Showing posts with label Entri serius. Show all posts
Showing posts with label Entri serius. Show all posts

Tuesday, September 04, 2012

Mendefinisikan semula asas pendidikan negara — Zul Fikri Zamir Mohamad Munir dan Anas Alam Faizli


4 SEPT — 31 Ogos 2012 ini genap 55 tahun Malaysia merdeka. Bukan sedikit perubahan dasar dan polisi pendidikan telah dilaksanakan. 
Sebelum merdeka kita bermula dengan sistem pendidikan yang berasingan dengan sekolah-sekolah pondok, madrasah dan vernakular mengikut bangsa. Laporan Barnes kemudiannya cuba mencadangkan satu sistem pendidikan yang lebih menyeluruh di mana semuanya digabungkan di bawah satu sistem. Ini kemudian dicabar oleh Jawatankuasa Fenn Wu yang mengatakan Barnes tidak mengambil kira masyarakat Cina dan India. 
Di akhir penjajahan British segolongan orang Melayu yang terpelajar telah memulakan gerakan untuk menuntut kepada perubahan dasar pendidikan negara. Aspirasi mereka untuk melihat suatu sistem pendidikan yang lebih mementingkan pembinaan modal insan negara. Hasil daripada ini lahirlah Penyata Razak yang dipimpin oleh Tun Razak dan dianggotai beberapa pimpinan negara dan perintis pendidikan waktu itu.  
Objektif jawatankuasa ini adalah untuk menubuhkan sebuah dasar pendidikan negara yang bakal menjadi teras untuk memacu perkembangan budaya, sosial, ekonomi dan politik tanah air dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Penyata ini disambung oleh Laporan Rahman Talib yang kemudiannya melahirkan Akta Pendidikan 1961 yang kemudiannya dengan penambahbaikan pada tahun 1995 dan 1996 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengambil kira perubahan-perubahan zaman dan aspirasi untuk menongkah arus perubahan kurun ke 21. 
Stereotaip masyarakat dan pendidikan
Menjelang 55 tahun Merdeka, satu perkara yang tidak dapat disangkal ialah mentaliti masyarakat berkenaan pencapaian akademik. Akademik, di dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN) hanya mencakupi aspek Intelek, satu dari lima cita-cita besar pendidikan negara iaitu Jasmani, Emosi, Rohani dan Sosial. 
Di Malaysia, strereotaip masyarakat telah menyebabkan sekolah-sekolah menjadi kilang perusahaan target-target A. Bermula di sekolah rendah, anak-anak diajar pendidikan ialah pencapaian terhadap A, sebuah target ilusi kepada kehidupan. Menjelang Julai setiap tahun, sekolah di seluruh negara akan berlumba-lumba menghasilkan murid “straight A”; menyebabkan ukuran hasil pendidikan terhad kepada aspek Intelek melalui peperiksaan bertulis sahaja.
Sekolah yang fungsi asalnya untuk mengajar tentang kehidupan telah membiarkan anak-anak ini kosong Jasmani, Emosi, Rohani dan Sosialnya. Ini menyebabkan generasi Y di bangku sekolah kini  bersikap material, ilmu hanya cukup buat dirinya sendiri dan bukan untuk masyarakat. Sebelas straight As, masuk universiti, kerja bagus dan hidup senang lenang. Adakah maksud pendidikan terhad hanya kepada definisi sesempit ini? Sudah sampai masanya pendidikan dan asas pendidikan di Malaysia diberi definisi baharu.
Peradaban hebat sejarah manusia telah melihat bagaimana ilmu pengetahuan telah dialih milik daripada Tamadun Yunani, Tamadun Islam Umaiyyah, Abbasiyyah, Othmaniyyah dan akhirnya ke tangan Tamadun Eropah dan Barat. Satu-satunya sebab tamadun-tamadun ini mampu berkembang dan bertahan lama pada zamannya adalah kerana pendidikan dan ilmu pengetahuan. Berbanding Empayar Mongol yang satu ketika dahulu pernah menjajah sebahagian besar dunia, sikap tidak peduli ilmu telah menyebabkan dunia mengenali Empayar Mongol hanya tidak lebih sebagai sejarah.
Definisi semula asas pendidikan 
Omar Nakib (2006) di dalam bukunya “Malik Bennabi’s Approach to Educational Problems In The Muslims World” menyatakan Malik Bennabi menekankan masalah utama pendidikan di dunia Islam ialah peradaban. Menurutnya, asas falsafah Malik Bennabi terutamanya terhadap projek memperkasakan ummah ialah elemen major di dalam asas tersebut iaitu sifat semulajadi manusia, sifat semulajadi masyarakat, sifat semulajadi ilmu dan sifat semulajadi tujuan pendidikan. 
