Tuesday, November 26, 2013

Suara kaum guru

Peruntukan bajet pendidikan paling besar setiap tahun, tetapi hasilnya telah terbukti tak mencapai sasaran. 

Untuk transformasi pendidikan, suara yang paling perlu didengari adalah suara kaum guru. Merekalah yang berhadapan dengan sistem pendidikan, berinteraksi dengan pelajar, berkomunikasi dengan ibu bapa dan terlibat merancang P&P. 

Kenyataannya, selagi mana suara kaum guru melalui saluran seperti NUTP tidak diberi keutamaan, selagi itulah pendidikan di Malaysia akan terus merudum.

Dan selagi mana semua guru tidak memberikan sokongan serta dokongan yang mantap untuk NUTP, selagi itulah suara guru akan terus tenggelam-tenggelam timbul. 

Macam hidup segan, mati tak mahu. 

Wednesday, November 20, 2013

This is a test

This is a test,
For you.

This is a test,
For me.

This is a test,
For us. 

This is a test,
And time is the judge. 

Monday, November 18, 2013

Transformasi Akar Umbi


Transformasi Akar Umbi

18 Oktober lepas saya dijemput sebagai salah seorang panelis untuk berkongsi buah fikiran dalam sesi ‘Sudut Pandang’ di Astro Awani. Ada bersama-sama dalam sesi tersebut merupakan Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri Bahagian UMNO. Sebagai bekas Ketua Penerangan Kelab UMNO UK, sudah pasti saya membawa suara daripada persepsi sebagai seorang belia dan mahasiswa.

Isu yang diperbincangkan adalah berkenaan transformasi yang dijalankan oleh UMNO dan kerajaan. Bagaimanakah transformasi ini dapat digerak dan menggerakkan akar umbi supaya bertepatan dengan kehendak rakyat?

Bagi saya, transformasi yang dijalankan ini adalah satu langkah daripada sebuah kerajaan yang tahu bahawa terdapat pelbagai ruang yang lompong dan perlu diperbaiki dalam sistem pengurusan negara. Namun, saya melihat sasaran transformasi ini harus ditujukan kepada golongan belia secara khususnya melalui pendekatan-pendekatan yang praktikal.

Tahun 2012, statistik pengundi muda di Malaysia adalah hampir 50% dan bilangan pengundi muda juga bertambah pada setiap tahun. Ini masih belum mengambil kira jumlah belia yang layak tetapi belum berdaftar sebagai pengundi. Belia-belia kita yang semakin lama semakin ramai yang 'not into politics'.

Disamping itu, sejak beberapa tahun lepas, senario politik dan sosial Malaysia sering dirancakkan dengan pelbagai demonstrasi dan tunjuk perasaan seperti Bersih, bantahan PTPTN, bantahan TPPA dan sebagainya. Sesi-sesi dialog umum melibatkan isu-isu sosial, pendidikan dan ekonomi juga banyak diadakan sama ada oleh pembangkang mahupun badan-badan bukan kerajaan dan media. Jika dilihat dari segi statistik penglibatan aktiviti seumpama ini, majoriti daripada mereka adalah golongan muda!

Trend ini wajib diambil berat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Jika sebelum ini, kita sering bercakap soal sokongan pengundi Melayu atau tsunami kaum Cina, kini pertaruhan masa depan politik terletak di tangan GELOMBANG PENGUNDI MUDA.

Jadi, apa sebenarnya yang golongan belia mahukan? Mengapa agenda transformasi merakyatkan ekonomi negara seperti BR1M masih tidak berjaya mendapatkan 2/3 kerusi majoriti bagi BN dalam PRU yang lepas?

Saya melihat isu yang menjadi perhatian belia adalah lebih daripada isu-isu berkaitan tuntutan pembangunan dan ekonomi. Pada hari ini, belia mahu agar polisi yang dijalankan bersifat lebih inklusif dan menepati citarasa mereka. Golongan belia mahu apabila mereka dilibatkan dalam aktiviti atau program, tugas mereka haruslah lebih daripada sekadar menjadi pemeriah majlis. Belia mahu melibatkan diri secara terus, secara langsung dan secara konsisten dalam bersama-sama memberi pendapat dan melakukan sesuatu yang berfaedah untuk agama, bangsa dan tanah air. Pendek kata, kaedah yang digunapakai kerajaan haruslah bersifat bottom-up dimana idea, tenaga dan gerakan itu datang daripada golongan di bawah kerana mereka lebih memahami kehendak masing-masing.

