Wednesday, June 05, 2013

Tarikan Jaminan Penempatan Pelatih IPG

Saranan KPM untuk menarik balik jaminan penempatan bagi pelatih IPG adalah satu saranan yang baik dan wajar diraikan tetapi, bukan buat masa sekarang.

Sememangnya untuk menjamin kualiti pendidikan, kualiti guru yang disediakan juga haruslah antara yang terbaik. Justeru itu, saranan KPM ini mampu menambahbaik kualiti guru baru. Namun begitu, sebelum bercakap mengenai jaminan penempatan, ada baiknya sekiranya kita bercakap mengenai isu-isu lain yang lebih penting dan berkaitan kualiti guru.

Isu-isu seperti kemudahan untuk P&P yang mantap, kebebasan dan galakan berpersatuan dan beraktiviti dikalangan pelatih guru dan ruang serta peluang untuk mengadakan lebih banyak aktiviti melibatkan personaliti dan organisasi luar.

Pendapat saya, ketiga-tiga isu ini harus dipenuhi dahulu sebelum KPM menghukum pelatih-pelatih yang sudah sign borang perjanjian dengan mereka melalui penarikan jaminan penempatan.

Hari ini, kita bercakap mengenai kualiti guru dan persaingan dengan produk pendidik keluaran universiti. Tetapi kita lupa bercakap mengenai proses persediaan di dalam IPG itu sendiri.

Pengalaman saya sebagai seorang penuntut IPG penuh dengan pelbagai persoalan mengenai kemudahan dan suasana pembelajaran di IPG yang saling tak tumpah seperti di sekolah berasrama penuh.

Ketiadaan fasiliti yang mencukupi kerap membantutkan proses P&P. Ketandusan jaringan internet, kekurangan kemudahan seperti projektor serta keadaan perpustakaan yang sekadar setaraf dengan perpustakaan di sekolah-sekolah menengah.

Mampukah fasiliti di IPG bersaing dengan fasiliti di fakulti-fakulti pendidikan universiti? Bagaimana pula dengan suasana pembelajaran di IPG dan di universiti?

Di IPG, aktiviti persatuan masih terhad dan tidak menyeluruh. Pergerakan persatuan dan organisasi pelajar tidak dirai dan digalakkan secara menyeluruh menjadikan suasana kehidupan kampus begitu hambar tanpa dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti siswa dan siswi.

Saya tidak ada masalah dengan seruan untuk tambah baik kualiti pelatih IPG. Saya juga tidak ada masalah dengan saranan persaingan antara pelatih IPG dan siswa pendidikan universiti. Tetapi, sebelum kita bercakap tentang semua ini. Kita harus tanya satu soalan.

Apabila fasiliti yang disediakan IPG tidak mampu menyaingi fasiliti universiti, suasana pembelajaran universiti yang memberikan lebih banyak ruang untuk siswa berbanding di IPG, lalu, bagaimana pelatih IPG akan bersaing didalam keadaan yang tidak memberansangkan untuk mereka sendiri?

Maka, sebelum jaminan penempatan ditarik balik dan konsep pasaran terbuka digunapakai, KPM harus ambil tanggungjawab menambahbaik dan menyediakan pelatih IPG untuk persaingan.

Wednesday, May 29, 2013

Pasca PRU-13: Antara tuntutan pembangunan dan tuntutan demokrasi.

Menurut Tokoh Sosiologi, Ibnu Khaldun "Manusia mula-mulanya berusaha memenuhi keperluan asas sahaja, kemudian apabila asas mereka dipenuhi, barulah mereka mencari kemudahan dan kemewahan. Justeru itu, kehidupan yang sukar dikampung mestilah mendahului kehidupan yang halur dibandar."

Jika diaplikasikan dalam konteks Malaysia, saya bersetuju dengan pendapat Dato' Saifuddin Abdullah mengenai 'tuntutan pembangunan' oleh masyarakat luar bandar dan 'tuntutan demokrasi' oleh masyarakat bandar.

Pasca PRU-13, UMNO masih diberi mandat memerintah oleh masyarakat luar bandar kerana mereka percaya UMNO mampu menjalankan 'tuntutan pembangunan' yang dituntut dan diperlukan mereka.

Namun begitu, dari segi lain, masyarakat bandar membuat 'tuntutan demokrasi' yang diraikan oleh masyarakat di negara-negara maju. Hak kebebasan bersuara, kebebasan menulis, hak mahasiswa dan pelbagai isu lain yang termasuk dibawah 'tuntutan demokrasi'.

Transformasi DS Najib Razak harus mengambil kira 'tuntutan demokrasi' ini juga selain daripada pembangunan-pembangunan yang dijalankan bagi memastikan parti UMNO kekal relevan dengan tuntutan masyarakat di Malaysia sama ada dari segi pembangunan untuk masyarakat luar bandar mahupun demokrasi untuk masyarakat bandar.

Masyarakat berubah mengikut zaman, keselesaan dan kemajuan yang mereka hadapi. Begitu juga sesebuah kerajaan dan pemerintah harus berubah mengikut selera masyarakat mereka sekiranya mahu terus kekal relevan.

Saturday, May 04, 2013

Perjuangan politik dan perjuangan kelas.


Telah termaktub didalam mana-mana lipatan sejarah, perjuangan politik sebenarnya adalah perjuangan antara kelas masyarakat.

Sebagaimana pemberontakan hamba diwaktu Rom Kuno, pemberontakan petani-petani dizaman Eropah Medieval, perang-perang saudara dan revolusi abad ke-17 dan ke-18. Seperti juga pemberontakan golongan pekerja di Perancis 1871, di Russia 1917, di German dan Hungary 1919, di Itali 1920, di Chile 1972-73, di Portugal 1975, di Iran 1979 dan di Poland 1980. (Chris Harman, 1979)

Walaubagaimanapun, setiap pemberontakan hasil usaha keras golongan pekerja dan tertindas pasti akan berakhir dengan kewujudan pemerintah elit yang baru. Sepertimana penggantian golongan elit kapitalis yang mengambil alih kuasa politik dan ekonomi daripada monarki selepas Revolusi Perancis. Golongan bawahan yang sebelumnya bergelar hamba, kini cuma bertukar status kepada hamba-gaji walaupun revolusi telah berlaku dan monarki diktator telah dijatuhkan.

Maka, jika dikaitkan dengan situasi Malaysia. Perjuangan politik kita haruslah bersandarkan perjuangan kelas. Biar siapa pun yang diberi mandat memerintah, mereka harus berusaha mengurangkan autonomi serta kuasa ekonomi dan politik golongan kelas elit Malaysia. Segala kekayaan terkumpul kelas elit Malaysia (seperti Ketua Menteri Sarawak Seumur Hidup, Taib Mahmud) haruslah disebarkan semula kepada rakyat dalam bentuk lebih inklusif.

Apapun, hasil perjuangan politik haruslah bersifat lebih inklusif terutama bagi golongan bawahan dan pertengahan di Malaysia bagi menjamin kestabilan sosial masyarakat Malaysia.

"The history of all hitherto existing societies has been the history of class struggles."