Sunday, February 09, 2014

Kasta Anak Muda 2

Jasa pejuang-pejuang Melayu

Hati saya tersentuh sewaktu menonton tayangan filem 1957: Hati Malaya ketika menjalani latihan BTN sebelum terbang ke United Kingdom beberapa tahun yang lepas. Sentap sungguh, terutamanya tatkala scene tadah selendang dan makcik-makcik derma gelang tangan emas, pakcik-pakcik derma duit dan apa yang mampu dalam satu perjuangan menentang penjajah.

Hati saya juga terbuai tatkala membaca mengenai perjuangan rakyat yang dikepalai oleh Dato' Onn Jaafar, bapa pengasas UMNO menentang gagasan Malayan Union pada tahun 1946. Diwaktu Sultan-Sultan sudah lembik menunduk dan akur kepada kehendak Harold MacMichael, lebih rela menandatangani kedaulatan mereka terbang ke pangkuan kekuasaan penjajah demi menjaga kedudukan agar tidak dituduh pemberontak atau pembantu Jepun, kuasa rakyat terutamanya orang Melayulah yang telah memapah, mengambil dan meletakkan Sultan-Sultan ke takhta kekuasaan mereka semula.

Bak kata Dato' Onn Jaafar, "Rakyat jelata Melayu di Semenanjung Tanah Melayu ini telah mengangkat dan meletakkan balik Raja-raja itu ke atas takhta kerajaan baginda-baginda itu dengan jasa yang tidak menumpahkan darah walau setitik pun." Perkara ini wajib dikenang bukan sahaja oleh rakyat jelata Melayu tetapi oleh para Sultan yang selesa bersemayam di dalam ruang lingkup kekuasaan masing-masing. Seperti perjanjian antara Demar Lebar Daun dan Sang Sapurba yang kerap menjadi hujah bila bercakap tentang konsep ketaatan, taat itu datang dengan tanggungjawab dan hak. Sepertimana rakyat wajib taat kepada Sultan, seperti itu jugalah Sultan wajib memainkan peranan mereka selaku pembela Islam dan kebudayaan Melayu.

Sememangnya jika dilihat kepada perjuangan UMNO di zaman dahulu kala, amat besar faedah dan peranannya dalam memberi ruang keadilan kepada kita. Keadilan untuk raja-raja serta rakyat jelata Melayu yang dahulunya hidup amat susah dan merempat.

Budaya politik progresif untuk rakyat

Namun begitu, jika dilihat kepada perkembangan semasa adakah hati ini masih boleh disentuh dan dibuai oleh perjuangan-perjuangan parti terbesar tanah Melayu ini?

Sedang saya mencemuh dan bersikap emosional terhadap video satira Kok dan perlakuan yang sungguh tidak Islamik NGO Darah Ayam, saya terbaca berkaitan perbandingan statistik harga untuk tahun 1970an dan tahun 2010.

Harga kereta jika pada tahun 1970an lebih kurang RM10,000. Pada tahun 2010 harga kereta antara yang murah adalah pada RM40,000 untuk kereta nasional. Ini kita belum cakap mengenai kereta-kereta di peringkat pertengahan lebih kurang RM70,000. Perbandingan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 4x ganda.

Harga rumah jika pada tahun 1970an lebih kurang RM50,000. Pada tahun 2010 harga rumah adalah antara RM250,000 - RM350,000 bergantung kepada jenis rumah dan tempat. Peningkatan harga rumah dalam masa 30 tahun lebih 5x ganda.

Kemudian saya baca perbandingan gaji permulaan untuk graduan baru tamat pengajian pula. Jika pada tahun 1970an, gaji graduan lebih kurang RM1,000. Pada tahun 2010, gaji fresh graduate pula lebih kurang RM2,000. Peningkatan ini cuma pada kadar 2x ganda. Ini kita belum cakap mengenai graduan-graduan yang terpaksa menganggur kerana tak mencapai tahap kebolehpasaran yang bagus.

Saya lihat pembangunan negara kita kian pesat. Jumlah golongan birokrat bourgeois juga semakin bertambah. Dengan pertambahan projek-projek mega, kawasan perumahan mewah, bangunan-bangunan pencakar langit. Ini semua tanda kemajuan dari segi fizikal.