Maka, persoalannya adakah transformasi yang dijalankan kerajaan mengambil kira hal ini? Apakah ada produk-produk keluaran kerajaan yang menuju ke arah bottom-up approach?

Pada pendapat saya, kerajaan sedang berusaha menuju ke sasaran ini. Pelaksanaan program seperti Parlimen Belia Malaysia, Felo Perdana, Dana Belia, BN Youth Job Fair, Malaysian Young Apprentice Program (MaYA), sebuah program summer-internship kendalian Kelab UMNO UK, dan sebagainya dilihat sebagai satu pendekatan baru kerajaan  terutamanya UMNO ke arah lebih menggalakkan suara belia supaya kedengaran lantang dan berupaya to make a change!

Walaubagaimanapun, saya melihat progres transformasi ini harus menuju ke arah akar umbi di mana lebih banyak program seumpamanya dilaksanakan di peringkat yang lebih berfokus seperti negeri atau bahagian. Kerajaan harus menggerakkan agensi-agensi yang ada di peringkat negeri dan bahagian mahupun cawangan supaya lebih aktif melaksanakan program bersifat bottom-up untuk masyarakat setempat.

Bayangkan jika berbanding Parlimen Belia Malaysia, kita juga menyediakan Sidang Dewan Belia untuk setiap negeri. Belia-belia dapat bersama-sama memahami persidangan Dewan Negeri masing-masing dan bertindak sebagai suara golongan muda. Ataupun program seumpama Felo Perdana yang difokuskan kepada negeri masing-masing melibatkan pengurusan jabatan-jabatan kerajaan. Dengan cara ini, lebih banyak instrumen peringkat kecil dapat digerakkan secara aktif dan melibatkan lebih ramai pihak. Bayangkan idea-idea kreatif, inovatif dan berkesan yang akan timbul hasil daripada pelaksanaan program Dana Belia di peringkat negeri? Hal ini akan memanfaatkan pembangunan negara dan sekalian masyarakat Malaysia.

Peranan belia dalam menjadi nadi penggerak negara sudah jelas termaktub di dalam kisah sejarah lampau. Jika kita mengambil pengajaran daripada penghijrahan Rasulullah saw, anak muda seperti Ali bin Abi Talib, ‘Aamir bin Fuhayrah, Abdullah bin Abu Bakar dan Asma binti Abu Bakar telah memainkan peranan yang memerlukan bukan saja keberanian malah kebijaksanaan dalam menjayakan rencana penghijrahan Rasulullah saw.

Telah tercatat juga peranan yang dimainkan oleh golongan muda ketika perjuangan mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu sama ada melalui cara mengangkat senjata atau yang aktif menulis seruan perpaduan dan kemerdekaan dalam akhbar-akhbar mahupun yang bergerak melalui saluran politik tempatan.

Justeru, saya kekal dengan pendapat bahawa kumpulan sasaran utama dalam agenda transformasi politik kerajaan BN adalah golongan belia. Manakala kaedah yang perlu dilaksanakan adalah program-program bersifat inklusif seperti Dana Belia, Parlimen Belia Malaysia, Felo Perdana, MaYA dan lain-lain lagi tetapi melalui pendekatan secara bottom-up di peringkat negeri, bahagian atau cawangan. Saya percaya jika ini dilaksanakan secara terancang dan tersusun, kita bukan saja mampu memberikan lebih peluang kepada masyarakat terutamanya generasi muda, malah gerakan-gerakan dan agensi-agensi kerajaan di peringkat tersebut juga akan dapat melibatkan diri dengan aktif dalam agenda transformasi dan pembangunan negara.


Life and Talents

God bestows the talent on you and it is up to you to determine how you will use it. I chose to nurture mine, develop it and share it with the world. My art has been my life and my life has been my art. 

Friday, October 18, 2013

Kau, aku dan kehidupan.

Malam ini aku keseorangan.

Di tepi air pancut buatan manusia. Di halaman taman indah terletak di tengah-tengah hutan konkrit Kuala Lumpur. 

Bayu malam yang menggigit sendi, kesejukan. Dan irama air itu, menenangkan. Serta kilauan bintang, menerangkan. 

Namun yang aku ternanti, pastinya engkau. Untuk turut hadir bersama menikmati kehidupan ini.

Bersama-sama, aku. 