Omar Nakib kemudiannya menjelaskan Malik Bennabi melihat konsep pendidikan sebagai tunjang terhadap peradaban manusia. Malik Bennabi menjelaskan secara spesifik tentang fungsi pendidikan sebagai cubaan untuk memenuhi keperluan personaliti individu dan masyarakat, termasuk elemen yang perlu terhadap proses pendidikan, tujuan dan maknanya. Pendidikan menurut Malik Bennabi haruslah usaha berterusan untuk membina peradaban, di akhir tujuan pendidikan ialah untuk mencapai peradaban. 
Konseptual Malik Bennabi terhadap masalah pendidikan bertitik tolak dari pandangan holistiknya terhadap dilema Muslim masa kini. Omar Nakib menjelaskan pandangan Malik Bennabi terhadap perkaitan di antara konsep pendidikan dan misi masyarakat berasal dari perspektif al-Quran. Menurutnya Malik Bennabi berpendapat, pendidikan bukan sahaja proses pembinaan personaliti insan dengan tujuan yang terhad sebaliknya sebagai proses membina peradaban manusia. Konseptual ini melihat pemahaman sejarah peradaban manusia sebagai hukum-hakam yang akan menentukan naik dan turunnya sesebuah peradaban (Omar Nakib, 2006).
Malik Bennabi (1905-1973), tokoh Islam par excellence kelahiran Constantine, Algeria, telah menghabiskan usianya dalam mencari punca masalah kemunduran umat Islam masa dengan menukilkan sebuah formula asas kepada peradaban iaitu; Manusia (Insan) + Tanah (Turab) + Waktu (Waqt) = Peradaban (Hadarah). Ahmad Nabil Amir (2012) di dalam makalahnya “Malik Bennabi dan Falsafah Tajdid” kemudian menjelaskan manusia, tanah dan waktu sahaja tidak akan memungkinkan peradaban itu untuk berlaku. Ia memerlukan agama dan idea untuk meransang persamaan itu untuk berlaku.
Ahmad Nabil Amir kemudiannya menjelaskan lagi, Malik Bennabi memberi contoh kehancuran negara Jerman ketika perang dunia kedua dan kehilangan wilayah kebendaan untuk seketika (realm of things). Tetapi Jerman kemudiannya berjaya membina semula “realm of things”-nya kerana peradaban diransang oleh “realm of ideas”. 
Berkait hal ini, Malik Bennabi kerap menegaskan dilema negara kurang maju kerana mereka menganjurkan peradaban kebendaan (hadarah shahiyya) yang bersandarkan pemupukan harta benda, bukannya idea, yang hanya dapat dicapai melalui pendidikan. Malek Bennabi, walaupun latar belakangnya kejuruteraan, menumpukan sepenuh hidupnya mencetuskan semula rasionalisme Ibn Khaldun melalui tulisan seputar sains sosial, sejarah dan tamadun.
“Jalan pulang” ke fungsi asal pendidikan
Kini timbul persoalan baharu. Apakah fungsi sebenar pendidikan? Di Malaysia, pendidikan didefinisikan sebagai pencapaian akademik atau merit. Anak-anak ke sekolah untuk mencapai “A” yang berderet. Adalah dipercayai “A” yang berderet-deret ini akan membantu menghantarnya ke universiti lantas menyelesaikan masalah hidupnya di masa depan.
Malangnya di dunia global, individu seperti Bill Gates (pengasas Microsoft), Steve Jobs (pengasas Apple), Michael Dell (pengasas Dell) ataupun Mark Zuckerberg (pengasas Facebook) tidak pun manghabiskan pengajian mereka di universiti. Namun keempat-empat individu di atas bukan sahaja berjaya di dalam bidang masing-masing. Mereka bahkan membina sebuah peradaban teknologi baharu lantas menyumbang kepada manusia dengan merevolusi dan merubah gaya kehidupan di dunia ini. 
Konsep pendidikan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia harus segera berubah. Ganjaran material yang dibaiah kepada sekolah yang mencapai pencapaian menakjubkan di dalam bidang akademik harus segera dimansuhkan. Pendidikan di sekolah harus segera berorientasikan pembinaan individu yang lebih holistik. Tak mungkin seorang anak berbakat seni yang besar dipaksakan oleh masyarakat ke dalam bidang sains kejuruteraan. Tidak adil seorang anak berbakat sastera yang besar dipaksakan oleh masyarakat menjadi produk teknologi perubatan. 
Pendidikan harus bersifat menyeronokkan. Anak-anak harus merasa teruja ke sekolah, bukan kerana selalu mendapat banyak A. Tetapi mereka ke sekolah kerana sifat ingin tahu, kerana percaya diri mereka akan sentiasa mempelajari sesuatu yang baharu tentang dunia, tentang perkara yang tidak mereka pernah ketahui sebelum ini. Sekolah adalah institusi mulia untuk proses pertanyaan dan pencarian ilmu, bukan sebuah makmal hafalan ilmu-ilmu sedia ada yang skripnya telah disediakan oleh guru semata-mata untuk lulus peperiksaan. 
