. Daripada bandar-bandar, orang Cina ini melarikan diri. Ke mana? Mereka berlari mencari satu-satunya kuasa yang dilihat dapat menjamin keselamatan mereka iaitu Komunis di dalam hutan. Dengan itu, gerakan Komunis bertambah kuat dengan kemasukan semakin ramai orang Cina. Dalam Komunis, Cina lebih dominan kerana kehidupan untuk mereka tidak aman ketika pemerintahan Jepun.

Selain daripada melihat Komunis sebagai sebuah ideologi atau anasir luar yang ingin menjatuhkan pemerintahan tempatan (Lebih jauh lagi yang melihat Komunis sebagai mereka yang tidak beragama!), kita juga boleh mengambil pendekatan memahami mengapa ramai orang Cina pada waktu itu mengambil langkah menyertai Komunis. Mudahnya, kerana ancaman kejam Jepun!

Melalui penceritaan sejarahnya juga, pensyarah saya ini berkata orang Melayu pada waktu itu ada yang terpedaya dengan propaganda ‘Asia untuk Orang Asia’ lalu bekerjasama dengan Jepun. Mereka ini diberikan jawatan membantu kelancaran pentadbiran Jepun. Apakah antara tugas mereka? Sudah pasti sebahagiannya termasuk mencari dan menyelongkar rahsia penentang Jepun, terutamanya Komunis. Dan secara kebetulan, Komunis pula dianggotai oleh ramai bangsa Cina.

Cuba bayangkan, keadaan emosi seorang Komunis berbangsa Cina yang terpaksa lari dari Jepun. Kemudian seorang tali barut berbangsa Melayu telah memecahkan rahsia kepada Jepun menyebabkan keluarganya ditangkap, diseksa dan dibunuh. Kita belajar, selepas Jepun menyerah kalah, Komunis dilaporkan bermaharajalela di sekitar Tanah Melayu selama 14 hari. Dalam tempoh masa ini, sudah pasti Komunis berbangsa Cina tadi, akibat dendam, telah mencari tali barut Melayu yang menyebabkan keluarganya mati untuk dibalas dengan hukuman bunuh!

Nah, jadinya ada Melayu yang atas kerjasama dengan Jepun telah mengkhianati Komunis Cina dan sebagai balasan, Komunis Cina itu telah mencarinya untuk balas dendam. Perkaitan ini jika dilihat secara simplistik (atau opportunistik!), tak mustahil melahirkan idea perbalahan dan ketegangan antara bangsa! Sayangnya, itulah sentimen yang sering bermain difikiran kita apabila mengenangkan peristiwa penjajahan ini.

Cara terhalus untuk menghancurkan sesebuah bangsa adalah dengan mencemarkan kefahaman mereka tentang sejarah asal-usul sendiri – George Orwell

Sejarah menghafal adalah sejarah taklid. Sejarah menghafal tidak akan mengundang diskusi, apatah lagi mencerna kefahaman dengan tujuan paling akhir sekali iaitu ibrah dan tolak-ansur.

Saya percaya daripada pembacaan saya, Tanah Melayu adalah melting pot antara yang terunggul dengan pelbagai kaum dapat hidup bersama menjalankan aktiviti kehidupan masing-masing sejak beratus-ratus tahun dahulu. Namun melalui peristiwa sejarah, ada yang lebih senang meletakkan label secara pukul rata sehingga menyebabkan ketegangan emosi dan taklid buta berbanding cuba mencari pendekatan memahami, menerima dan bertolak ansur.

Saya berpendapat, pendekatan tolak ansur ini pasti dapat dibina secara berkesan melalui pengajian sejarah yang menyeluruh dan berkonsepkan mencari ibrah.

Saya tidak mengatakan agar sejarah kita ditulis semula. Siapalah saya untuk itu? Sudah ramai cerdik pandai dan profesor Sejarah yang lebih mahir untuk dijadikan rujukan. Namun tujuan utama artikel ini adalah sebagai usaha kecil mencorak semula pendekatan kita terhadap pengajian Sejarah.

Tiada benar atau salah dalam pengajian Sejarah. Yang ada hanyalah pengajaran. Dan pengajaran terbesar dalam pengajian sejarah adalah hakikat bahawa manusia sering lupa untuk mengambil pengajaran daripada sejarah mereka sendiri.

Kenyataan sejarah bahawa tindakan mengundang kebencian, ketegangan emosi, ugut-mengugut, perang dan pembunuhan hanya akan mendatangkan satu perkara lain sahaja untuk manusia, iaitu kesengsaraan.

No comments:

Post a Comment

Ideas in words by