Showing posts with label Remaja Muslim Liberal. Show all posts
Showing posts with label Remaja Muslim Liberal. Show all posts

Tuesday, January 11, 2011

Revolusi Remaja Islam - Terdetiknya Hati

Catitan pengalaman seorang remaja muslim didikan liberal tentang jauhnya diri daripada didikan Islam yang sebenar dan perjuangan kearah merevolusi dirinya. Semoga mendapat kekuatan istiqamah dan terus berubah kearah kebaikan.

Tiada lain yang diharap selain mendapat keredhaan Allah swt dan menyentuh hati-hati yang lain dengan penulisan ini. Perancangan menjauhkan Islam daripada kehidupan oleh musuh-musuh Islam perlu ditentang, agar lebih ramai anak muda Islam dapat keluar daripada fitnah ini. InsyaAllah.

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani.

Sesampai sahaja aku diUnited Kingdom, terdapat pelbagai pengalaman yang dialami. Pelbagai perkara ditemui. Jika diMalaysia pabila orang nak ke club, kena jaga-jaga takut kena 'rush', tapi diUK tak ada semua tu. 'Selamat' sepanjang masa. Tak ada narkotik, tak ada JAIM atau polis yang nak rush buat spot check. Di UK juga parti-parti bertema untuk pelajar universiti, cukup banyak. Setiap minggu lebih daripada 1 disekitar tempat aku belajar. Hiburan yang disajikan begitu banyak dan berlambak-lambak. Tinggal nak tak nak saja. Mudah kerana diUK tiada 'polis moral' yang akan memerhati. Kalau diMalaysia orang lebih risaukan 'polis moral' daripada janji azab Allah.

Kemudian disini, tiada laungan azan. Tiada team-team pak haji 'tabligh' ketuk mai singgah rumah untuk memberi tarbiyah percuma. Yang ada paderi-paderi dan mubaligh kristian yang ketuk adalah. Jika dulu waktu petang-petang, ada orang ketuk rumah. Bila selak tingkap nampak beberapa orang pak aji berserban menunggu diluar rumah, mulalah hati kata "Dah mai dah diorang ni." Berat hati je bila buka pintu, kadang tak buka. Buat-buat macam tak ada dirumah.

Pendek kata, jika 'syurga' dunia yang mau dicari, hiburan yang diinginkan, diUK ini boleh didapati bermacam-macam jenis. Siap berpeluang berhibur dan mencari geng mat dan minah salleh baru. Semua ini boleh didapati di UK. Sebelum datang lagi ada yang dah pasang angan-angan nak bercampur gaul, berbudayakan hiburan bersama-sama. Kelab apa yang dimahukan? Namakan saja.

Tapi sampai saja diUK, kami semua ditempatkan bersama disatu student accommodation. "Aiseyman, apa ni. Di Ipoh belajar sama, duduk sama. Di UK, pun duduk sama. Tak berkembang la macam ni!"

Namun Alhamdulillah, mungkin berkat doa bonda yang tersayang, hati tak jauh terbiar oleh rahmat kasih sayang Allah, kaki tak selalu melangkah ketempat maksiat. Mungkin juga berkat tidak dipisah-pisahkan sesama kami, persahabatan yang ada kerap kali dikuatkan dengan membuat pertemuan dan makan-makan bersama-sama.

Adanya rakan disekeliling, amat memberikan pengaruh kepada bentuk peribadi diri kita. Alhamdulillah juga, rakan-rakan disekeliling aku balanced. Yang untuk berhibur ada, yang susah senang bersama ada, dan yang sering ingat-mengingatkan pun ada.

Kemudian datang musim sejuk, aku banyak habiskan masa berhibernasi waktu musim sejuk. Aku dengar ada rakan-rakan lain pergi PUISI, ada yang pergi FuIYO. Hati berkata dengan sendiri, "Apa barang diorang ni, pergi kem-kem usrah waktu cuti!" Aku banyak habiskan masa online. Tengok movie, dan sebagainya. Usrah disekitar Liberty Park pun jarang-jarang disertai.

