Tuesday, October 14, 2014

MUET: Antara mahu atau tidak



MUET: Antara mahu dengan tidak.

Sebagai seorang guru dan pengamal bahasa Inggeris, saya bersetuju dengan keputusan kerajaan menaikkan had minimum kemasukan ke universiti dan syarat graduasi MUET yang diumumkan dalam Bajet 2015 baru-baru ini. Ini adalah salah satu langkah jangka masa panjang bagi memastikan kemahiran berbahasa Inggeris terus dikuasai terutamanya di kalangan pelajar bumiputera.

Pendidikan di Malaysia sebenarnya ada banyak isu yang perlu dibincangkan. Reaksi yang diterima ekoran daripada syarat MUET ini telah sedikit sebanyak menyelongkar isu-isu yang ada. Ada yang menuduh kerajaan tidak mahu bantu orang Melayu. Ada beranggapan kerajaan perlu menambahbaik pendidikan dahulu sebelum mengetatkan syarat dan pelbagai lagi reaksi termasuklah gimik seorang peguam yang kononnya mahu menyaman kerajaan. Okay, itu lawak.

Peranan Kerajaan dan Peranan Warga

Saya suka melihat isu ini daripada dua segi. Pertama, peranan yang perlu dimainkan oleh kerajaan. Oleh kerana bahasa Inggeris adalah antara subjek utama dalam kurikulum pendidikan, maka pembelajaran bahasa Inggeris sejak di bangku sekolah lagi perlu diambilkira. 

Justeru, dari sudut ini, sejajar dengan syarat ketat MUET termasuklah syarat wajib lulus SPM 2016 untuk subjek bahasa Inggeris, kerajaan wajib menyelesaikan 3 masalah pokok di sekolah iaitu:
  1. Latih lebih ramai guru pakar terutamanya dalam subjek-subjek utama dan kritikal.
  2. Tempatkan guru supaya mengajar mengikut kepakaran mereka dan bukan dilelong mengajar subjek-subjek lain.
  3. Kurangkan beban kerja bukan akademik guru supaya pembelajaran dan pengajaran menjadi prioriti nombor satu di dalam kelas.
Hal ini penting. Hal ini juga sudah disuarakan sejak berpuluh tahun lalu dalam pelbagai laporan pendidikan yang dikeluarkan oleh banyak persatuan guru dan jawatankuasa pendidikan. Ini kerana ianya mempengaruhi keadaan pengajaran di dalam kelas dan kualiti penyampaian guru, sekaligus memberikan kesan langsung terhadap penerimaan pembelajaran pelajar.

Itu dari segi peranan kerajaan. Perkara kedua pula adalah dari segi peranan warga. Warga bermaksud pelajar, ibu bapa dan masyarakat. Pengalaman sedikit sebanyak dalam dunia pendidikan membuatkan saya sedar bahawa hanya mereka yang mahu belajar sahaja yang boleh dan akan belajar dengan baik.
Jika guru diumpamakan seperti menyuap ilmu ke dalam mulut anak murid. Hanya anak murid yang mahu membuka mulut dan mengunyah sahaja akan kenyang dan mendapat khasiat secukupnya. 

Walaubagaimanapun, para pelajar kita dewasa ini ramai yang dilanda penyakit complacency. Mereka tidak ambil pusing. Mereka tiada motivasi. Secara mudahnya, ramai pelajar kita yang tidak bersungguh belajar sebaliknya lebih selesa menjadi pelajar pasif. 

Persoalannya, bagaimana kita mahu merawat penyakit complacency ini? Lihat semula kepada peranan warga. Para pelajar perlu sedar hanya mereka yang mampu menjadikan diri mereka berilmu, bukan orang lain. Ibu bapa pula wajib memainkan peranan secara aktif agar anak-anak sejak dari kecil lagi sudah dipupuk dengan kecintaan terhadap ilmu. Manakala masyarakat seharusnya menyokong perkara-perkara yang mendatangkan manfaat dan saling menggalakkan antara satu sama lain dalam usaha mengejar ilmu pengetahuan. 

