Wednesday, June 04, 2014

Bilakah Mi'raj kita akan bermula?

Bilakah Mi'raj kita akan bermula?

Pada 3 Jun 2014, Dr. Syeikh Ahmad Dabbagh telah hadir di Baitul Qurro' di Melaka untuk menyampaikan sebuah kuliah berkaitan persoalan 'Bilakah Mi'raj kita akan bermula?'. Dr. Syeikh Ahmad Dabbagh adalah seorang daie' Allah berketurunan Imam Hasan Al-Basri, seorang ulama' besar tabiin (selepas generasi para sahabat). Menurut sejarah, imam Hasan Al-Basri lahir diwaktu zaman khalifah Umar al-Khattab dan pernah disusukan oleh isteri Rasulullah saw, Ummu Salamah.

Keluarganya berasal daripada Basrah tetapi Dr. Syeikh Ahmad Dabbagh sekarang menetap di Manchester, United Kingdom. Merupakan seorang Hafiz Al-Quran dan pakar 6 kitab Hadith, ilmu Tasawwuf dan pelbagai cabang ilmu lagi. Beliau kini giat bergerak diseluruh dunia bagi menyarankan Tazkiyatun Nafs iaitu pembersihan diri oleh manusia untuk kembali kepada Allah SWT. Ternyata begitu jauh kehidupan kita daripada hakikat Islam sebenar dan seharusnya kita bersyukur apabila didatangi oleh murabbi, alim, ulama' dan daie' yang mengajak kita pulang ke pangkuan fitrah kita sebagai manusia, pengabdian diri kepada Allah swt.

Golongan yang diharamkan daripada menerima syafaat Rasulullah saw

Sesungguhnya kita manusia tidak mampu untuk beroleh syurga jika disandarkan kepada ibadat kita semata-mata. Walaupun banyak solat, puasa, zakat, haji, umrah, sedekah dan lain-lain amalan baik, tiket kita ke syurga hanyalah berdasarkan 2 perkara iaitu Rahmat Allah swt dan Syafaat Rasulullah saw.

Namun terdapat golongan manusia yang diharamkan untuk mereka daripada menerima syafaat, antara mereka adalah:
  1. Mereka yang menentang, mempersenda, mempermainkan, memperlekeh dan mengambil mudah sunnah Rasulullah saw. Bagaimana mungkin seseorang yang membenci atau mempermainkan sunnah (cara hidup) Rasulullah saw beroleh syafaat daripada baginda?
  2. Mereka yang menzalimi dan menindas makhluk lain ketika di dunia ini. Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amalan orang-orang yang menindas makhluk Allah ketika hidup di dunia ini kerana segala amalan mereka walau banyak mana sekalipun akan diagih-agihkan kepada makhluk yang mereka tindasi. Mereka inilah yang digelar oleh Rasulullah saw sebagai golongan yang benar-benar muflis.
Semoga kita dijauhkan daripada tergolong dalam golongan diatas walaupun dalam keadaan lalai kerana tiada apa lagi yang mampu kita harapkan selain daripada rahmat Allah swt dan syafaat Rasulullah saw.

Masa kehidupan yang sebenarnya amat singkat

Apabila ditanyakan kepada manusia setelah dibangkitkan, berapa lama sudah kamu hidup. Mereka akan menjawab kami telah hidup selama sehari ataupun beberapa jam. Walaupun secara ukuran masa kita, hayat mungkin selama 60 – 70 tahun. Namun, berapa jam sebenarnya diperuntukkan untuk melakukan tujuan kehidupan kita?

Sekiranya diperhati, dikira dan diagih-agihkan, masa kita boleh dibahagi-bahagikan. Sebagai contoh, purata seorang yang hidup selama 60 tahun, mungkin menghabiskan masa selama lebih 20 tahun untuk tidur, selama 15 tahun untuk bermain di zaman kanak-kanak, 3 tahun untuk masa mandi dan ke tandas dan masa-masa lain lagi. Yang apabila dikira dan dimuhasabah, sebenarnya banyak masa kita yang dihabiskan untuk perkara-perkara yang haram, lagha' dan tidak berbalik kepada persoalan pokok tujuan kehidupan kita iaitu sebagai abdi kepada Allah swt.

Imam Hasan Al-Basri mengibaratkan keadaan manusia di dunia seperti 3 perkara iaitu pisau yang sedang diasah, ketuhar yang sedang dipanaskan dengan api dan seekor kambing biri-biri. Tatkala masa melalui tanpa kita sedari, itulah ibaratnya pisau yang sedang diasah-asah menanti untuk menghiris dan memotong kita. Begitu juga, ketuhar ibarat neraka yang dipanaskan. Kedua-dua pisau dan ketuhar ini sedang dipersiapsediakan tetapi kita manusia hidup seperti seekor kambing yang hanya tahu makan, tidur dan menunaikan keinginan hawa nafsu tanpa kita sedari hakikat yang menanti kita di akhirat kelak.

Mengapa dan bagaimana harus kita jalani hidup?

Apabila diciptakan, roh manusia telah mengadakan perjanjian dengan Allah. Sebuah perjanjian yang tidak berani diterima oleh mana-mana makhluk lain kecuali manusia. Iaitu perjanjian untuk hidup dan beribadah didunia kepada Allah dengan ganjaran syurga. Perjanjian ini diambil sebagai amanah yang harus kita pikul sepanjang kita menjalani kehidupan di dunia ini. Jika dilaksanakan dengan baik, sebesar rahmat Allah iaitu ganjaran syurga menanti manusia namun azab api neraka bakal membaham mereka yang gagal memikul amanah yang diberikan.

