MUET: Antara mahu
dengan tidak.
Sebagai seorang guru dan pengamal bahasa Inggeris, saya
bersetuju dengan keputusan kerajaan menaikkan had minimum kemasukan ke universiti
dan syarat graduasi MUET yang diumumkan dalam Bajet 2015 baru-baru ini. Ini
adalah salah satu langkah jangka masa panjang bagi memastikan kemahiran berbahasa
Inggeris terus dikuasai terutamanya di kalangan pelajar bumiputera.
Pendidikan di Malaysia sebenarnya ada banyak isu yang perlu
dibincangkan. Reaksi yang diterima ekoran daripada syarat MUET ini telah
sedikit sebanyak menyelongkar isu-isu yang ada. Ada yang menuduh kerajaan tidak
mahu bantu orang Melayu. Ada beranggapan kerajaan perlu menambahbaik pendidikan
dahulu sebelum mengetatkan syarat dan pelbagai lagi reaksi termasuklah gimik
seorang peguam yang kononnya mahu menyaman kerajaan. Okay, itu lawak.
Peranan Kerajaan dan
Peranan Warga
Saya suka melihat isu ini daripada dua segi. Pertama,
peranan yang perlu dimainkan oleh kerajaan. Oleh kerana bahasa Inggeris adalah
antara subjek utama dalam kurikulum pendidikan, maka pembelajaran bahasa
Inggeris sejak di bangku sekolah lagi perlu diambilkira.
Justeru, dari sudut ini, sejajar dengan syarat ketat MUET
termasuklah syarat wajib lulus SPM 2016 untuk subjek bahasa Inggeris, kerajaan
wajib menyelesaikan 3 masalah pokok di sekolah iaitu:
- Latih lebih ramai guru pakar terutamanya dalam subjek-subjek utama dan kritikal.
- Tempatkan guru supaya mengajar mengikut kepakaran mereka dan bukan dilelong mengajar subjek-subjek lain.
- Kurangkan beban kerja bukan akademik guru supaya pembelajaran dan pengajaran menjadi prioriti nombor satu di dalam kelas.
Hal ini penting. Hal ini juga sudah disuarakan sejak
berpuluh tahun lalu dalam pelbagai laporan pendidikan yang dikeluarkan oleh
banyak persatuan guru dan jawatankuasa pendidikan. Ini kerana ianya
mempengaruhi keadaan pengajaran di dalam kelas dan kualiti penyampaian guru,
sekaligus memberikan kesan langsung terhadap penerimaan pembelajaran pelajar.
Itu dari segi peranan kerajaan. Perkara kedua pula adalah
dari segi peranan warga. Warga bermaksud pelajar, ibu bapa dan masyarakat.
Pengalaman sedikit sebanyak dalam dunia pendidikan membuatkan saya sedar bahawa
hanya mereka yang mahu belajar sahaja yang boleh dan akan belajar dengan baik.
Jika guru diumpamakan seperti menyuap ilmu ke dalam mulut
anak murid. Hanya anak murid yang mahu membuka mulut dan mengunyah sahaja akan
kenyang dan mendapat khasiat secukupnya.
Walaubagaimanapun, para pelajar kita
dewasa ini ramai yang dilanda penyakit complacency.
Mereka tidak ambil pusing. Mereka tiada motivasi. Secara mudahnya, ramai
pelajar kita yang tidak bersungguh belajar sebaliknya lebih selesa menjadi
pelajar pasif.
Persoalannya, bagaimana kita mahu merawat penyakit complacency ini? Lihat semula kepada
peranan warga. Para pelajar perlu sedar hanya mereka yang mampu menjadikan diri
mereka berilmu, bukan orang lain. Ibu bapa pula wajib memainkan peranan secara
aktif agar anak-anak sejak dari kecil lagi sudah dipupuk dengan kecintaan
terhadap ilmu. Manakala masyarakat seharusnya menyokong perkara-perkara yang
mendatangkan manfaat dan saling menggalakkan antara satu sama lain dalam usaha mengejar
ilmu pengetahuan.
Yang pasti bukannya bergimik nak saman kerajaan apabila mula
menekankan kepentingan bahasa Inggeris! Paling tidak pun kita harus sedar,
dengan cara menaikkan syarat MUET, kita sedang sedikit demi sedikit memaksa
warga agar terus mencabar kebolehan diri untuk maju.
English itu Mudah!
Bagaimana?
Mempelajari bahasa Inggeris bukannya susah. Bahasa Inggeris
tidak seperti kursus undang-undang atau perubatan dengan buku-buku tebal untuk
dihafal. Ataupun kejuruteraan fizik dan kimia yang perlukan kepada pemahaman
pelbagai jenis teori baru, sebahagiannya tidak pernah dipelajari langsung di
bangku sekolah.