Yang pasti bukannya bergimik nak saman kerajaan apabila mula menekankan kepentingan bahasa Inggeris! Paling tidak pun kita harus sedar, dengan cara menaikkan syarat MUET, kita sedang sedikit demi sedikit memaksa warga agar terus mencabar kebolehan diri untuk maju.

English itu Mudah! Bagaimana?

Mempelajari bahasa Inggeris bukannya susah. Bahasa Inggeris tidak seperti kursus undang-undang atau perubatan dengan buku-buku tebal untuk dihafal. Ataupun kejuruteraan fizik dan kimia yang perlukan kepada pemahaman pelbagai jenis teori baru, sebahagiannya tidak pernah dipelajari langsung di bangku sekolah. 

Bahasa Inggeris dalam MUET, dalam SPM, dalam PT3 termasuklah di peringkat sekolah rendah hanyalah asas kemahiran berbahasa yang dibina secara berperingkat-peringkat. Dari peringkat perkataan ke peringkat klausa, ke peringkat ayat mudah, ayat majmuk, ayat kompleks dan seterusnya. Bahasa Inggeris juga hanya merangkumi empat kemahiran komunikasi iaitu membaca, mendengar, menulis dan bercakap.

Atas kefahaman ini, buat adik-adik pelajar universiti yang merasakan susah untuk menghadapi MUET, saya ada beberapa cadangan mudah dan praktikal. Tak perlu hafal atau baca kamus dari depan sampai belakang seperti Nelson Mandela ketika dipenjarakan. Malah tak perlu menelaah thesaurus untuk pandai bahasa Inggeris. Sebaliknya amalkanlah cadangan tersebut:

  1. Membaca bahan bacaan bahasa Inggeris setiap hari dengan nada suara kuat agar kedengaran bunyi sebutan di telinga sendiri.
  2. Cari lagu-lagu Inggeris kegemaran, tulis lirik, fahamkan makna, pasang dalam mp3 dan nyanyilah mengikut lenggok sebutan penyanyi.
  3. Cari filem atau drama Inggeris kegemaran dan tontonlah tanpa subtitle bahasa Melayu. Jika tidak faham, ulang tonton filem tersebut sekali lagi.
Saya yakin dan pasti, jika langkah-langkah mudah ini diamalkan dengan istiqamah sepanjang tahun-tahun pertama pengajian, setakat band 2 dan 3 MUET sudah semestinya dalam tangan.

Untuk mengecapi nikmat band 4, tambah satu lagi iaitu menulis jurnal, diari atau entri di blog dalam bahasa Inggeris. Tulislah apa sahaja, langkah-langkah membuat durian crepe, pengalaman memanjat Broga Hill malah review drama Korea yang baru ditonton pun boleh.

Jika mahukan band 5 pula. Bahan bacaan dan penulisan yang lebih kritikal perlu dijadikan bahan makanan harian. Bacalah surat khabar dan ambil tahu isu-isu semasa agar dapat diulas dalam penulisan serta sesi soal jawab. Hafal sebanyak mungkin kata-kata hikmah seperti ‘Education is the only weapon which you can use to change the world’. Iya, jangan kita bermimpi mahu mengubah dunia kecuali dengan pendidikan. Dan pendidikan hanya datang kepada mereka yang cintakannya.

Kesemua langkah ini, jika diamalkan dengan tekun dan sabar, ditambah pula kelas-kelas teknik menjawab, semangat juang jitu dan doa sebagai senjata mukmin, setakat capai band MUET itu, apalah sangat? Banyak lagi isu lain yang sepatutnya dijadikan buah bicara warga siswa dan siswi kita, pemimpin masa hadapan negara daripada mengeluh perihal takut tak lulus subjek.

Selain itu, jika masih tidak cukup. Adik-adik pelajar boleh juga mengikuti kelas-kelas tusyen khas untuk MUET ataupun kelas bahasa Inggeris percuma di Youtube oleh EduNation. Nak yang antarabangsa? Sila google KhanAcademy. Atau buat carian permainan bahasa percuma secara online jika mahu belajar sambil bermain.