“In trend” masa kini iaitu ibu-bapa yang mahukan anak mereka menjadi doktor ataupun jurutera terutama jika mereka berjaya mendapat bilangan A yang banyak di dalam peperiksaan harus segera diubah. Lantarannya, semua pelajar-pelajar ini dipaksa memasuki bidang bukan menurut minat mereka. Hasilnya, mereka yang tidak mendapat bilangan A yang banyak mengambil jurusan pengurusan mahupun agama. Sekolah sepatutnya menjadi tempat di mana anak-anak belajar untuk mempercayai dirinya sendiri sehingga percaya kepada kemampuan dan minatnya melalui pengasahan bakat secara konsisten selama sebelas tahun bermula Tahun Satu sehingga tamatnya Tingkatan Lima.
Muhammad SAW menghabiskan masa selama 13 tahun untuk mendidik anak-anak muridnya (sahabah) dengan ilmu akidah dan tauhid kepada tuhan. Beliau membina satu kepercayaan yang utuh di dalam jiwa-jiwa manusia ini. Apabila kepercayaan yang kukuh ini telah terbina, konsep-konsep fiqah dan ibadah yang lain dengan mudah di ikuti oleh mereka. Bayangkan bagaimana arak yang telah menjadi sebati dalam hidup mereka dibuang dan dan dilimpahkan sebaik ia diumumkan haram? Konsep yang sama perlu di gunakan dalam pendidikan. Budaya cintakan ilmu dan kritis harus di semai, di tanam dan di sebatikan ke dalam anak-anak ini.
Benarkan mereka bertanya dan Mars Rover Curiosity
Perubahan polisi pendidikan perlu dilihat dari konteks sejarah. Impak perubahan polisi-polisi ini perlu dilihat bukan sahaja kepada anak-anak secara keseluruhan, tetapi juga kepada masyarakat. Lulus peperiksaan adalah satu pencapaian, tetapi jika mendapat A adalah bonus kepada pencapaian tersebut. Namun gagal peperiksaan harus dirai sebagai sebuah percubaan, bukan sebagai petunjuk kegagalan hidupnya.
Kemahiran “membaca, menulis, mengira dan menaakul” (4M) adalah penting sebagai “self-esteem” kepada anak-anak sebelum berumur 12 tahun. Tetapi sebuah gerakan pembudayaan manisnya ilmu pengetahuan untuk menggantikan kecanduan buku dan ilmu akibat peperiksan perlu segera digerakkan. 
Di akhirnya anak-anak ini akan percaya, melalui sifat ingin tahu dan budaya berfikir, miskin dan ketidakmampuan bukanlah halangan untuk berjaya. Pendidikan bukan sekadar mata pelajaran Matematik atau Sains. Di bidang-bidang lain seperti Sukan, Sains Sosial, Sejarah, Seni atau Sastera, kita punyai ribuan genius-genius yang tidak kita kedepankan potensi mereka sebelum ini. Anak-anak yang kenal diri dan potensi sebenar mereka ini kelak akan memandu gerakan ilmu untuk masyarakat.
Generasi baharu pasca Facebook dan Twitter harus diterapkan mentaliti berfikir di luar sistem. Pemikiran kreatif dan kritis sahaja tidak mencukupi jika terhad di dalam sistem. Di Barat, Curiosity, sejenis kenderaan bergerak di planet Marikh (Mars Rover) telah mendarat pada 6 Ogos 2012 dengan pakej “real time visualisation” dan “up-to-date data sets”, membolehkan seluruh dunia berkongsi pengalaman bersama-samanya secara lansung.  
Anak-anak disekolah harus digalakkan bertanya dan berfikir. Tiada sistem yang akan dapat membendung sebuah masyarakat yang berfikir dan menggerak. Buktinya, sifat ingin tahu Barat telah membawa mereka sehingga ke Marikh.
Melawat semula Falsafah Pendidikan Negara
Perubahan polisi pendidikan moden seperti dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) pada 2006 serta yang terbaru Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) hanya melibatkan sebahagian kecil visi dan misi Falsafah Pendidikan Negara (FPN). 
Polisi-polisi sebegini mungkin berkesan untuk menyelesaikan beberapa isu pendidikan secara teknikal berdasarkan satu tempoh masa tertentu, tetapi masih belum berupaya memberi impak terutamanya dalam mengupayakan FPN sebagai tujuan pendidikan.  
Perubahan polisi dan dasar harus merujuk kembali semangat FPN terutamanya tujuan pendidikan secara holistik yang tidak membezakan pencapaian terhadap aspek selain Intelek (pencapaian akademik) seperti Jasmani (pencapaian fizikal, sukan dan psikomotor), Emosi (pencapaian peribadi, hati dan nurani), Rohani (pencapaian spiritual dan aplikasi) serta Sosial (pencapaian individu terhadap masyarakat). 