Thursday, October 17, 2013

Sweet red rose, fallen.

I did what I did because you're a very nice lady. I don't want you to be getting involved with me. 

If you'll wait for me, one day I'll go to your house to ask for your hand. 

What a sweet and lovely story it'll be by then. 

Wednesday, June 05, 2013

Tarikan Jaminan Penempatan Pelatih IPG

Saranan KPM untuk menarik balik jaminan penempatan bagi pelatih IPG adalah satu saranan yang baik dan wajar diraikan tetapi, bukan buat masa sekarang.

Sememangnya untuk menjamin kualiti pendidikan, kualiti guru yang disediakan juga haruslah antara yang terbaik. Justeru itu, saranan KPM ini mampu menambahbaik kualiti guru baru. Namun begitu, sebelum bercakap mengenai jaminan penempatan, ada baiknya sekiranya kita bercakap mengenai isu-isu lain yang lebih penting dan berkaitan kualiti guru.

Isu-isu seperti kemudahan untuk P&P yang mantap, kebebasan dan galakan berpersatuan dan beraktiviti dikalangan pelatih guru dan ruang serta peluang untuk mengadakan lebih banyak aktiviti melibatkan personaliti dan organisasi luar.

Pendapat saya, ketiga-tiga isu ini harus dipenuhi dahulu sebelum KPM menghukum pelatih-pelatih yang sudah sign borang perjanjian dengan mereka melalui penarikan jaminan penempatan.

Hari ini, kita bercakap mengenai kualiti guru dan persaingan dengan produk pendidik keluaran universiti. Tetapi kita lupa bercakap mengenai proses persediaan di dalam IPG itu sendiri.

Pengalaman saya sebagai seorang penuntut IPG penuh dengan pelbagai persoalan mengenai kemudahan dan suasana pembelajaran di IPG yang saling tak tumpah seperti di sekolah berasrama penuh.

Ketiadaan fasiliti yang mencukupi kerap membantutkan proses P&P. Ketandusan jaringan internet, kekurangan kemudahan seperti projektor serta keadaan perpustakaan yang sekadar setaraf dengan perpustakaan di sekolah-sekolah menengah.

Mampukah fasiliti di IPG bersaing dengan fasiliti di fakulti-fakulti pendidikan universiti? Bagaimana pula dengan suasana pembelajaran di IPG dan di universiti?

Di IPG, aktiviti persatuan masih terhad dan tidak menyeluruh. Pergerakan persatuan dan organisasi pelajar tidak dirai dan digalakkan secara menyeluruh menjadikan suasana kehidupan kampus begitu hambar tanpa dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti siswa dan siswi.

Saya tidak ada masalah dengan seruan untuk tambah baik kualiti pelatih IPG. Saya juga tidak ada masalah dengan saranan persaingan antara pelatih IPG dan siswa pendidikan universiti. Tetapi, sebelum kita bercakap tentang semua ini. Kita harus tanya satu soalan.

Apabila fasiliti yang disediakan IPG tidak mampu menyaingi fasiliti universiti, suasana pembelajaran universiti yang memberikan lebih banyak ruang untuk siswa berbanding di IPG, lalu, bagaimana pelatih IPG akan bersaing didalam keadaan yang tidak memberansangkan untuk mereka sendiri?

Maka, sebelum jaminan penempatan ditarik balik dan konsep pasaran terbuka digunapakai, KPM harus ambil tanggungjawab menambahbaik dan menyediakan pelatih IPG untuk persaingan.

Wednesday, May 29, 2013

Pasca PRU-13: Antara tuntutan pembangunan dan tuntutan demokrasi.

Menurut Tokoh Sosiologi, Ibnu Khaldun "Manusia mula-mulanya berusaha memenuhi keperluan asas sahaja, kemudian apabila asas mereka dipenuhi, barulah mereka mencari kemudahan dan kemewahan. Justeru itu, kehidupan yang sukar dikampung mestilah mendahului kehidupan yang halur dibandar."

Jika diaplikasikan dalam konteks Malaysia, saya bersetuju dengan pendapat Dato' Saifuddin Abdullah mengenai 'tuntutan pembangunan' oleh masyarakat luar bandar dan 'tuntutan demokrasi' oleh masyarakat bandar.

Pasca PRU-13, UMNO masih diberi mandat memerintah oleh masyarakat luar bandar kerana mereka percaya UMNO mampu menjalankan 'tuntutan pembangunan' yang dituntut dan diperlukan mereka.