Jika tidak berkemampuan dari segi kewangan untuk bayar tusyen, saya jemput kunjungi laman facebook dan blog Endless-English.blogspot.com dan tanyalah sebanyak mana soalan berkaitan bahasa Inggeris. Nescaya saya akan berusaha membantu anda yang mahu belajar. Pepatah cina ada berpesan, ‘Apabila murid sudah bersedia, guru pasti akan muncul untuknya.’

Asas anda lemah? Anda lebih suka belajar bahasa Inggeris dengan menggunakan bahasa Melayu? Tak ada masalah. Saya mencadangkan buku English itu Mudah WOW! My English keluaran ahli akademik UPSI, boleh didapati secara online atau di kedai-kedai buku. Disamping itu, boleh juga lawati laman facebook ‘Home Tutor kongsi TIPS & TOOLS anak cemerlang’ yang menyediakan perkhidmatan tusyen bahasa Inggeris melalui Whatsapp dengan cas bulanan yang amat minima.

Nah, apa lagi kita mahukan? Saya percaya tak ada pelajar yang setelah berusaha dengan konsisten akan gagal. Hatta jika gagal sekalipun, bangkit dan cuba sekali lagi. Apa masalahnya? 

Sebagai pengakhiran saya ingin berkongsi kisah Zaid bin Thabit. Beliau berkata, Rasulullah SAW tidak selesa apabila berhadapan dengan kaum Yahudi maka baginda menyuruhnya belajar bahasa mereka. Beliau pun belajar. Tidak sampai setengah bulan Zaid telah menguasai bahasa Ibrani. Lantas beliau dilantik sebagai penulis dan penterjemah untuk Rasulullah SAW pada usia semuda belasan tahun.

Sunday, October 12, 2014

Oktoberfest – reaksi atau ereksi?

Oktoberfest – reaksi atau ereksi?

Beberapa hari lepas saya terbaca berita seorang remaja dari Oldham, Leon Cudworth, yang ditemui mati dalam keadaan mabuk di halaman rumahnya setelah keluar untuk ‘minum malam’ bersama rakan-rakan.

Tup-tup, saya terjumpa pula gambar yang sibuk dimuat naik di ruangan Facebook dan Twitter berkaitan papan iklan besar yang dipasang sebagai usaha mempromosi Oktoberfest.

Seterusnya, terjadi bermacam perkelahian dan perbezaan pendapat antara pemimpin, organisasi dan warga awam Malaysia di kedai kopi, ruang-ruang akhbar mahupun ruangan sosial. Saya fikir, ah! Ini semua perkara biasa. Orang Malaysia, jika tidak berkelahi satu hari, seperti tidak sah rasanya hidup.

Namun, saya terkedu apabila terlihat gambar dua orang pemimpin dan kenyataan beberapa orang pemimpin lain yang seolah-olah menjadi Yang Berbangga (YB) dengan berlangsungnya Oktoberfest. Sepertinya pesta mabok ini satu petanda kejayaan untuk Malaysia.
Eh, ini sudah tidak boleh jadi.

Oktoberfest itu apa?
Saya tak berminat dengan Oktoberfest. Sejak belajar di United Kingdom dahulu lagi sudah saya ketahui tentang pesta arak besar-besaran ini namun tak pernah diambil peduli. Sinonim dengan negara Jerman dan penduduknya yang dikatakan sebagai antara peminum tegar minuman beralkohol di dunia.

Walaubagaimanapun, dengan hakikat adanya pemimpin lokal beria-ia mempromosi satu pesta kapitalis yang bertujuan semata-mata mengambil keuntungan kewangan dengan cara mengkhayal dan memabokkan pemuda-pemudi kita, ini bukan lagi perkara enteng!

Atas rasa tanggungjawab sebagai seorang guru dan warga awam Malaysia, saya pula beria-ia memulakan bacaan serba sedikit tentang perkara ini.

Fakta yang memabokkan.
Menurut Peter Lang, Ketua Bahagian Penyalahgunaan dan Pencegahan Dadah di Pusat Pendidikan Kesihatan Jerman, alkoholisme adalah antara masalah terbesar yang melanda warga Jerman di saat ini. Tambahnya lagi, alkohol terang-terang dilihat sebagai dadah yang mendatangkan bahaya namun diiktiraf sah disisi undang-undang.