Pelaksanaan polisi dan dasar yang tidak melihat FPN secara keseluruhan telah menyebabkan polisi-polisi sebelum menjadi fragmen-fragmen yang tidak mempunyai kesinambungan di antara satu sama lain.
Apa yang Malaysia perlukan kini bukanlah penukaran akronim sebagaimana yang telah dilaksanakan seperti Kurikulum Lama Sekolah Rendah/Menengah (KLSR/M) kepada Kurikulum Baru Sekolah Rendah/Menengah (KBSR/M) dan yang terbaharu kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah/Menengah (KSSR/M), tetapi sebuah laporan lengkap sebagaimana Laporan Rahman-Talib ataupun Penyata Razak, yang melihat sejarah dan Falsafah Pendidikan Negara secara keseluruhan dan bukannya secara terpisah.  
Laporan tersebut perlu segera menganjurkan perubahan terutamanya terhadap; a) polisi yang bersifat konseptual dan prinsipal kepada polisi yang lebih realistik dan mampu-capai; b) penekanan terhadap memenuhi pencapaian dan tujuan Falsafah Pendidikan Negara secara menyeluruh; c) dasar yang mempunyai kesinambungan di antara pendidikan pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah serta penyediaan anak-anak terhadap dunia pengajian tinggi dan; d) dasar yang akan menyediakan Malaysia terhadap sebuah bangsa yang cinta ilmu dan pemikiran dalam menyediakan modal insan berkemahiran tinggi untuk membina semula peradaban negara.
Perubahan yang banyak dilakukan selama ini hanya menyentuh sebahagian kecil sisi FPN, menyebabkan perubahan yang berlaku selama 55 tahun ini bersifat permukaan dan superfisial sahaja. Pencapaian negara gah jika diukur dari fizikal dan kebendaan.  Kita berbangga mempunyai KLIA, Menara Berkembar dan juga litar lumba F1. Kita punya 21 universiti awam dan 75 universiti swasta malahan mempunyai lebih daripada 400 kolej-kolej swasta, infrastruktur serta kelengkapan sekolah-sekolah kita adalah di antara yang terbaik di Asia.
Sekadar perbandingan, Korea Selatan telah berjaya memacu penduduknya dengan kelayakan pendidikan tertiari daripada 54.8 peratus kepada 98 peratus daripada tahun 1990 hingga 2012 berbanding Malaysia daripada 7.2 peratus kepada 36 peratus sahaja. 
Finland dan Korea Selatan juga menduduki tempat pertama dan kelapan di dalam Indeks Pendidikan yang dikeluarkan oleh United Nations manakala Malaysia hanya di tempat corot tangga ke 98 daripada 181 buah negara. Pembangunan fizikal kita mungkin hampir dengan dunia kelas pertama tetapi secara relatifnya kita masih jauh tertinggal dari sudut pemikiran. Wujud ruang yang besar untuk kita penuhi terutama melibatkan mentaliti beradab, “welstanchaaung” yang lebih terbuka serta sikap sedar masyarakat di kalangan anak muda. 
September 2012 ini, hasil Dialog Nasional Pendidikan Negara akan diumumkan. Menurut Pengerusi Dialog Nasional Pendidikan Negara, Tan Sri Dr Wan Mohd Zaid Mohd Nordin menjelaskan diolog tersebut merangkumi sembilan (9) bidang yang meliputi guru, pemimpin sekolah, kualiti sekolah, kurikulum dan penilaian kurikulum, penguasaan pelbagai bahasa, peluang pasca sekolah, peranan ibu bapa dan komuniti, keberkesanan penggunaan sumber dan system penyampaian termasuk struktur urus tadbir Kementerian Pelajaran.
Adalah diharapkan, hasil dialog tersebut akan mencerminkan keupayaan Falsafah Pendidikan Negara secara holistik serta menyeluruh, terutama dalam mendefinisikan semula asas pendidikan negara. Sempena 55 tahun Malaysia merdeka, kami percaya; fungsi pendidikan tidak lain adalah untuk memanusiakan kembali manusia. Ilmu dan cinta ilmu perlu kembali kepada masyarakat, tidak lain dan tidak bukan untuk manyahut seruan Malik Bennabi iaitu untuk membina semula peradaban negara kita yang telah hanyut dilambung ombak sejarah.
* Zul Fikri Zamir Mohamad Munir dan Anas Alam Faizli merupakan penyelidik di dalam Teach For The Needs (TFTN), sebuah gerakan aktivisme pendidikan yang boleh dihubungi di laman web http://www.teachfortheneeds.org
*Artikel tulisan seperjuangan Teach For The Needs yang diterbitkan di themalaysianinsider