Tetapi nampaknya antara perkara pokok dan penting berkaitan kemajuan iaitu kekuatan nilai matawang, kebolehpasaran graduan serta jumlah gaji terutama untuk graduan yang baru tamat pengajian boleh dikatakan hanya bergerak lembab seperti siput Remi Gallard. Dalam video siput Remi Gallard ini kita boleh lihat sepertimana lembabnya siput itu bergerak, maka terbantutlah juga pergerakan lancar kereta-kereta yang melalui jalanraya itu. Jadi, simbolisme disini adalah selagi isu pokok seperti kekuatan nilai matawang, kebolehpasaran graduan dan gaji rendah tak setara dengan peningkatan kos hidup tidak dapat diperbaiki oleh kerajaan, maka apalah gunanya bangunan yang besar-besar atau projek-projek mega?

Kemajuan Melayu dahulu dan sekarang

Setiap kali dekat Perhimpunan Agung UMNO, kita sering mendengar laungan hidup Melayu, untuk kesejahteraan ekonomi orang Melayu, demi anak bangsa dan sebagainya. Setelah berpuluh-puluh tahun memerintah dengan kekuatan untuk membuat polisi, dimana kedudukan orang Melayu sekarang?

Jika kita bandingkan dengan dahulu, iya memang benar Melayu sudah banyak majunya. Saya sering dengar cerita dulu dalam kampung rumah Tok Ketua saja ada TV, satu kampung datang rumah Tok Ketua di waktu malam untuk tengok TV. Tapi sekarang kita banyak rumah yang bukan sahaja sudah ada TV malah ada Astro seorang satu. Adakalanya sewaktu melintas di flat-flat saya cuba mengira bilangan plat Astro yang ada. Banyak.

Dulupun kita selalu dengar orang Melayu mana nak naik kereta. Kalau ada basikal pun dah kira senanglah. Sekarang ni kita paling tidak pun sudah mampu pakai kereta Kancil untuk pergi balik kerja dan hantar anak ke sekolah.

Dulu juga yang mampu saja dapat hantar anak ke sekolah. Anak golongan elitis ke sekolah Inggeris. Anak Melayu cuma ke sekolah pondok. Tetapi kini hampir semua dapat ke sekolah rendah atas polisi 100% enrolmen untuk sekolah rendah.

Ini semua memang perbandingan yang jelas menunjukkan bezanya taraf ekonomi dan kehidupan sosial kita dulu dan sekarang. Justeru tak peliklah apabila orang-orang lama, pakcik-pakcik dan makcik-makcik kita sering berkata, "Bersyukurlah kepada kerajaan kerana sudah banyak kemajuan yang dibawa." Ini kerana mereka merasa susahnya dulu dan mudahnya sekarang.

Tetapi adakah sekadar ini perubahan yang diminta oleh orang Melayu? Bangsa yang suatu ketika dahulu gah merajai nusantara, membina peradaban mengawal perdagangan dunia. Bangsa yang suatu ketika dahulu bahasanya digunakan sebagai bahasa pengantara untuk lebih 80 bahasa lain. Apakah semangat perjuangan dan ingin maju orang Melayu sudah menjadi kecil sekecil pentakrifan 'Cukuplah ada kereta, ada rumah, ada kerja, apa lagi kita nak?'

Anak muda tidak bersyukur!

Tetapi, tak pelik juga saya rasa bila saya melihat semakin ramai anak muda yang mengkritik kerajaan kerana kepincangan-kepincangan yang berlaku. Saya sendiri mengkritik perkara yang saya rasakan seperti tidak sepatutnya berlaku terutamanya ketika menuntut di peringkat IPGM dahulu. Perkara-perkara seperti keperluan asas para pelajar yang gagal dipenuhi, tahap kualiti pengajian, kebebasan beraktiviti dan sebagainya menjadi medan kritikan saya. Apatah lagi saya telah dihantar mengaji di United Kingdom oleh kerajaan. Saya telah merasa indahnya kehidupan disana, dan bila balik kesini pastilah saya terkejut dengan keadaan semasa!

Adakah saya ini tidak bersyukur? Adakah Adam Adli sosok anak muda yang popular kerana menurunkan bendera di depan Menara Dato' Onn pada suatu ketika dahulu juga tidak bersyukur? Adakah anak muda lepasan IPGM yang mengkritik kelewatan proses penempatan kerja oleh KPM dan jabatan berkaitan juga tidak bersyukur? Jika ya, berikan kami sebab mengapa kami dikatakan tidak bersyukur!