Kemudian, 1.7 juta rakyat Jerman hidup bergantung kepada alkohol dan memerlukan rawatan segera, sementara seramai 2.7 juta menyalahgunakan alkohol dengan cara merbahaya.

Di India pula, laporan persatuan industri mengatakan bahawa hampir 20% masalah tidak hadir ke tempat kerja dan 40% kemalangan di tempat kerja adalah berpunca daripada alkohol. (Saxena, Sharma & Maulik, 2003). Sementara itu di Chile, hampir 20% kemalangan di tempat kerja berkaitan dengan penggunaan alkohol. (Trucco et al., 1998)

Sebuah survey lain dijalankan di United Kingdom menyatakan 90% warga kerja melihat penggunaan alkohol sebagai masalah di tempat kerja contohnya seperti kurang produktiviti, ponteng kerja, ancaman keselamatan, hubungan antara warga kerja, berperangai buruk dan kesan ke atas imej syarikat.

Dalam satu kajian lagi turut dinyatakan bahawa antara dua kesan negatif alkohol ke atas keluarga dan pembesaran anak-anak secara tidak langsung adalah pengurangan pendapatan keluarga dan masa ibu bapa yang lebih banyak dihabiskan untuk mabok dan bersuka-ria.
Sebagai contoh di Malaysia, di mana kajian menunjukkan secara purata seorang pekerja luar bandar menghabiskan RM300 sebulan untuk membeli arak yang merupakan hampir separuh daripada pendapatannya. Ini membebankan keluarga dan akhirnya kesempitan kewangan mereka menyebabkan masalah-masalah lain timbul dalam rumah tangga. (Assunta, 2002)

Disamping itu, Al-Anon, organisasi rakan kepada Alcohol Anonymous melaporkan di kalangan pengguna alkohol yang berdaftar dengan mereka di Mexico, 73% mengaku sentiasa berasa cemas, tidak tenang dan ketakutan; 62% melakukan atau menghadapi masalah penderaan fizikal atau emosi daripada pasangan manakala 31% lagi berhadapan dengan masalah disfungsi keluarga yang kronik akibat penggunaan alkohol.

Persepsi mabok di Malaysia?
Wah, begitu banyak kajian di negara lain. Tak kiralah negara maju, negara membangun mahupun negara miskin yang mengecam kesan buruk alkohol ke atas masyarakat mereka. Kajian ini juga bukan calang-calang, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh World Health Organization (WHO).

Nah, tapi di Malaysia pula, kita ada segolongan Yang Berbangga (YB) bergambar dengan khamar dan mempamerkannya ke seluruh dunia. Apakah tujuan mereka? Adakah untuk menjadi contoh teladan ikutan generasi muda?

Sebagai seorang guru di sekolah, saya selalu berpesan kepada anak murid, ambillah contoh daripada pemimpin kita yang bertungkus-lumus membela dan bekerja untuk masa depan negara.

Jadi, contoh kepala bana apa yang cuba ditonjolkan ini, YB?

Kecelaruan identiti sosial
Secara adilnya, mungkin kita tidak patut meletakkan kesalahan ini ke atas bahu mereka. Mungkin mereka membesar dalam kalangan kelompok yang gemar berpesta dengan arak dan bermabok-mabok. Mungkin itu adalah tujuan hidup mereka.

Dalam masa yang sama, saya kira adalah tidak adil juga untuk kita setakat menuding jari mencari kepincangan dalam reaksi oleh organisasi seperti ISMA. Mereka, masing-masing bercakap atas nada yang berbeza dan melihat dari perspektif berlainan.

Namun begitu, saya suka melihat kepada pertanyaan pokok yang sebenarnya. Malaysia ini, negara Islam ataupun negara sekular? Sampai ke sudah, kita masih gagal memberikan takrifan sebenar apakah Malaysia sebuah negara Islam ataupun negara berperlembagaan yang mengamalkan liberalisasi?