Dan satu hari, terdetik hati untuk menyelongkar 'youtube', lalu ditakdirkan oleh Allah bertemu dengan siri The Arrival. Satu dokumentari informal yang digerakkan oleh dua orang pemuda selaku penggerak utama. Tatkala kali pertama menonton episod The Arrival, bergetar jiwa pabila menyaksikan segala yang disusun dalam dokumentari itu. Ilmu-ilmu yang selama ini tidak pernah dikongsikan oleh ustaz-ustaz yang aku pernah ikuti kelas mereka. Lalu 51 episod The Arrival aku saksikan dalam masa selama beberapa hari.

Allah, betapa hati ini secara tiba-tiba rasa tersentuh dan tersedar daripada situasi seakan lamunan dan mimpi. Betapa hati kemudian terasa terlalu kerdil disebalik kekuasaan Allah dan rancangan-rancangan yang sedang berjalan dalam tamadun dunia masa ini.

Sungguh, Allahlah yang berkuasa membolak-balikkan hati hamba-hambanya. Memberikan petunjuk dan menyesatkan sesiapa yang dikehendaki. Dan aku bersyukur kerana dalam keadaan alpa dan leka, secara tiba-tiba hati terdetik untuk mencari dan bertemu dengan The Arrival.

Sungguh dalam apa jua usaha untuk berubah mejadi baik, mencari permulaan adalah proses yang amat sukar. Bagi aku, setiap orang akan perlukan satu 'push factor' untuk dijadikan motivasi utama pabila mahu mengubah paradigma diri sendiri dan Alhamdulillah, Allah bermurah hati untuk menyajikan aku dengan siri The Arrival.

Lalu diri yang naif, bermula dalam satu proses untuk berubah. Diri tanpa ilmu, tanpa bimbingan terus menerus dan tanpa pengertian tarbiyah Islamiyyah, cuba mencari nur kebenaran Islam. Aku terus mencari, berjumpa dan mengamati tulisan-tulisan, video-video ceramah dan kata-kata perangsang daripada tokoh-tokoh seperti Syeikh Imran Hosein, Ustaz Azhar Idrus. Kitab tentang solat, ma'thurat, Al-Quran yang dibekalkan oleh bonda sewaktu awal perjalanan mula dipegang semula secara perlahan-lahan. Dibekalkan dengan rakan rapat yang turut serta dalam proses mencari ilmu-ilmu dan nur Islam bagi makanan jiwa, kami bersama saling ingat-mengingatkan. Saling bertukar link video dan ceramah. Saling ajak-mengajak solat berjemaah.

Yang nyata aku alami dan akui, apabila diri disulami kemanisan iman, maka jasad akan berasa lebih ringan untuk melakukan ibadah. Segala yang dilaksanakan terasa manisnya ibadat untuk Allah swt. Terasa semacam ketenangan yang tak boleh digambarkan dengan kata-kata. Terasa seperti terjaga dengan keyakinan keatas kekuasaan Allah SWT.

Namun Allah maha Mengetahui, betapa lemahnya diri ini. Seperti sebuah sampan usang yang pabila dipukul ombak, boleh berkecai bila-bila masa. Sesungguhnya aku pelajari sekarang, untuk berubah itu memerlukan satu motivasi 'push factor' bagi kita, dan amatlah sukar sekiranya tiada bimbingan, tetapi yang lebih sukar adalah untuk mengekalkan perubahan.

Seperti sabdanya Rasulullah saw, "Tidak tetap iman seseorang hamba sehinggalah tetap pendiriannya." Iman itu adalah keyakinan kita, dan keyakinan kita berubah-ubah mengikut masa dan keadaan. Sungguh keyakinan hati aku ini amatlah rapuh sehinggakan pabila diuji dengan maksiat, terus luluh dan berkecai.

Sungguh baru aku sedar yang dunia ini adalah medan perang bagi kita, dan peperangan yang terbesar adalah perang melawan hawa nafsu yang mana pada ketika itu, aku telah gagal semula setelah didatangkan ujian. Baru ujian-ujian kecil yang datang, terus jatuh tersungkur diri ke waktu kenaifan dan kealpaan semula.

Mengapa kegagalan ini berlaku? InsyaAllah akan dikisahkan dalam entri yang akan datang.

Selamat.

Saturday, January 08, 2011

Remaja Muslim Liberal (Permulaan)

Catitan pengalaman seorang remaja muslim didikan liberal tentang jauhnya diri daripada didikan Islam yang sebenar dan perjuangan kearah merevolusi dirinya. Semoga mendapat kekuatan istiqamah dan terus berubah kearah kebaikan.

