Saturday, May 04, 2013

Kenapa Transformasi 1Malaysia Najib bakal gagal?

Faktor menentukan kejayaan Transformasi 1Malaysia Najib bukannya 1juta unit rumah mampu milik atau bantuan 1Malaysia.

Jun 2011, SPRM mengumumkan siasatan rasmi sedang dijalankan terhadap Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak Seumur Hidup. Sehingga sekarang, Mei 2013, masih tiada sebarang laporan atau tindakan terhadap Ketua Menteri Sarawak Seumur Hidup itu.

Sedangkan, media-media antarabangsa dan NGO-NGO hak asasi telah banyak mendedahkan tentang kes rasuah, kronisme, ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa oleh Ketua Menteri Sarawak Seumur Hidup itu.

Lihat saja laporan Bruno Manser yang berjaya menyelidik secara komprehensif dan melaporkan kegiatan pembalakan haram, eksport balak haram dan segala macam keharaman lain yang berlaku di Sarawak dibawah nama Taib. Link:http://www.brunomanser.ch/en/news/

Selidik saja isu-isu berkaitan 'Warlord' terbesar BN di Sarawak ini. Adalah mustahil bagi seorang Perdana Menteri yang celik dan berjiwa rakyat untuk mengetepikan laporan dan isu seperti ini. Justeru, apakah komen daripada PM Najib berkaitan isu Taib Mahmud ini? Apa kata dia tentang istana-istana besar milik Taib anak-beranak? Harta dan aset haram berbilion didalam dan diluar negara mereka? Syarikat terbesar di Sarawak milik Taib sekeluarga yang dapat pelbagai kontrak kerajaan negeri serta syarikat-syarikat lain di Australia dan negara-negara lain?

Yang pasti, di dalam Malaysia terdapat ramai lagi 'warlord-warlord' Barisan Nasional yang terus merompak hasil kekayaan negara seperti Taib Mahmud. Tak kira samada warlord Melayu, Cina ataupun India; lelaki ataupun perempuan. Apa kata Najib mengenai mereka ini setelah terus-menerus melaungkan slogan 'Rakyat Didahulukan' dengan lantang sekali?

Sebenarnya, apa yang generasi muda mahukan bukan sekadar 1juta unit rumah mampu milik, barangan murah di kedai 1Malaysia ataupun baucar buku RM250. Kami mahu agar transformasi yang dibawa supaya lebih menyeluruh serta dapat menepis, menolak dan menyanggah warlord-warlord seperti Taib Mahmud yang begitu lama menjadi ketua perompak khazanah negara daripada kerusi empuk kekuasaan mereka.

Soalnya, mampukah Najib dan transformasi 1Malaysia melakukannya? Ataupun warlord perompak seperti Taib Mahmud akan terus kekal sebagai Ketua Menteri Sarawak seumur hidupnya kerana kita ada seorang PM yang tak ada telur untuk menegur dan menjatuhkan anak-anak buahnya yang korup.

Anak muda, kita bukan generasi bodoh.

Apa tentang isu ugutan huru-hara jika pakatan pembangkang menang PRU-13?

Sejak 12 PRU yang lepas pakatan pembangkang telah kalah berdas-das. Kekalahan paling teruk adalah ketika PRU-11 pada tahun 2004 dengan BN memenangi lebih 90% kerusi parlimen. Kekalahan pembangkang ni macam dah boleh buat drama berepisod, Episod Kekalahan Pembangkang. Sungguh tragik dan amat memalukan.

Tetapi.

Sepanjang kekalahan pakatan pembangkang tersebut yang berturut-turut dan berepisod itu, tak pernah sekalipun pembangkang yang kalah terperosok ini buat riot, huru-hara atau ancaman kepada kerajaan pemerintah.

Bagaimana dengan tragedi 13 Mei 1969? Untuk memahami perkaitan huru-hara dengan statistik kemenangan PRU kita perlu faham, apa statistik PRU 1969? Parti Perikatan yang memerintah yang selama ini menang besar telah gagal memenangi majoriti 2/3 sekaligus menjadikan PRU 1969 antara kemenangan terbesar pembangkang setakat itu kerana berjaya menafikan majoriti 2/3 Parti Perikatan. Lantas, pada tahun itu juga, terjadinya tragedi 13 Mei 1969.

Jadi selama ni, bilamana pembangkang kalah tak pernah berlaku huru-hara tetapi apabila Parti Perikatan gagal memenangi 2/3 majoriti pada tahun 1969, terjadinya rusuhan 13 Mei.

Soalan pokoknya, jika PR memenangi PRU-13 dan berlakunya huru-hara, siapakah yang akan melakukan huru-hara tersebut? Adakah PR yang menang yang selama ini kalah terperosok bertubi-tubi pun tak ada nak buat riot-riot ni ataupun parti yang kalah setelah begitu lama selesa dengan tampuk kekuasaan hasil pemberian rakyat Malaysia?

Generasi muda berfikir, generasi muda sedar, generasi muda bangkit.

Saturday, January 05, 2013

Masyarakat kepuraan

Lelah.
Menghadapi masyarakat kepuraan.
Terlalu asyik fikirkan hal bukan hak mereka.
Hulurkan tangan bukan semata ketenangan jiwa
Tapi untuk amati senyuman-senyuman sekeliling
Supaya gah nama kemas tertampil didada kertas.

Lelah.
Ku nanti sepasang tangan
Yang fasih akan hal perhitungan akhir
Pasti bukan antara kita dan mereka.
Yang mau memimpin atau dipimpin 
Terbuka maupun tertutup.
Disalut rapi ataupun tugil.
Kerna nafsu bukan kuturut semata.

Lelah.
Ku hidup dipersekitaran
Masyarakat yang kepuraan.

*Does being religious means poking your nose into other people's private matter? I'd rather be spiritual.