Thursday, August 30, 2012

Erti Puteri Gunung Ledang dan kisah klasik Melayu

Salam Merdeka55. Salam 1Malaysia, jasa kepada rakyat.

Ramai daripada kita pernah mendengar hikayat Puteri Gunung Ledang (PGL). Hikayat melayu lama yang telah ada sejak dahulu lagi. Pernah juga kita dengar kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Persoalannya mengapa hikayat dan kisah ini ditulis? Adakah ianya berlandaskan kisah benar, sejarah yang berlaku. Ataupun kisah-kisah ini mempunyai makna dan pengajaran yang ingin disampaikan didalamnya? Ataupun hanya sekadar untuk menjadi kisah hiburan, bualan mulut dan bedtime story

Sebenarnya jika kita lihat, kisah-kisah begini pasti punya pengajaran dan sebab mengapa mereka ditulis. Kita ambil contoh kisah Little Red Riding Hood (LRRH). Kisah ini bukan sekadar ditulis untuk dibacakan kepada anak-anak tatkala mereka mahu tidur. LRRH ditulis sebagai peringatan untuk anak-anak gadis supaya jangan mudah terpedaya. Jika kita lihat dalam tulisan asal kisah LRRH ini oleh Charles Perrault, tiada pengakhiran yang baik untuk LRRH melainkan akhirnya dia dimakan oleh serigala yang begitu manis menggoda dengan kata-kata baiknya.

