Transformasi
Akar Umbi
18 Oktober lepas saya
dijemput sebagai salah seorang panelis untuk berkongsi buah fikiran dalam sesi
‘Sudut Pandang’ di Astro Awani. Ada bersama-sama dalam sesi tersebut merupakan
Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri Bahagian UMNO. Sebagai bekas Ketua
Penerangan Kelab UMNO UK, sudah pasti saya membawa suara daripada persepsi
sebagai seorang belia dan mahasiswa.
Isu yang diperbincangkan
adalah berkenaan transformasi yang dijalankan oleh UMNO dan kerajaan.
Bagaimanakah transformasi ini dapat digerak dan menggerakkan akar umbi supaya
bertepatan dengan kehendak rakyat?
Bagi saya, transformasi yang
dijalankan ini adalah satu langkah daripada sebuah kerajaan yang
tahu bahawa terdapat pelbagai ruang yang lompong dan perlu diperbaiki dalam
sistem pengurusan negara. Namun, saya melihat sasaran transformasi ini harus
ditujukan kepada golongan belia secara khususnya melalui pendekatan-pendekatan
yang praktikal.
Tahun 2012, statistik
pengundi muda di Malaysia adalah hampir 50% dan bilangan pengundi muda juga
bertambah pada setiap tahun. Ini masih belum mengambil kira jumlah belia yang
layak tetapi belum berdaftar sebagai pengundi. Belia-belia kita yang semakin lama semakin ramai yang 'not into politics'.
Disamping itu, sejak
beberapa tahun lepas, senario politik dan sosial Malaysia sering dirancakkan
dengan pelbagai demonstrasi dan tunjuk perasaan seperti Bersih, bantahan PTPTN,
bantahan TPPA dan sebagainya. Sesi-sesi dialog umum melibatkan isu-isu sosial,
pendidikan dan ekonomi juga banyak diadakan sama ada oleh pembangkang mahupun
badan-badan bukan kerajaan dan media. Jika dilihat dari segi statistik
penglibatan aktiviti seumpama ini, majoriti daripada mereka adalah golongan
muda!
Trend ini
wajib diambil berat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Jika sebelum ini, kita
sering bercakap soal sokongan pengundi Melayu atau tsunami kaum Cina, kini
pertaruhan masa depan politik terletak di tangan GELOMBANG PENGUNDI MUDA.
Jadi, apa sebenarnya yang
golongan belia mahukan? Mengapa agenda transformasi merakyatkan ekonomi negara
seperti BR1M masih tidak berjaya mendapatkan 2/3 kerusi majoriti bagi BN dalam
PRU yang lepas?
Saya melihat isu yang
menjadi perhatian belia adalah lebih daripada isu-isu berkaitan tuntutan
pembangunan dan ekonomi. Pada hari ini, belia mahu agar polisi yang dijalankan
bersifat lebih inklusif dan menepati citarasa mereka. Golongan belia mahu apabila
mereka dilibatkan dalam aktiviti atau program, tugas mereka haruslah lebih
daripada sekadar menjadi pemeriah majlis. Belia mahu melibatkan diri secara
terus, secara langsung dan secara konsisten dalam bersama-sama memberi pendapat
dan melakukan sesuatu yang berfaedah untuk agama, bangsa dan tanah air. Pendek
kata, kaedah yang digunapakai kerajaan haruslah bersifat bottom-up dimana idea, tenaga dan gerakan itu datang daripada
golongan di bawah kerana mereka lebih memahami kehendak masing-masing.
Pada pendapat saya, kerajaan
sedang berusaha menuju ke sasaran ini. Pelaksanaan program seperti Parlimen
Belia Malaysia, Felo Perdana, Dana Belia, BN Youth Job Fair, Malaysian Young
Apprentice Program (MaYA), sebuah program summer-internship
kendalian Kelab UMNO UK, dan sebagainya dilihat sebagai satu pendekatan
baru kerajaan terutamanya UMNO ke arah
lebih menggalakkan suara belia supaya kedengaran lantang dan berupaya to make a change!
Walaubagaimanapun, saya
melihat progres transformasi ini harus menuju ke arah akar umbi di mana lebih
banyak program seumpamanya dilaksanakan di peringkat yang lebih berfokus
seperti negeri atau bahagian. Kerajaan harus menggerakkan agensi-agensi yang
ada di peringkat negeri dan bahagian mahupun cawangan supaya lebih aktif
melaksanakan program bersifat bottom-up
untuk masyarakat setempat.
Bayangkan jika berbanding
Parlimen Belia Malaysia, kita juga menyediakan Sidang Dewan Belia untuk setiap
negeri. Belia-belia dapat bersama-sama memahami persidangan Dewan Negeri
masing-masing dan bertindak sebagai suara golongan muda. Ataupun program
seumpama Felo Perdana yang difokuskan kepada negeri
masing-masing melibatkan pengurusan jabatan-jabatan kerajaan. Dengan cara ini,
lebih banyak instrumen peringkat kecil dapat digerakkan secara aktif dan
melibatkan lebih ramai pihak. Bayangkan idea-idea kreatif, inovatif dan berkesan yang akan timbul hasil daripada pelaksanaan program Dana Belia di peringkat negeri? Hal ini akan memanfaatkan pembangunan negara dan sekalian masyarakat Malaysia.
Peranan belia dalam menjadi
nadi penggerak negara sudah jelas termaktub di dalam kisah sejarah lampau. Jika
kita mengambil pengajaran daripada penghijrahan Rasulullah saw, anak muda
seperti Ali bin Abi Talib, ‘Aamir bin Fuhayrah, Abdullah bin Abu Bakar dan Asma
binti Abu Bakar telah memainkan peranan yang memerlukan bukan saja keberanian
malah kebijaksanaan dalam menjayakan rencana penghijrahan Rasulullah saw.
Telah tercatat juga peranan
yang dimainkan oleh golongan muda ketika perjuangan mendapatkan kemerdekaan
Tanah Melayu sama ada melalui cara mengangkat senjata atau yang aktif menulis
seruan perpaduan dan kemerdekaan dalam akhbar-akhbar mahupun yang bergerak
melalui saluran politik tempatan.
Justeru, saya kekal dengan
pendapat bahawa kumpulan sasaran utama dalam agenda transformasi politik
kerajaan BN adalah golongan belia. Manakala kaedah yang perlu dilaksanakan
adalah program-program bersifat inklusif seperti Dana Belia, Parlimen Belia
Malaysia, Felo Perdana, MaYA dan lain-lain lagi tetapi melalui pendekatan secara bottom-up di peringkat negeri, bahagian
atau cawangan. Saya percaya jika ini dilaksanakan secara terancang dan
tersusun, kita bukan saja mampu memberikan lebih peluang kepada masyarakat
terutamanya generasi muda, malah gerakan-gerakan dan agensi-agensi kerajaan di
peringkat tersebut juga akan dapat melibatkan diri dengan aktif dalam agenda
transformasi dan pembangunan negara.
No comments:
Post a Comment
Ideas in words by