Namun begitu, besarnya rahmat Allah swt, apabila diberikan amanah, Allah juga telah menunjukkan cara bagaimana untuk menunaikan amanah tersebut. Iaitu melalui turunnya panduan kitab Al-Quran dan seorang rasul, Muhammad ibni Abdillah saw. Sesiapa yang mencari Allah melalui panduan kitab Al-Quran dan ajaran Rasulullah saw, nescaya tertunailah amanah perjanjian dia dengan Allah swt.

Dalam masa yang sama, untuk mengelakkan manusia daripada tersesat, Allah dengan penuh rahmat dan kasih sayang telah memberikan amaran tentang Iblis dan Syaitan yang turunnya mereka akan menyesatkan manusia. Begitulah perbandingan dunia ini iaitu antara corak pemikiran Rasulullah saw yang selalu mencari jalan bagaimana menarik semua manusia masuk ke syurga berlawanan dengan corak pemikiran Iblis dan Syaitan bagaimana menarik semua manusia masuk ke neraka? Justeru, sebagai manusia haruslah kita sentiasa muhasabah diri setiap waktu, corak pemikiran dan bala tentera siapakah yang akan kita ikuti, Rasulullah saw Rahmatan lil Alamin ataupun mengikut petunjuk Iblis dan Syaitan?


Dunia sebagai padang ujian, Alam Barzakh sebagai taman syurga dan Syurga sebagai pengakhiran yang kekal

Dinyatakan bahawa dunia adalah neraka untuk orang-orang beriman tetapi syurga untuk mereka yang kufur. Jelaslah betapa benarnya kenyataan ini dimana dengan segala dugaan-dugaan kemanisan dunia, manusia dengan mudah boleh terjerumus mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan. Sememangnya kemanisan dunia amat mudah dirasai oleh setiap hati-hati yang tidak melakukan mujahadah bagi mengawal nafsu dan mendidik diri.

Namun ingatlah, betapa manisnya pun dunia, tidak akan semanis janji Allah iaitu taman syurga di alam barzakh dan syurga yang kekal abadi. Betapa manisnya pun dunia, ia diibaratkan seperti seorang tua bongkok yang datang mendekati kamu, dan inilah yang kamu gila-gilakan. Maka, mereka yang tidak melatih diri untuk melihat menggunakan mata hati, akan mudah untuk melihat dunia dan kemanisan godaannya dengan mata kasar tetapi sukar untuk melihat hakikat kejadian dunia dan alam seterusnya yang hanya mampu ditakluki dengan kekuatan rohani.

Dan untuk mencapai kekuatan rohani ini, maka kita manusia perlu memahami akan hakikat kejadian kita yang terdiri daripada 4 elemen iaitu akal, jasad, nafsu dan roh. Keempat-empat elemen ini perlu dijaga dan diurustadbir dengan baik bagi menjanjikan pulangan lumayan bukan sahaja di dunia, juga di akhirat. Ramai daripada kita yang mampu menjaga akal dan jasad dengan baik tetapi lebih ramai lagi yang gagal mengurustadbir nafsu sehingga menguasai diri juga roh yang akhirnya akan diazab kerana telah memungkiri perjanjian dengan Allah swt.

Capai tujuh syurga melalui penjagaan tujuh perkara

Di badan kita terdapat 7 alat yang jika dapat kita jaga dengan baik, insyAllah akan memudahkan kita untuk mencapai redha Allah swt. Itulah Lidah, Telinga, Mata, Tangan, Kemaluan, Perut dan Kaki. Ketujuh-tujuh anggota ini sekiranya dijaga dan dibersihkan selalu insyAllah akan memudahkan hati kita menjadi bersih dan selalu memikirkan tentang Allah swt.

Dalam menjaga ketujuh-tujuh anggota ini, haruslah kita sentiasa istiqamah dan menyedari bahawa manusia memang tidak maksum daripada kesilapan kecuali para Nabi. Justeru, sebaik sahaja kita terlanggar atau melakukan sesuatu yang tidak baik menggunakan anggota-anggota kita, cepat-cepatlah kita beristighfar dan kembali berusaha untuk menjaga anggota-anggota ini. Ini adalah satu proses jihad paling tinggi dan berterusan iaitu kita pasti akan melakukan kesilapan, maka cepatlah kita bertaubat dan berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi semula. Sesungguhnya pintu taubat Allah terbentang luas dan tiada had dalam taubat.

Melalui jihad menjaga tujuh anggota ini, insyAllah akan dipermudahkan oleh Allah swt. Ini adalah kerana sebagai manusia, kita tiada daya melainkan ikhtiar. Daya sebenarnya adalah daripada Allah swt dan Allah adalah sebaik-baik penolong dengan kebesaran rahmat dan redhaNya. Yang pasti, rahmat Allah melebihi kemurkaanNya dan yang menzalimi kita hanyalah diri kita sendiri apabila tidak mengikuti jalan panduan yang disediakan Allah melalui Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.

Sesungguhnya kematian itu sangat dekat. Jadi, bilakah Mi'raj kita akan bermula? Sudah pasti mulai saat ini!

*Semoga bersama kita mendapat manfaat daripada tulisan ini yang ditulis berdasarkan daripada pemahaman cetek saya akan kuliah yang disampaikan oleh Dr. Syeikh Ahmad Dabbagh. Tulisan ini hanyalah beberapa intipati daripada kuliah panjang yang disampaikan. Sekiranya terdapat sebarang kesilapan minta diberikan tunjuk ajar. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment

Ideas in words by