Gadis kecil didalam LRRH itu begitu naif dan mudah menerima bulat-bulat apa yang dikata oleh serigala sehingga diperdaya dan akhirnya dimakan. Sesetengah pendapat lain mengatakan bahawa kisah LRRH ini bertujuan untuk mengingatkan anak gadis supaya jangan keluar seorang diri dikawasan terpencil serta supaya tidak mudah mempercayai orang yang tidak dikenali terutamanya seorang lelaki. Ini adalah kerana pada waktu itu, kes rogol gadis muda amat berleluasa, justeru kisah ini ditulis. 

Sekarang mari kita kaji hikayat Puteri Gunung Ledang. Pertamanya, adakah ini hikayat ini merupakan cerita benar yang diadaptasi? Jawapannya tidak, PGL bukanlah berlandaskan kisah benar sepertimana tulisan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang yang ditulis mengikut kisah yang benar-benar berlaku. Simboliknya Sultan Mahmud Mangkat Dijulang merupakan kisah pemberontakan tertulis pertama rakyat terhadap kezaliman sultan pada masa dahulu dimana raja yang zalim telah dibunuh kerana kebodohannya sendiri yang murka kerana seulas nangka. 

Berikut merupakan beberapa interpretasi berkenaan hikayat PGL yang dikaitkan dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka.

1. Kita selalu difahamkan bahawa Sultan Mahmud merupakan seorang sultan yang zalim. Antara kezaliman yang kita nampak ialah apabila keluarga Bendahara Tun Mutahir dibunuh kesemuanya kecuali Tun Fatimah dan seorang budak kecil yang lain apabila mereka difitnah mengkhianati negeri Melaka.

2. Dalam masa yang sama, kita juga selalu difahamkan bahawa sultan Mahmud adalah seorang kaki perempuan. Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa keluarga Tun Mutahir sebenarnya dibunuh kerana Sultan Mahmud berkeinginankan Tun Fatimah. Tun Fatimah dijodohkan bersama Tun Ali dan ini mengakibatkan kekecewaan bagi Sultan Mahmud kerana dia berpendapat bahawa sebagai bendahara, Tun Mutahir patut menjodohkan anaknya dengan Sultan Mahmud. Akibat melepas dan timbulnya fitnah terhadap keluarga Tun Mutahir oleh Si Kitul, Raja Madeliar, maka kesempatan ini diambil dan keseluruhan keluarga Tun Mutahir dihukum bunuh. Namun Tun Fatimah dibiarkan hidup, mengapa?

3. Berkaitan dengan dua sifat Sultan Mahmud diatas, timbul ketidakpuasan hati dikalangan pembesar dan rakyat Melaka. Namun kita semua tahu bahawa usahlah mahu mencerca malah menegur sultan pun merupakan pengkhianatan besar dan boleh dijatuhkan hukuman mati. Raja-raja berpelembagaan sekarang pun pantang ditegur, apatah lagi raja dahulu yang punyai kuasa absolute?

4. Maka, terciptalah hikayat PGL sebagai satu bentuk sindiran terhadap sifat kaki perempuan dan zalimnya Sultan Mahmud yang akibat mahukan seorang perempuan sanggup dilakukan apa saja. Mengikut hikayat PGL, bukan setakat jambatan emas dan jambatan perak, permintaan hati kuman dan hati nyamuk sebanyak 7 dulang pun sanggup ditunaikan. Hati kuman dan hati nyamuk disini sebagai simbolik seorang sultan yang sanggup menggadaikan hati-hati rakyat semata demi mencapai matlamat yang diingininya. Manakala 7 tempayan anak mata dara pula sebagai simbolik air mata anak-anak gadis yang dipaksa berpisah dengan keluarga dan dipaksa menjadi gundik kepada sultan. 

Sindiran terhadap kezaliman sultan, kisah pemberontakan terhadap sultan yang zalim dan ikut kepala sendiri sudah sekian lama tertulis. Ini semua adalah peringatan bagi sultan-sultan yang ada supaya beringat. Kisah pergaduhan Hang Tuah dan Hang Jebat juga merupakan sindiran-sindiran bagi sultan apabila Jebat mengatakan "Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah." Dalam masa yang sama karya ini juga berniat menyindir rakyat yang ikut perintah sultan membuta-tuli dimana Hang Tuah yang pada awalnya dibuang negeri akhirnya dipanggil apabila khidmatnya diperlukan oleh kesultanan Melaka lalu pahlawan Melaka itu patuh! Semua kisah dan hikayat ini membawa maksud, terletak kepada interpretasi masing-masing. 