Namun begitu, dari segi lain, masyarakat bandar membuat 'tuntutan demokrasi' yang diraikan oleh masyarakat di negara-negara maju. Hak kebebasan bersuara, kebebasan menulis, hak mahasiswa dan pelbagai isu lain yang termasuk dibawah 'tuntutan demokrasi'.

Transformasi DS Najib Razak harus mengambil kira 'tuntutan demokrasi' ini juga selain daripada pembangunan-pembangunan yang dijalankan bagi memastikan parti UMNO kekal relevan dengan tuntutan masyarakat di Malaysia sama ada dari segi pembangunan untuk masyarakat luar bandar mahupun demokrasi untuk masyarakat bandar.

Masyarakat berubah mengikut zaman, keselesaan dan kemajuan yang mereka hadapi. Begitu juga sesebuah kerajaan dan pemerintah harus berubah mengikut selera masyarakat mereka sekiranya mahu terus kekal relevan.

Saturday, May 04, 2013

Perjuangan politik dan perjuangan kelas.


Telah termaktub didalam mana-mana lipatan sejarah, perjuangan politik sebenarnya adalah perjuangan antara kelas masyarakat.

Sebagaimana pemberontakan hamba diwaktu Rom Kuno, pemberontakan petani-petani dizaman Eropah Medieval, perang-perang saudara dan revolusi abad ke-17 dan ke-18. Seperti juga pemberontakan golongan pekerja di Perancis 1871, di Russia 1917, di German dan Hungary 1919, di Itali 1920, di Chile 1972-73, di Portugal 1975, di Iran 1979 dan di Poland 1980. (Chris Harman, 1979)

Walaubagaimanapun, setiap pemberontakan hasil usaha keras golongan pekerja dan tertindas pasti akan berakhir dengan kewujudan pemerintah elit yang baru. Sepertimana penggantian golongan elit kapitalis yang mengambil alih kuasa politik dan ekonomi daripada monarki selepas Revolusi Perancis. Golongan bawahan yang sebelumnya bergelar hamba, kini cuma bertukar status kepada hamba-gaji walaupun revolusi telah berlaku dan monarki diktator telah dijatuhkan.

Maka, jika dikaitkan dengan situasi Malaysia. Perjuangan politik kita haruslah bersandarkan perjuangan kelas. Biar siapa pun yang diberi mandat memerintah, mereka harus berusaha mengurangkan autonomi serta kuasa ekonomi dan politik golongan kelas elit Malaysia. Segala kekayaan terkumpul kelas elit Malaysia (seperti Ketua Menteri Sarawak Seumur Hidup, Taib Mahmud) haruslah disebarkan semula kepada rakyat dalam bentuk lebih inklusif.

Apapun, hasil perjuangan politik haruslah bersifat lebih inklusif terutama bagi golongan bawahan dan pertengahan di Malaysia bagi menjamin kestabilan sosial masyarakat Malaysia.

"The history of all hitherto existing societies has been the history of class struggles."

Kenapa Transformasi 1Malaysia Najib bakal gagal?

Faktor menentukan kejayaan Transformasi 1Malaysia Najib bukannya 1juta unit rumah mampu milik atau bantuan 1Malaysia.

Jun 2011, SPRM mengumumkan siasatan rasmi sedang dijalankan terhadap Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak Seumur Hidup. Sehingga sekarang, Mei 2013, masih tiada sebarang laporan atau tindakan terhadap Ketua Menteri Sarawak Seumur Hidup itu.

Sedangkan, media-media antarabangsa dan NGO-NGO hak asasi telah banyak mendedahkan tentang kes rasuah, kronisme, ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa oleh Ketua Menteri Sarawak Seumur Hidup itu.

Lihat saja laporan Bruno Manser yang berjaya menyelidik secara komprehensif dan melaporkan kegiatan pembalakan haram, eksport balak haram dan segala macam keharaman lain yang berlaku di Sarawak dibawah nama Taib. Link:http://www.brunomanser.ch/en/news/

Selidik saja isu-isu berkaitan 'Warlord' terbesar BN di Sarawak ini. Adalah mustahil bagi seorang Perdana Menteri yang celik dan berjiwa rakyat untuk mengetepikan laporan dan isu seperti ini. Justeru, apakah komen daripada PM Najib berkaitan isu Taib Mahmud ini? Apa kata dia tentang istana-istana besar milik Taib anak-beranak? Harta dan aset haram berbilion didalam dan diluar negara mereka? Syarikat terbesar di Sarawak milik Taib sekeluarga yang dapat pelbagai kontrak kerajaan negeri serta syarikat-syarikat lain di Australia dan negara-negara lain?

