Terus berjalan melalui denai kecil didalam taman ini. Disinilah tempat kami selalu bersama. Terlihat didepanku gelak tawa kami, gelak tawa ayah seperti ceria. Namun keceriaan yang suram. Seperti potret-potret tidak bewarna. Tiada jiwa-jiwa yang menemani kehidupan disekitarku ini.
Terasa panas dipipi kanan. Oh betapa lemahnya jiwa aku sehinggakan pabila takdir menguji dengan serentap kebahagiaan, aku telah berserah kepada kesedihan. Ayah, hadirlah kau semula bawakan senyum aku yang telah hilang.
"Menangis anak abah?" Suara kasar menerjah dari belakang lantas aku menoleh. Susuk tubuh yang amat dikenali sedang berdiri melihat kearah aku, tersenyum.
"Bah!" Hanya kalimah itu yang keluar seraya kaki aku pantas berlari untuk mendakap tubuh yang dirindui itu. Getar hati semakin laju tatkala lengan merangkul pinggang abah.
"Kenapa anak abah menangis ni? Kan dah besar? Bakal pendidik anak bangsa." Tangan abah mengusap-usap aku. Amat menenangkan. Aku mendongak, mengamati wajah yang selama ini tak pernah gagal memberi aku kekuatan disaat aku lemah.
"Saya rindu abah." Pelukan semakin erat seperti tidak mahu melepaskan. Abah ibarat memahami.
"Semua yang jasad akan terlepas daripada genggaman kita. Kecuali kenangan." Jari ayah mencuit daguku, aku mendongak. Memandang wajah abah dengan penuh kekaguman. Tak pernah sekalipun lelaki ini gagal menyentuh hati aku dengan kalimat-kalimat yang dituturkannya.
"Hari ini, kita lihat keliling kita, apa yang ada semua hanyalah bayangan. Udara, dedaunan yang jatuh berterbangan, air yang mengalir, hanyalah bayangan didunia yang disajikan untuk mata kita oleh Allah swt, sebagai ujian buat kita sama ada kita akan lebih melihat bayangan dunia ataupun apa yang lebih nyata diakhirat nanti." Ayah terus merangkul aku rapat sambil dia mula melangkah, begitu juga aku.
Jiwa yang tadi dilanda rintik kegundahan mula terasa nyaman. Angin yang menghembus bagai berkata padaku,usah risau semuanya kembali menjadi seperti biasa. Ketenangan menelusup masuk menenteramkan degup-degup jantung yang tadinya kencang.
Langkah abah kemudiannya berhenti dihadapan tasik. Angin yang bertiupan melalui atas tasik kelihatan seperti tangan pelukis yang membuat keindahan diatas kanvas air. Lukisan demi lukisan berganti aku saksikan.
"Ingat anakku, kita adalah pinjaman sesama kita yang membuktikan kasih sayang Allah. Justeru kita harus redha dengan segala keputusan. Yang batil adalah dunia ini, dan yang nyata adalah akhirat. Teruslah anakku. Simpan semua kenangan bersama abah, manfaatkan yang baik. Seru abah sudah sampai, tamatnya tempoh tugas sebagai khalifah dimuka bumi." Suara ayah terhenti. Aku merasakan genggaman tangan ayah makin erat dikedua bahuku.
"Teruskan tanggungjawab kita. Jadilah manusia yang baik. Dan berilah kalimat-kalimat yang baik untuk orang tuamu ni." Ayah mendongakkan kepalaku sekali lagi dan merapatkan mukanya. Aku menutup mata. Satu kucupan oleh ayah didahiku. Terasa kehangatan kucupan ayah disebalik kesejukan angin yang mengelilingi kami.
"Abah selalu sayangkan kau." Serentak tamatnya kata-kata itu, satu deruan angin kuat menolakku sehingga jatuh. Aku tersentak, membuka mata tetapi jasad ayah telah hilang. Yang tetap hanya kelompok tanah yang masih merah dihadapanku.
Tangan mengenggam erat tanah merah itu sehingga terasa keperitan dicelahan tapak tangan. Nafas dilepaskan kuat dan balik tanganku digerakkan menggosok air mata. Esakan ini perlu dihentikan.
"Abah, aku bersyukur kerana Allah telah meminjamkanmu kepada aku untuk tempoh masa ini atas kasih sayangNya. Perginya abah sekarang, aku pasti akan menyusul nanti. Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk menjadi segagah ayahku demi menjalankan tanggungjawab yang telah engkau amanahkan kepada kami, umat manusia."
Al-Fatihah.
*Kisah ringkas dikarang buat dua orang rakan yang baru saja kehilangan orang tersayang mereka, begitu juga buat saudaraku yang telah dipanggil kepangkuan Allah setelah hampir setahun bernikah dengan isteri tersayang, dan buat rakanku yang kehilangan atuknya sewaktu masih belajar jauh diperantauan. Akhir sekali buat semua jasad-jasad tersayang yang selalu kita-kita sayangi tetapi telah pergi. Dengan harapan kita selalu ingat bahawa jasad itu hanya sementara, yang pasti adalah janji Allah diakhirat kelak.
Semoga tahun baru 2011 yang datang mengingatkan kita bahawa kematian kian menghampiri setiap detik.
Selamat.
terima kasih atas pesan ini.
ReplyDeleteselamat untuk mereka dan kita juga.
Squesha: Terima kasih untuk doa. ;)
ReplyDelete