Akhir sekali, bak kata Hang Tuah kepada Puteri Gunung Ledang apabila puteri bertanya sama ada Hang Tuah sanggup mengikut syaratnya sekiranya Hang Tuah mahu menjodohkan puteri dengan sultan. Hang Tuah menjawab "Kalau nak ikut biar pintar, kalau nak menurut biar berakal." Sungguh ironi. 

Wednesday, August 29, 2012

Entri panas badan & TFTN

Salam 1Malaysia, Salam Perak Aman Jaya, Janji Ditepati, tiba masa balas budi, erk?

1. Aku dah balik Malaysia lebih sebulan. Dah habis belajar di United Kingdom, kini sambung semula di Ulu Kinta. Reverse culture shock pun dah settle.

2. Blog ini dah berabuk. InsyAllah akan mula menulis semula. Banyak perkara baru yang mahu diketengahkan.

3. Antaranya, gerakan akarumbi (grassroot movement) terbaru yang digerakkan oleh aku dan rakan-rakan sejak Mac lalu iaitu Teach For The Needs (TFTN). Untuk rujuk laman sesawang TFTN sila tekan titik ini -------> .

4. Pastikan anda tekan butang main untuk video yang terpampang di muka rumah laman sesawang TFTN itu. Pasti anda tidak akan menyesal.

5. TFTN adalah gerakan akarumbi yang baru dimulakan 1 Mac lalu. Mengumpulkan guru muda seluruh Malaysia untuk mengajar anak-anak Malaysia yang keciciran didalam kelas, anak susah, kurang pendapatan dan anak yatim yang tidak mampu membayar tuisyen.

6. TFTN juga turut mempunyai sukarelawan bukan guru yang masuk mengajar di rumah-rumah anak yatim secara mingguan. Buat masa ini di Perak dan Pahang.

7. Walaupun baru berusia hampir 6 bulan, TFTN sudah mempunyai seramai 130+ sukarelawan berdaftar, 200+ anak murid dan sebuah bank akaun rasmi sekiranya anda mahu menderma.

8. Tujuan penubuhan TFTN. Jika kita lihat, Kerajaan Malaysia sudah cuba berbagai pembaharuan untuk menambahbaik sistem pendidikan. Tambah PPSMI, buang PPSMI. Buang PTS, nak tambah PTS semula. Ambil ahli bahasa dari US untuk ajar bahasa Inggeris dan lain-lain. Namun, isu keciciran pelajar tetap ada dimana setiap tahun pasti ada pelajar gagal. Rata-rata pelajar gagal ini adalah pelajar berlatarbelakangkan susah dan keluarga bermasalah. TFTN bertujuan mengatasi isu ini secara terus.

9. Berminat untuk ketahui lebih lanjut?
Laman facebook TFTN: http://www.facebook.com/teachfortheneeds
Laman twitter TFTN: https://twitter.com/TFTNofficial

10. Pendidikan adalah investment dan harta paling penting serta berharga bagi sesebuah masyarakat. Kecemerlangan sesuatu masyarakat boleh diukur dari segi kecemerlangan sistem pendidikannya. Jadi, mari kita bersama berusaha memperbaiki dan membantu mendidik generasi akan datang.

*Kami percaya setiap insan punyai potensi jika diberikan peluang.

Peace & Out,
Faiez Ali

Wednesday, May 13, 2009

Saat Paling Mendebarkan

Assalamualaikum. Selamat solat maghrib kepada yang muslim. Selamat sejahtera kepada yang bukan.

Aku rasa setakat ini saat yang paling mendebarkan bagi aku adalah saat aku mengazankan pemergian mama baba aku ke tanah suci Mekah untuk musim haji yang lepas.

Lalu aku cuba buat seikhlas mungkin dan berdoa agar segala apa yang dilakukan mereka diterima. Lagipun, hanya itu sahaja yang aku boleh lakukan.

*Entri serius untuk tatapan dan pemikiran.