Adakah kerana mendapat tempat mengaji di institut awam maka jatuh hukum haram untuk anak muda mengkritik perkara yang tidak betul? Kerana ditaja untuk belajar di IPGM maka bila mengkritik dikatakan tidak bersyukur? Apakah sebenarnya konsep syukur yang cuba diketengahkan? Jika inilah yang dikatakan tidak bersyukur, maka saya rela digelar begitu kerana apa yang saya faham tentang kesyukuran adalah berbeza daripada sekadar bersyukur kepada tangan yang memberi kita makan walau dalam hal-hal yang tidak betul.

Saya melihat yang lebih tidak bersyukur adalah kakitangan kerajaan yang mendapat nikmat pejabat-pejabat besar dan gaji lumayan tetapi tidak meletakkan kepentingan orang yang dijaganya. Seperti pegawai-pegawai JPA yang akibat kelembapan mereka bekerja, telah menggantung masa pentauliahan ijazah siswazah KPM sehingga terpaksa menganggur lebih 9 bulan. Seperti pegawai-pegawai KPM yang membuat polisi dan prosedur untuk PBS tanpa memikirkan isu validity dan feasibility untuk para guru yang melaksanakannya. Seperti seorang pemimpin yang berbelanja mewah menaiki jet eksekutif dan membayar bil elektrik beratus ribu setiap bulan walhal masih ada rakyat dibawahnya yang hidup dalam kesusahan.

Walaupun tanggungjawab pemimpin itu adalah memikirkan nasib orang jagaan, nampaknya mereka lebih asyik bermesyuarat dan duduk dikerusi-kerusi empuk tanpa benar-benar cuba untuk memahami dan mengetahui realiti keadaan semasa. Mereka inilah yang sebenarnya tidak bersyukur atas nikmat yang dikurniakan Allah kepada mereka!

Mari berlibur anak muda

Anak muda perlu diisi jiwa dan semangat mereka bukan sahaja dengan semangat patriotik sayangkan agama, bangsa dan tanahair tetapi juga dengan sikap gemar berintrospeksi dan empathy. Anak muda juga harus diajar peka mengenai isu-isu semasa, membuat perbandingan kehidupan dan sentiasa berfikir dan bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada permasalahan ummah. Permasalahan ekonomi, permasalahan pendidikan, permasalahan agama, permasalahan sosial dan sebagainya di Malaysia.

Namun begitu, pada hari ini kita lihat kekuasaan jiwa dan semangat anak muda kerap disalurkan ke arah perkara-perkara yang tidak bermanfaat dan melalaikan. Biarlah lebih ramai anak muda pergi menonton konsert K-Pop daripada menghadiri majlis diskusi ilmiah. Biarlah lebih ramai menonton Maharaja Lawak Mega daripada menonton dokumentari berkaitan realiti sistem ekonomi kapitalis yang hanya membela golongan elitis. Biarlah lebih ramai yang pergi ke show Hardwell dan menonton bola di stadium daripada mengetahui masalah utama dihadapi oleh pendidikan kita yang kian parah dan rosak.

Kerana pada akhir hari mereka akan berkata, "Itu semua pilihan mereka golongan muda. Bukannya kita tak bagi pilihan." Tapi apakan daya diri yang lemah sering tewas dengan nafsu kerana program-program berlibur ini sememangnya lebih makmur dan mendapat tajaan sama ada korporat ataupun kerajaan. Pada saya, kerajaan yang bertanggungjawab akan menjadikan ianya suatu prioriti untuk mengetengahkan program ilmiah, rancangan diskusi intellektual disamping memberi sokongan dan dokongan kepada semangat-semangat muda yang mahu mengetengahkan perkara-perkara sedemikian. Seberapa jauh komitmen kerajaan dalam mengutamakan program ilmiah dan diskusi yang membina intelek serta kesedaran berbanding program-program liburan? Tepuk dada tanyalah diri sendiri.

Akhir kata, saya nak berkongsi sebuah artikel lain berkaitan ekonomi bumiputera disini: Penguasaan Ekonomi Mengikut Kaum.
"Saya tidak menolak ada orang Cina dan India yang miskin, tetapi bilangan mereka jauh lebih kecil daripada Bumiputera. Dalam konteks ekonomi, Bumiputera telah menjadi rakyat kelas ketiga selepas orang Cina dan India."

No comments:

Post a Comment

Ideas in words by