Yang pasti, di dalam Malaysia terdapat ramai lagi 'warlord-warlord' Barisan Nasional yang terus merompak hasil kekayaan negara seperti Taib Mahmud. Tak kira samada warlord Melayu, Cina ataupun India; lelaki ataupun perempuan. Apa kata Najib mengenai mereka ini setelah terus-menerus melaungkan slogan 'Rakyat Didahulukan' dengan lantang sekali?

Sebenarnya, apa yang generasi muda mahukan bukan sekadar 1juta unit rumah mampu milik, barangan murah di kedai 1Malaysia ataupun baucar buku RM250. Kami mahu agar transformasi yang dibawa supaya lebih menyeluruh serta dapat menepis, menolak dan menyanggah warlord-warlord seperti Taib Mahmud yang begitu lama menjadi ketua perompak khazanah negara daripada kerusi empuk kekuasaan mereka.

Soalnya, mampukah Najib dan transformasi 1Malaysia melakukannya? Ataupun warlord perompak seperti Taib Mahmud akan terus kekal sebagai Ketua Menteri Sarawak seumur hidupnya kerana kita ada seorang PM yang tak ada telur untuk menegur dan menjatuhkan anak-anak buahnya yang korup.

Anak muda, kita bukan generasi bodoh.

Apa tentang isu ugutan huru-hara jika pakatan pembangkang menang PRU-13?

Sejak 12 PRU yang lepas pakatan pembangkang telah kalah berdas-das. Kekalahan paling teruk adalah ketika PRU-11 pada tahun 2004 dengan BN memenangi lebih 90% kerusi parlimen. Kekalahan pembangkang ni macam dah boleh buat drama berepisod, Episod Kekalahan Pembangkang. Sungguh tragik dan amat memalukan.

Tetapi.

Sepanjang kekalahan pakatan pembangkang tersebut yang berturut-turut dan berepisod itu, tak pernah sekalipun pembangkang yang kalah terperosok ini buat riot, huru-hara atau ancaman kepada kerajaan pemerintah.

Bagaimana dengan tragedi 13 Mei 1969? Untuk memahami perkaitan huru-hara dengan statistik kemenangan PRU kita perlu faham, apa statistik PRU 1969? Parti Perikatan yang memerintah yang selama ini menang besar telah gagal memenangi majoriti 2/3 sekaligus menjadikan PRU 1969 antara kemenangan terbesar pembangkang setakat itu kerana berjaya menafikan majoriti 2/3 Parti Perikatan. Lantas, pada tahun itu juga, terjadinya tragedi 13 Mei 1969.

Jadi selama ni, bilamana pembangkang kalah tak pernah berlaku huru-hara tetapi apabila Parti Perikatan gagal memenangi 2/3 majoriti pada tahun 1969, terjadinya rusuhan 13 Mei.

Soalan pokoknya, jika PR memenangi PRU-13 dan berlakunya huru-hara, siapakah yang akan melakukan huru-hara tersebut? Adakah PR yang menang yang selama ini kalah terperosok bertubi-tubi pun tak ada nak buat riot-riot ni ataupun parti yang kalah setelah begitu lama selesa dengan tampuk kekuasaan hasil pemberian rakyat Malaysia?

Generasi muda berfikir, generasi muda sedar, generasi muda bangkit.

Saturday, January 05, 2013

Masyarakat kepuraan

Lelah.
Menghadapi masyarakat kepuraan.
Terlalu asyik fikirkan hal bukan hak mereka.
Hulurkan tangan bukan semata ketenangan jiwa
Tapi untuk amati senyuman-senyuman sekeliling
Supaya gah nama kemas tertampil didada kertas.

Lelah.
Ku nanti sepasang tangan
Yang fasih akan hal perhitungan akhir
Pasti bukan antara kita dan mereka.
Yang mau memimpin atau dipimpin 
Terbuka maupun tertutup.
Disalut rapi ataupun tugil.
Kerna nafsu bukan kuturut semata.

Lelah.
Ku hidup dipersekitaran
Masyarakat yang kepuraan.

*Does being religious means poking your nose into other people's private matter? I'd rather be spiritual.