Bahasa Inggeris dalam MUET, dalam SPM, dalam PT3 termasuklah
di peringkat sekolah rendah hanyalah asas kemahiran berbahasa yang dibina
secara berperingkat-peringkat. Dari peringkat perkataan ke peringkat klausa, ke
peringkat ayat mudah, ayat majmuk, ayat kompleks dan seterusnya. Bahasa
Inggeris juga hanya merangkumi empat kemahiran komunikasi iaitu membaca,
mendengar, menulis dan bercakap.
Atas kefahaman ini, buat adik-adik pelajar universiti yang
merasakan susah untuk menghadapi MUET, saya ada beberapa cadangan mudah dan
praktikal. Tak perlu hafal atau baca kamus dari depan sampai belakang seperti
Nelson Mandela ketika dipenjarakan. Malah tak perlu menelaah thesaurus untuk
pandai bahasa Inggeris. Sebaliknya amalkanlah cadangan tersebut:
- Membaca bahan bacaan bahasa Inggeris setiap hari dengan nada suara kuat agar kedengaran bunyi sebutan di telinga sendiri.
- Cari lagu-lagu Inggeris kegemaran, tulis lirik, fahamkan makna, pasang dalam mp3 dan nyanyilah mengikut lenggok sebutan penyanyi.
- Cari filem atau drama Inggeris kegemaran dan tontonlah tanpa subtitle bahasa Melayu. Jika tidak faham, ulang tonton filem tersebut sekali lagi.
Saya yakin dan pasti, jika langkah-langkah mudah ini
diamalkan dengan istiqamah sepanjang tahun-tahun pertama pengajian, setakat
band 2 dan 3 MUET sudah semestinya dalam tangan.
Untuk mengecapi nikmat band 4, tambah satu lagi iaitu
menulis jurnal, diari atau entri di blog dalam bahasa Inggeris. Tulislah apa sahaja,
langkah-langkah membuat durian crepe, pengalaman memanjat Broga Hill malah review
drama Korea yang baru ditonton pun boleh.
Jika mahukan band 5 pula. Bahan bacaan dan penulisan yang
lebih kritikal perlu dijadikan bahan makanan harian. Bacalah surat khabar dan
ambil tahu isu-isu semasa agar dapat diulas dalam penulisan serta sesi soal
jawab. Hafal sebanyak mungkin kata-kata hikmah seperti ‘Education is the only
weapon which you can use to change the world’. Iya, jangan kita bermimpi mahu
mengubah dunia kecuali dengan pendidikan. Dan pendidikan hanya datang kepada
mereka yang cintakannya.
Kesemua langkah ini, jika diamalkan dengan tekun dan sabar,
ditambah pula kelas-kelas teknik menjawab, semangat juang jitu dan doa sebagai
senjata mukmin, setakat capai band MUET itu, apalah sangat? Banyak lagi isu
lain yang sepatutnya dijadikan buah bicara warga siswa dan siswi kita, pemimpin
masa hadapan negara daripada mengeluh perihal takut tak lulus subjek.
Selain itu, jika masih tidak cukup. Adik-adik pelajar boleh
juga mengikuti kelas-kelas tusyen khas untuk MUET ataupun kelas bahasa Inggeris
percuma di Youtube oleh EduNation. Nak yang antarabangsa? Sila google
KhanAcademy. Atau buat carian permainan bahasa percuma secara online jika mahu
belajar sambil bermain.
Jika tidak berkemampuan dari segi kewangan untuk bayar
tusyen, saya jemput kunjungi laman facebook dan blog Endless-English.blogspot.com
dan tanyalah sebanyak mana soalan berkaitan bahasa Inggeris. Nescaya saya akan
berusaha membantu anda yang mahu belajar. Pepatah cina ada berpesan, ‘Apabila
murid sudah bersedia, guru pasti akan muncul untuknya.’
Asas anda lemah? Anda lebih suka belajar bahasa Inggeris dengan
menggunakan bahasa Melayu? Tak ada masalah. Saya mencadangkan buku English itu
Mudah WOW! My English keluaran ahli akademik UPSI, boleh didapati secara online
atau di kedai-kedai buku. Disamping itu, boleh juga lawati laman facebook ‘Home
Tutor kongsi TIPS & TOOLS anak cemerlang’ yang menyediakan perkhidmatan
tusyen bahasa Inggeris melalui Whatsapp dengan cas bulanan yang amat minima.
Nah, apa lagi kita mahukan? Saya percaya tak ada pelajar
yang setelah berusaha dengan konsisten akan gagal. Hatta jika gagal sekalipun,
bangkit dan cuba sekali lagi. Apa masalahnya?
Sebagai pengakhiran saya ingin berkongsi kisah Zaid bin
Thabit. Beliau berkata, Rasulullah SAW tidak selesa apabila berhadapan dengan kaum
Yahudi maka baginda menyuruhnya belajar bahasa mereka. Beliau pun belajar.
Tidak sampai setengah bulan Zaid telah menguasai bahasa Ibrani. Lantas beliau
dilantik sebagai penulis dan penterjemah untuk Rasulullah SAW pada usia semuda
belasan tahun.