Tiada lain yang diharap selain mendapat keredhaan Allah swt dan menyentuh hati-hati yang lain dengan penulisan ini. Perancangan menjauhkan Islam daripada kehidupan oleh musuh-musuh Islam perlu ditentang, agar lebih ramai anak muda Islam dapat keluar daripada fitnah ini. InsyaAllah.


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani,

Aku adalah seorang anak muda yang mana lahir kedalam turutan keluarga yang mengamalkan Islam. Alhamdulillah, didikan Islam dari kecil yang diterapkan dalam diri oleh ahli keluarga terutamanya bonda tercinta dapat sedikit sebanyak menjadi pegangan dalam mengharungi kehidupan sehari-hari.

Tetapi harus diingat bahawa aku, dan juga ribuan anak muda lain diluar sana adalah hasil didikan sistem yang liberal. Sejak kecil aku diajar ilmu pendidikan disekolah dan ilmu-ilmu Islam hanya terbatas di sekolah petang agama, kelas pendidikan Islam, dan didikan-didikan informal yang diberikan oleh keluarga. Jadi sejak sekian lama tak salah sekiranya aku katakan yang aku di'basuh' untuk melihat dunia melalui dua kaca mata. Kaca mata sosial dunia dan kaca mata Islam. Dan yang penting, kaca mata Islam ini hanya tertakluk kepada kelas-kelas agama, surau dan sekolah agama petang yang aku ikuti.

Tak pernah aku menerima ajaran secara terus berkaitan dengan hukum perundangan Islam, apa yang aku tau selaku remaja muslim didikan liberal selama ini bahawa hukum hudud itu tertakluk kepada pencuri dipotong tangan dan penzina direjam.

Bagi aku kita hidup dalam dunia yang 'civilized', apa perlu potong tangan? Apa relevannya hukuman rejam? Ini semua ortodoks, ekstremis. Tak ada tempat bagi hukuman-hukuman seperti ini dalam dunia yang kian moden.

Lalu apabila orang bertanya kepada aku, apa itu moden? Pandangan liberal kemodenan adalah berkaitan ketinggian dan banyaknya bangunan pencakar langit, indeks GDP dan purata pendapatan. Apa ada erti lain bagi moden?

Seterusnya aku masih mengikuti kelas-kelas agama dimasjid-masjid dan surau-surau, mengikut keluarga. Aku diajar untuk mengamalkan bacaan yasin setiap malam jumaat. Membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun pada setiap penghujung zulhijjah dan awal muharram. Aku diajar untuk mengaminkan doa-doa yang dibaca oleh tok-tok imam.

Didalam kelas-kelas agama aku disurahkan mengenai nikmat syurga dan azab neraka. Aku diajar cara-cara untuk solat. Apa itu rukun iman, dan kewajipan rukun Islam. Aku diajar berkaitan kewajipan puasa, zakat, dam bagi yang meninggalkan. Aku diajar mengenai hukum-hukum agama yang pada pandangan aku tidak boleh digunapakai dalam aplikasi kehidupan sehari-hari. Bagaimana kau nak masukkan ilmu-ilmu agama ini dengan matematik? Ekonomi? Bahasa? Atau Sains?

Lalu aku terus keluar daripada persekolahan dengan keputusan yang Alhamdulillah, separa cemerlang. Tanpa arah tuju, tanpa sebarang visi bagi masa depan. Sebelas tahun aku dididik dalam sistem pendidikan sekolah, sekeluarnya aku, aku masih tak tahu apa yang patut aku lakukan.

Alhamdulillah, mungkin hasil berkat doa bonda tercinta, aku diterima masuk kedalam kursus yang aku sedang ikuti, terus melanjutkan pelajaran diIpoh. Bertemu dengan lebih ramai manusia, bermacam ragam dan perangai.

Disitu aku didedahkan tentang usrah. "Ah apa ini?" Dah habis sekolah, buat apa susah-susah lagi mau paksa diri ke surau? Kalau dulu disekolah bolehlah. Kalau tak pergi surau, ustaz bantai nanti. Tapi sekarang kan dah besar, apa guna usrah-usrah ni? Ceramah agama dimasjid tak cukup lagi? Lagipun dah 11 tahun ikuti pengajian Islam disekolah, 2 jam sekali matapelajaran. takkan tak cukup lagi?