Jika nak dikatakan Malaysia sebuah negara yang sekular, majoriti masyarakat di sini adalah Muslim dengan Islam sebagai agama rasmi. Malah kita ada YDP Agong sebagai ketua agama Islam. Di Malaysia juga terdapat banyak masjid dan pusat-pusat zakat yang mewah. Bukankah ini semua indikator mantap sebuah negara Islam?

Namun begitu, jika nak dikatakan Malaysia adalah sebuah negara Islam pula, kita boleh lihat bilangan masjid dilawan dengan percambahan kelab-kelab malam di hampir semua bandar-bandar utama. Pusat-pusat zakat pula bergaduh tumbuh dengan pusat-pusat tikam nombor yang pelbagai jenis. Dan jika di masjid kita ada muazzin dan noja (tanpa niat merendahkan mereka), di kelab-kelab malam juga kita ada bonzer-bonzer yang beragama Islam dan berbangsa Melayu dengan tugas menjaga keselamatan warga pemabok yang berpesta didalamnya.

Jadi, Islam atau sekular?
Persoalan ini saya lihat hanya dua pihak boleh memberikan jawapan yang sebenar-benar. Pertama sudah pasti pihak yang memegang tampuk kekuasaan. Dengan mandat yang diberikan, mungkin sudah sampai masa kerajaan majoriti Melayu-Islam kita membawa pengertian Islam lebih daripada sekadar berarak dan bermaulud diba’ secara besar-besaran.

Mungkin sudah sampai masa kerajaan kita benar-benar memperincikan tuntutan untuk mengehadkan penjualan arak dan tidak meluluskan malah membatalkan lesen-lesen pusat nombor ekor yang tumbuh makmur di seluruh negara Islam berdaulat ini. Paling tidakpun sebagai usaha menebus dosa dan mencuci diri kerana merasmikan kilang arak terbesar di negara ini suatu ketika nun dahulu.

Walaubagaimanapun, jika masih ada mereka yang memegang kuasa berasa lemah lutut dan kegagalan ereksi untuk berhadapan dengan cukong-cukong kapitalis yang membaham keuntungan dengan cara membarah nilai sosial dan kewarasan masyarakat, nampaknya sudah sampai masa rakyat bereaksi (bukannya berereksi) secara lebih serius.
Penjualan arak perlu dihad dan diminimakan. Bilangan kedai nombor patut dikurangkan. Kelab-kelab malam juga harus diperketatkan pengawasannya agar tidak menjadi pusat gangster, dadah dan pelacuran.

Saya kira, ini bukannya perjuangan satu agama mahupun perjuangan sejenis bangsa. Sebaliknya ini adalah perjuangan moral seluruh warga masyarakat kita. Tiada agama yang membenarkan kebaikan arak, judi dan pesta berlebih-lebihan. Tiada kaum yang suka warganya menjadi taik judi. Dan saya pasti tiada ibu yang girang melihat anak perempuan mereka pulang mabok setelah berpesta semalaman.

Walaubagaimanapun, untuk meneruskan usaha memelihara nilai warga awam Malaysia terutamanya generasi muda daripada terus diratah kapitalis dengan hidangan dadah, arak, pesta dan pelacuran, saya kira kita perlu ada satu barisan pemimpin yang teguh menolak anasir-anasir ini daripada terus merebak. Tak kiralah daripada Barisan Nasional, Pakatan Rakyat mahupun dari kotak ‘yang lain-lain’.

Buat puak Yang Berbangga berereksi melampias nafsu minum sampai mengambil gambar untuk promosi pesta arak kapitalis itu, mungkin YB merasakan ini semua tertakluk sebagai kebebasan, freedom of expression untuk YB dan sekalian warga pemabok.

Namun jika begitu pemikiran YB, apakah mungkin selepas ini kita wajar membenarkan pesta seks, pesta dadah dan pesta rempit secara terbuka juga? Jika tidak, mengapa begitu partisan? Bukankah itu juga tertakluk sebagai salah satu bentuk kebebasan?


Iya, kebebasan. Sejenis kebebasan yang akhirnya bakal merodok sisa-sisa kemanusiaan yang masih tinggal.