Darah muda, mudah amarah. Waktu itu aku cukup pantang diajak ke surau secara paksa, lagi-lagi bila ada terdengar ura-ura mau diwajibkan turun ke surau. Kacau betul, maghrib-maghrib ni masa untuk keluar makan, nanti pukul 10 pintu guard tutup. Bila mendapat sindiran-sindiran aku berontak, Diorang ni macam alim sangat, apa kalau pakai tudung labuh dia saja masuk syurga?

Cuma pernah sekali saja aku jejakkan kaki disurau untuk usrah, itupun sebab apa aku dah lupa. Selain daripada tu, tak pernah aku turut serta dengan islamic circle diIpoh. Solat berjemaah, jarang-jarang disurau.

Jangan salahkan aku, tak pernah aku diajar pengertian moden dalam Islam apabila aku menuntut ilmu agama dikelas-kelas agama. Tak pernah aku ditunjukkan aplikasi Islam dalam kehidupan sekarang ini. Ustaz-ustaz semua cerita berkaitan kisah-kisah para sahabat, tapi apa relevannya dalam kehidupan kita? Aku yang baru nak menjejak angka 20 waktu tu gagal melihat rasionalnya kisah-kisah ini. Tak pernah kelas agama menceritakan kisah kehebatan pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab sehinggakan tiada orang susah sewaktu pemerintahan beliau. Yang ada sekadar cerita beliau yang lantang memusuhi Islam, menjadi orang yang lantang membela Islam. Dan kisah bagaimana beraninya Umar sehingga berhijrah disiang-siang hari.

Tak pernah syllabus pendidikan Islam disekolah mengisahkan tentang hadis Nabi berkaitan jenis-jenis pemerintahan yang akan datang selepas waktu Baginda sehinggalah tertubuhnya semula pemerintahan Khalifah pimpinan Imam Mahdi dan Nabi Isa A.S. Yang ada dalam buku pendidikan Islam adalah pengertian iman, pengertian riddah, 10 perkara yang membatalkan iman yang mana semuanya dihafal sebiji-biji dan diluahkan semula kedalam kertas peperiksaan untuk mendapat gred yang baik.

Jadi jangan salahkan aku! Atau ribuan anak muda lain yang rata-ratanya gagal melihat keindahan wanita apabila mereka menutup aurat. Tiada dalam pengajian Islam berkaitan perkara ini. Yang ada hanyalah, apa itu aurat, bagi lelaki dan wanita. Jangan salahkan aku apabila gagal mencontohi kehebatan para sahabat kerana yang ada dalam buku-buku yang disajikan hanyalah fakta-fakta sejarah mereka. Bagaimana dengan ulasan, pemahaman dan aplikasi dalam dunia realiti? 11 tahun menuntut mata pelajaran Islam bukanlah satu jangka masa yang pendek, tetapi apa kesan yang ada daripada sistem pendidikan sekular ini?

Sehinggalah aku menjejakkan kaki dibumi United Kingdom ini. Siapa sangka tanah yang apabila aku dikhabarkan berita gembira aku bakal melangkah ketanah ini untuk menimba ilmu, kata-kata yang aku terima daripada rakan-rakan aku adalah "Wah syoklah kau, kawan mat salleh. Boleh cari girlfriend seorang." "UK bebas, nak buat apa pun boleh. Tak ada JAIM. Dah lah semua kuat parti je.", siapa sangka tanah yang dipunyai oleh masyarakat kafir ini sebenarnya menjadi jejak pertama aku terhadap sebenar-benar kefahaman Islam.

Aku yang tak pernah memasang impian mau belajar oversea. Aku yang tak pernah tahu wujudnya pengertian istilah ikhwanul muslimin, tarbiyah Islamiyyah. Aku yang selama ini, hanya sekadar mahukan segulung ijazah supaya nanti boleh bekerja makan gaji. Beli rumah, kereta, kahwin dan dapat 3 orang anak. Terus terpukul oleh pelbagai realiti dan ilmu sepanjang menjejakkan kaki dibumi United Kingdom ini.

Memang benar seperti kata-kata Allah,
"... boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." Al-Baqarah (2/216)

Tapi apa sebenarnya yang berlaku diUnited Kingdom ini? InsyaAllah akan dikisahkan dalam entri yang lain.

...bersambung.